Thursday, December 30, 2010

Terjun Ala Batman


Terjun guna sayap berteknologi tinggi

JEB CORLISS (dalam bulatan) terbang seperti Batman apabila dia menggunakan sayap berteknologi tinggi dari sebuah gunung di Switzerland baru-baru ini.

STOCKHOLM, Sweden - Seorang penerjun profesional, Jeb Corliss terbang seperti watak Batman dengan menggunakan sayap berteknologi tinggi pada ketinggian 1,676 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Corliss yang berumur 34 tahun dari California melakukan aksi itu dengan kelajuan 144.84 kilometer sejam di sebuah lokasi di Switzerland baru-baru ini.

Dia mendarat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Corliss pernah terjun dari menara Eiffel di Paris, Perancis dan dari gunung Corcovado di Taman Negara Tijuca yang menempatkan patung Christ the Redeemer di Rio de Janeiro, Brazil pada ketinggian 731.52 meter. - Agensi

Wednesday, December 29, 2010

Malaysia Juara Piala Suzuki 2010...

Safee Sali menjadi penjaring terbanyak dengan 5 gol.Tahniah..


Penantian 14 tahun berakhir
Daripada WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@ksomo.com.my

PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertama selepas menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi.
JAKARTA - Setelah menanti selama 14 tahun, Malaysia akhirnya berjaya muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 menerusi agregat 4-2.Biarpun tewas 1-2 kepada Indonesia pada final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam tadi, Malaysia telah menang 3-0 pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Kejuaraan tersebut mengesahkan status Malaysia sebagai raja bola sepak Asia Tenggara setelah saingan peringkat bawah 23 tahun iaitu Sukan SEA turut dijuarai Malaysia di Laos pada 2009.

Kecemerlangan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti kapten Indonesia, Firman Utina pada separuh masa pertama serta jaringan Mohd. Safee Mohd. Sali pada awal babak kedua menjadi detik pengubah perlawanan malam tadi.

Isu laser yang sering diperbesarkan Indonesia sebelum ini akhirnya terpalit kepada mereka sendiri apabila Khairul Fahmi tiga kali diganggu pancaran laser ke arah mukanya.Ia bermula apabila Indonesia memperoleh sepakan sudut pertama pada minit kelapan diikuti ketika sepakan percuma pada minit ke-12 dan satu lagi sepakan sudut seminit kemudian.Namun, Khairul Fahmi membuktikan dirinya tidak selembik penjaga gol Indonesia, Markus Harison yang 'alah' dengan pancaran laser ketika aksi final pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Permainan hampir berubah menjadi milik Indonesia apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-18 setelah bola terkena tangan Sabre Mat Abu ketika berlaku pergelutan di depan pintu gol.

Tuesday, December 28, 2010

Robot menjadi Guru.


29 robot ajar bahasa Inggeris

ROBOT digunakan untuk mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendha di Daegu, Korea Selatan kelmarin.

SEOUL - Hampir 30 robot mula mengajar bahasa Inggeris kepada murid-murid sekolah rendah di bandar Daegu, Korea Selatan, kata beberapa pegawai semalam.
Robot yang diberi nama Engkey itu dicipta oleh Institut Teknologi Sains mula mengajar kelmarin di 21 buah sekolah di bandar Daegu.
Sebanyak 29 buah robot setinggi satu meter yang mempunyai panel televisyen di muka bergerak di sekitar bilik darjah semasa mengajar murid-murid.

Robot itu membaca buku untuk murid-murid dan menari dengan menggoyangkan kepala dan tangannya.Ia turut dikawal dengan menggunakan alat kawalan oleh guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris dari Filipina.Guru-guru itu boleh melihat dan mendengar suara murid-murid melalui sistem alat kawalan jauh.

"Gaji guru-guru yang berpendidikan tinggi dari Filipina adalah lebih murah daripada rakan-rakan sejawatan mereka dari negara lain," kata seorang saintis kanan institut tersebut, Sagong Seong-dae yang menjelaskan kenapa guru dari negara itu digunakan. - AFP

Friday, December 17, 2010

President Gay

AS bakal ada presiden gay

JIMMY CARTER

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-39, Jimmy Carter percaya bahawa negara itu bakal mempunyai seorang presiden homoseks pada masa hadapan, lapor sebuah akhbar semalam.
Beliau dalam sebuah wawancara bersama laman web Big Think memberitahu bahawa seluruh penduduk AS kini bersedia untuk memilih seorang presiden gay.
"Saya tidak pasti mengenai pilihan raya yang akan datang (pengundi memilih seorang presiden gay)," katanya.

"Namun, saya fikir dalam waktu terdekat kerana kita mula menyedari bahawa homoseksual adalah sama seperti berdepan dengan hal berkaitan kaum," tambahnya. Menurutnya, penduduk negara ini sudah menyesuaikan diri untuk menerima seorang presiden yang mungkin wanita.

