Saturday, February 14, 2015

HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG..

KOTA BHARU – Lebih 50,000 rakyat serta pe­mimpin tanpa mengira fahaman politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi dengan penuh sayu perjalanan terakhir bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini semalam. Lautan manusia meme­nuhi pekarangan Masjid Pulau Melaka dan Maahad Darul Anuar yang diasaskan ayah Allahyarham Nik Abdul Aziz, Nik Mat Raja Banjar atau dikenali sebagai Nik Mat Alim. Mereka tidak melepaskan peluang melihat buat kali terakhir jenazah Mursyidul Am Pas yang digelar sebagai Tok Guru itu. Orang ramai turut menyertai solat jenazah Allahyarham yang diimamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Tok Guru Pulau Melaka pada pukul 10 pagi semalam. Arwah meninggal dunia pada 13 feb 2015 pukul 9.45 mlm dirumahnya kg pulau melaka, kelantan. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Monday, February 2, 2015

AMPANG – Seniman Negara, Tan Sri Dr. Jins Samsuddin, 80, yang pernah mencipta kegemilangan sebagai hero filem dalam industri perfileman klasik kini perlu diuruskan dengan rapi oleh keluarganya bak seorang anak kecil selepas diserang penyakit Alzheimer sejak empat tahun lalu. Menurut isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 54, penyakit Al­zheimer yang dihidapi Jins semakin melarat selepas beliau tamat tugas sebagai Senator Dewan Negara pada tahun 2010. Bagaimanapun, tegas Halijah, tahap kesihatan suaminya masih baik, bahkan beliau boleh berjalan sendiri tanpa bantuan.
TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe semalam mengutuk tindakan kumpulan militan Islamic State (IS) memenggal kepala tebusan kedua Jepun sebagai “amat kejam dan keji”. IS mendakwa dalam satu klip video yang disiarkan di internet kelmarin bahawa ia telah membunuh tebusan berkenaan, Kenji Goto, 49, tetapi tidak menyebut mengenai nasib seorang juruterbang Jordan yang turut ditawan. Goto yang merupakan seorang wartawan perang dan memakai sut kuning kelihatan berlutut di sisi seorang lelaki berpakaian hitam dan menutup mukanya. Lelaki itu yang bertutur dalam loghat Britain dan dipercayai pernah muncul dalam beberapa klip video pembunuhan tebusan oleh IS. Dalam rakaman itu yang ditujukan kepada Abe, dia memberitahu bahawa pembunuhan Goto berpunca daripada keputusan “cuai” kerajaan Jepun. Tokyo sebelum ini menyalurkan dana untuk membantu pelarian yang melarikan diri dari wilayah yang dikuasai IS di Syria dan Iraq. Mengulas kematian Goto, Abe yang hampir bergenang air mata berikrar tidak tunduk terhadap tuntutan IS. “Saya amat marah dengan tindakan pengganas ini (IS) yang amat kejam dan keji. Kami tidak akan memaafkan mereka,” katanya kepada sekumpulan wartawan di luar pejabatnya di sini semalam. Menurut Abe, Jepun tetap akan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Asia Barat. Dalam pada itu, Jordan semalam bersedia untuk menyerahkan seorang militan Iraq yang dipenjarakan di negara itu jika IS membebaskan juruterbangnya, Muath al-Kasaesbeh. Amman menyatakan, pihaknya bersedia untuk membuat pertukaran tersebut walaupun selepas IS bertindak memenggal kepala Goto. “Agensi keselamatan dan tentera Jordan sentiasa memeriksa sama ada Muath masih hidup,” kata jurucakap kerajaan, Mohammad al-Momani. Muath ditangkap oleh IS pada Disember lalu apabila jet pejuang F-16nya terhempas di wilayah yang dikuasai kumpulan militan itu di Syria. – Agensi

Sunday, February 1, 2015

KUALA LUMPUR – Pelakon Hong Kong yang juga bintang popular Hollywood, Jackie Chan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan semalam. Beliau merupakan salah seorang daripada 356 individu yang menerima pelbagai darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis yang berlangsung di Istana Negara di sini. Selain beliau, penceramah agama terkenal, Mohd. Kazim Elias atau Ustaz Kazim turut menerima gelaran Datuk manakala Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia, Datuk Nelson Kwok Teng Toong, menerima Darjah Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri. Hadir dengan memakai sut hitam dan lengkap bersongkok, Jackie atau nama sebenarnya Chan Kong Sang, 61, kelihatan pandai menyesuaikan diri pada majlis berkenaan malah tidak kekok untuk bermesra dengan penerima anugerah yang lain. Bagi Mohd. Kazim, 43, Jackie seorang yang mudah mesra dan tidak sombong. “Pada majlis pagi tadi (semalam), saya duduk bersebelahan beliau dan saya menegurnya dahulu sambil me­ngucapkan tahniah kerana mendapat anugerah tersebut. Kami duduk dari pukul 8.45 hingga 10.30 pagi dan ba­nyak perkara yang dibualkan.
Related Posts with Thumbnails