Saturday, May 14, 2011

AKIBAT dari Persengketaan sesama sendiri....

11 imam dibunuh kejam

BREGA - Kekejaman kuasa Barat terbukti apabila sekurang-kurangnya 11 orang imam dibunuh semasa sedang tidur dalam satu serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Brega, Libya, kelmarin.

Jurucakap kerajaan Libya, Moussa Ibrahim berkata, kesemua imam yang terbunuh adalah sebahagian daripada kumpulan imam-imam Libya yang berkumpul di bandar itu untuk menunaikan solat meminta keamanan di negara yang sedang bergolak itu.

Namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila dibunuh dalam serangan ganas Nato yang menyasarkan tempat awam dan bukannya kemudahan tentera seperti yang didakwa sebelum ini.

Kesemua mereka selamat dikebumikan di Brega, semalam.

Selain itu, 50 orang awam yang lain turut cedera dalam serangan Nato itu yang jelas disasarkan ke rumah tumpangan yang menjadi tempat penginapan kumpulan imam tersebut.
Menurut pegawai perubatan, jumlah kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang cedera parah dalam serangan itu berada dalam keadaan kritikal.

Nato mengakui melancarkan serangan di Brega, bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli tetapi tanpa rasa bersalah menegaskan kononnya rumah tumpangan itu adalah pusat kawalan dan arahan.

“Kami sedar terdapat dakwaan ada orang awam terbunuh dalam serangan ini. Kami kesal sebarang kehilangan nyawa jika benar apa yang didakwa,” menurut Nato.

Nato sejak akhir-akhir ini mempertingkatkan serangan udara di beberapa kawasan di Libya yang didakwa sebagai pusat ketenteraan Gaddafi, termasuk serangan di kediamannya di Tripoli.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu mencabuli mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya membenarkan zon larangan terbang diwujudkan kononnya untuk melindungi rakyat Libya daripada serangan tentera Gaddafi.

Sunday, May 8, 2011

Internet Membawa kanak2 Lalai...


Bapa seret anak yang berbogel

LU TAN menyeret anak lelakinya dalam keadaan bogel di bandar Hechi, China baru-baru ini.

HECHI, China - Seorang bapa, Lu Tan menyeret seorang anak lelakinya keluar dari sebuah kafe Internet di sini selepas membogelkannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia menyerbu kafe Internet itu baru-baru ini dan menyeret anaknya di hadapan rakan-rakannya.

Seorang saksi berkata: "Dia (Tan) memukul budak itu yang menangis meminta belas kasihan. Namun, bapa budak itu mahu memberitahu semua orang bahawa anaknya tidak berguna dan menyeretnya ke rumah setelah membogelkan dia dengan kedua-dua tangannya diikat."

Dia menyatakan beberapa anggota polis tidak bertindak campur tangan walaupun selepas mereka dihubungi untuk membantu budak tersebut.

Saksi itu menjelaskan bahawa budak berkenaan didakwa mencuri wang untuk digunakan bagi melayari Internet.

Tan berkata, dia bertindak memukulnya kerana tidak mahu kehidupan dia dirosakkan oleh Internet.

Menurutnya, ibu budak itu meninggal dunia semasa dia berumur sembilan bulan.

"Saya sudah membesarkannya. Saya bekerja keras untuk membiayai keluarga," kata Tan. - Agensi

Monday, May 2, 2011

Si Penakut yang Rakus


Obama umumkan kematian Osama

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mengumumkan kematian Osama bin Laden di White House kelmarin.

WASHINGTON - Sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dimaklumkan mengenai kematian Osama bin Laden, beliau membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam satu ucapan di White House. Berikut adalah ringkasan ucapannya:

"Selamat malam. Malam ini, saya melaporkan kepada rakyat AS dan dunia bahawa AS telah menjalankan operasi yang berjaya membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda dan pengganas yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Kira-kira 10 tahun lalu, satu hari yang cerah pada bulan September telah digelapkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah ke atas rakyat Amerika. Imej-imej serangan 9/11 kekal dalam memori kita. Hampir 3,000 nyawa warga AS diragut, sekali gus meninggalkan satu lubang besar di hati kita.

"Pada 11 September 2011, dalam kesedihan, rakyat Amerika bersatu. Kita menghulurkan bantuan kepada jiran dan menawarkan darah kita kepada mereka yang tercedera. Kita menguatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan mengukuhkan perasaan cinta terhadap komuniti serta negara.

"Kita juga bersatu dalam usaha melindungi negara dan membawa individu yang bertanggungjawab ke atas serangan ganas ini ke muka pengadilan. Kita segera tahu bahawa serangan 9/11 dilakukan oleh Al-Qaeda, satu organisasi yang diketuai oleh Osama bin Laden yang secara terbuka melancarkan perang ke atas AS. Jadi, kita turut melancarkan perang menentang Al-Qaeda demi melindungi rakyat, rakan dan sekutu kita.

"Namun, Osama bin Laden berjaya mengelak daripada ditangkap dan melarikan diri dari sempadan Afghanistan ke Pakistan. Pada masa yang sama, Al-Qaeda terus beroperasi di sepanjang sempadan tersebut dan menerusi rangkaiannya di seluruh dunia.

"Tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran, saya mengarahkan Pengarah CIA, Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan dalam perang menentang Al-Qaeda. Di samping meneruskan usaha melemahkan rangkaian pengganasnya.

"Hari ini, atas arahan saya, satu pasukan tentera AS telah melancarkan operasi di Abbottabad, Pakistan. Tiada tentera yang tercedera dan AS berjaya membunuh Osama bin Laden dan mengambil mayatnya.

"Kematian Osama adalah pencapaian paling signifikan dalam usaha menumpaskan Al-Qaeda. Namun, itu bukan bermakna usaha kita sudah berakhir. Pastinya Al-Qaeda akan meneruskan serangan. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa AS tidak dan tidak pernah berperang dengan Islam. Osama bukan pemimpin Islam, tetapi pembunuh ramai orang Islam.

"Jadi, pada malam ini, kita boleh katakan kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang akibat keganasan Al-Qaeda: Keadilan telah berjaya ditegakkan.

"Terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu dan Amerika." - Agensi
Related Posts with Thumbnails