Beliau berkata, apa yang jelas, penduduk AS kini sudah menerima seorang presiden berkulit hitam dan mungkin seorang gay pada masa depan. Carter telah menjadi presiden dari tahun 1977 hingga 1981.

Barack Obama merupakan Presiden AS kulit hitam yang pertama di AS dan negara itu turut mempunyai seorang presiden yang berstatus bujang iaitu James Buchanan yang memerintah dari 1857 hingga 1861. - Agensi

Wednesday, December 15, 2010

Hakim Yang Tak Adil.


Balasan makan duit haram
Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

Hassan Basri

IPOH – Senario di Mahkamah Sesyen di sini semalam berbeza apabila seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang sebelum ini bertanggungjawab menghukum pesalah, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Hassan Basri Shapie, 56, dikenakan hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap bukti pihak pendakwaan atas semua pertuduhan yang dilakukan tertuduh sekitar 7 Ogos 2006 hingga 6 September 2007.

Bagaimanapun tertuduh hanya dipenjara 10 tahun setelah Hooi Leng memerintah hukuman empat daripada tujuh pertuduhan tersebut dijalankan serentak. Namun Hassan Basri bakal berhadapan hukuman penjara tambahan sebanyak 42 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dia adalah hakim Mahkamah Syariah pertama yang didapati bersalah dalam pertuduhan rasuah.

Tuesday, December 14, 2010

Handphone lasak...


Telefon bimbit paling lasak

WALAUPUN dilanggar tayar kereta, telefon bimbit JCB Toughphone Sitemaster masih boleh digunakan.

LONDON - Pengeluar barangan pembinaan dan kejuruteraan, JCB, mencipta telefon bimbit paling lasak di dunia dikenali sebagai JCB Toughphone Sitemaster, lapor sebuah akhbar semalam.

Syarikat berkenaan mendakwa gajet itu tidak rosak walaupun ia direndam di dalam air selama lapan jam, tahan cuaca panas pada suhu 75 Celsius dan suhu beku -30 Celsius di bawah paras beku selain kalis gegaran dan tekanan melebihi satu tan.

Berbeza dengan telefon bimbit pintar iPhone keluaran Apple yang perlu dijaga rapi, ciri-ciri lasak JCB Toughphone amat sesuai bagi mereka yang bekerja di tapak bangunan atau ladang.

Walaupun lasak, JCB tidak melupakan fungsi terkini pada telefon keluarannya itu seperti perkhidmatan Bluetooth dan perisian untuk memainkan muzik serta klip video.

JCB Toughphone juga boleh disambung pada komputer dan mempunyai radio FM tetapi ia didatangkan tanpa kamera.

Telefon bimbit itu dilindungi kerangka plastik dan getah berwarna kuning cerah dan hitam yang tahan lasak manakala beratnya pula 130 gram.

Ia lebih tebal berbanding kebanyakan telefon bimbit lain tetapi jauh lebih lasak. - Agensi

Tuesday, December 7, 2010

Rumah Tradisional Alaf Baru


Bina rumah berbentuk telur

RUMAH berbentuk telur yang didiami Dai Haifei di Beijing baru-baru ini.

BEIJING - Seorang siswazah, Dai Haifei membina sebuah kabin berbentuk telur dengan menggunakan buluh, rumput dan kayu kerana tidak mahu dibebani kos sewa rumah yang mahal di sini, lapor sebuah akhbar semalam.Kabin unik itu menarik perhatian ramai di China dan di luar negara.Pada minggu lalu, pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia membina kabin tersebut kerana tidak mampu membayar sewa selain dapat tinggal berhampiran dengan tempat kerjanya.

Namun, pada Jumaat lepas beberapa saksi melihat Haifei dan rakan-rakannya memindahkan kabinnya ke atas sebuah lori.Dia menyatakan, rumahnya itu dibawa oleh syarikatnya yang merupakan sebuah firma reka bentuk kerana ia kelihatan unik.

Namun, kini terdapat khabar angin bahawa rumah itu sengaja dibina untuk tujuan promosi. - Agensi

Thursday, December 2, 2010

Derita akibat tersilap SMS...

