Monday, April 23, 2012

Pauh Putih...


Misi mencari ikan paus berwarna putih

GAMBAR fail menunjukkan seekor ikan paus berwarna putih (dalam bulatan) yang bernama Iceberg berenang dekat Pulau Bering di Rusia.

PARIS - Sepasukan saintis Rusia mengumumkan mereka akan melancarkan satu operasi untuk mengkaji seekor ikan paus pembunuh jantan berwarna putih yang dinamakan Iceberg pada minggu depan.

Saintis-saintis Universiti Moscow dan Universiti Saint Petersburg pernah menyaksikan ikan paus spesies Orca itu muncul di permukaan laut berhampiran Kepulauan Commander di Lautan Pasifik Utara pada Ogos 2010.

Pengarah Bersama Projek Orca Timur Jauh Rusia (FEROP) Erich Hoyt berkata, Iceberg yang memburu bersama 12 ikan paus itu dipercayai berusia sekurang-kurangnya 16 tahun berdasarkan saiz sirip mamalia berkenaan.

"Ini kali pertama kami melihat ikan paus pembunuh jantan dewasa yang keseluruhan berwarna putih," kata Hoyt.

Para saintis itu akan mengkaji sama ada Iceberg menghidap penyakit genetik albino.

Haiwan albino tidak boleh mengeluarkan melanin yang menyebabkan kulit menjadi gelap.

Kebanyakan haiwan albino tidak dapat hidup sehingga dewasa kerana warna terang tersebut menyebabkan ia mudah dibunuh haiwan lain.

Terdapat dua ikan paus pembunuh berwarna putih yang diketahui tinggal di Semenanjung Kamtchatka, timur Rusia yang merupakan tempat Iceberg ditemui.

Pada tahun 1970, seekor ikan paus pembunuh berwarna putih berusia dua tahun, Chimo ditangkap di Kanada sebelum ia mati dua tahun kemudian.

Selepas satu pemeriksaan dilakukan ke atas bangkai haiwan itu, ia didapati menghidap albino. - AFP
Related Posts with Thumbnails