'Dia umpama cucu kamu'
Oleh Ibrahim Isa

BATU PAHAT: “Saya tahu kamu suka sama suka, tetapi gadis ini masih kecil dan bertaraf cucu kepada kamu. Selagi mangsa berusia bawah 16 tahun, undang-undang negara mengklasifikasikan tindakan kamu sebagai kes rogol.“Kamu sepatutnya melindungi serta menasihatkan gadis ini dan bukan memujuknya melakukan hubungan seks,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukum kepada seorang warga emas orang kurang upaya (OKU).Tertuduh, Mohd Sairi Munajar@Munajat, 56, yang cacat kedua-dua tangannya dipenjara 10 tahun dan enam sebatan semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol remaja berusia 13 tahun di asrama pekerja di Kampung Dalam, Ayer Hitam pada Oktober 2009.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, tertuduh sepatutnya melindungi dan menasihatkan gadis berkenaan daripada melakukan perbuatan negatif, tetapi keadaan sebaliknya berlaku.Beliau berkata, kes rogol membabitkan mangsa di bawah umur semakin berleluasa dan hukuman lebih tegas perlu dikenakan sebagai peringatan dan amaran kepada masyarakat.
Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan kepada tertuduh yang juga seorang tukang kayu selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sairi dituduh merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun sembilan bulan di Asrama Pekerja Kilang, Syarikat Berjaya Perniagaan Kayu Kayan T dan Y di Batu 19, Kampung Dalam, Ayer Hitam, di sini, pada jam 11.30 malam, 24 Oktober tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh merogol mangsa di tempat sama antara jam 2 petang hingga 11 malam pada 25 Oktober tahun lalu.Dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.Mohd Sairi yang tidak diwakili peguam dalam prosiding semalam merayu supaya tidak dikenakan hukuman sebatan dengan alasan dia menghidap asma selain faktor usia.
Bagaimanapun, Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu kerana kesalahannya serius.Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiah Saini, manakala dua peguam yang pernah membela tertuduh sebelum ini menarik diri daripada kes itu.

Menurut fakta kes, tertuduh mengenali mangsa selepas gadis itu tersilap menghantar SMS kepada nombor telefon bimbitnya.Kedua-duanya berbalas SMS selama sembilan bulan sebelum lelaki terbabit memujuk mangsa melarikan diri dari rumah keluarganya di Gemas, Negeri Sembilan, dengan berjanji membawanya ke Genting Highlands, sebaliknya ke tempat lain sebelum dirogol.

Tuesday, November 30, 2010

Pak Pandir Yang Tak Kenang Budi...


Sultan Selangor dukacita

SULTAN SELANGOR (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pembentang kertas kerja, Prof. Emeritus Dr. Shad Saleem Faruqi di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda sedih dan dukacita kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu.

Baginda bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.

“Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian adalah amat tidak bertepatan,” titah baginda pada majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di sini semalam.

Sultan Sharafuddin bertitah, terdapat juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan Raja-Raja Melayu.

Baginda percaya perbuatan itu dilakukan golongan berkenaan untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan politik mereka.

Friday, November 19, 2010

Enjut sedap...buang merata.


Lebih 2,000 janin ditemui di kuil di Thai

GAMBAR menunjukkan sejumlah bungkusan plastik yang mengandungi janin di sebuah rumah mayat di Bangkok semalam.

BANGKOK - Polis Thailand semalam menemui lebih 2,000 janin dalam bungkusan plastik yang digugurkan secara haram di sebuah rumah mayat di sebuah kuil Buddha di Phya Krai, Bangkok.Dua orang penjaga kuil mengaku menyembunyikan janin-janin itu di dalam tiga tempat simpanan yang berasingan. Kedua-dua penjaga itu mendedahkan, satu rangkaian klinik pengguguran telah mengupah mereka untuk menyimpan janin tersebut.

Namun, mereka tidak mengetahui bilangan janin yang telah disimpan di dalam rumah mayat tersebut.Di dalam sebuah bilik, kami telah menemui janin-janin. Kami kini membuka bilik yang seterusnya," kata Komander Polis Metropolitan Bangkok, Kolonel Sombat Milintajinda.Sebahagian janin itu telah disimpan selama lebih setahun.

Penemuan itu menggemparkan Thailand, sekali gus menunjukkan situasi pengguguran bayi secara haram di negara berkenaan.Kementerian Kesihatan menganggarkan daripada satu juta kehamilan, 80,000 bayi digugurkan secara haram.Ketua penyiasat dari balai polis Phya Krai berkata, setakat ini seorang wanita berusia 33 tahun telah ditahan dan dia mengaku melakukan pengguguran secara haram.

Jenayah itu terbongkar apabila bilangan janin didapati meningkat semasa kerja-kerja pengubahsuaian kuil sedang dijalankan. - AFP

cikgu kuat nafsu..


Guru wanita laku hubungan seks dengan pelajar

JENNIFER RIOJAS

FORT WORTH, Amerika Syarikat (AS) - Seorang guru sebuah sekolah tinggi di sini yang meletakkan jawatan selepas dia didakwa menjalin hubungan seks dengan seorang pelajar, telah ditangkap polis lapor sebuah akhbar semalam.

Guru itu, Jennifer Riojas turut ditangkap polis pada Rabu lalu atas dakwaan dia melakukan serangan seks terhadap seorang budak lelaki berumur di bawah 17 tahun.

Dia kemudiannya ditahan di sebuah penjara sementara menunggu diikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM62,310).

Jennifer yang berumur 26 tahun bagaimanapun semalam turut dituduh menjalin hubungan dengan seorang pelajar berumur 16 tahun.

Aduan polis berhubung perbuatan itu dibuat di sebuah balai polis di ini pada 20 Oktober lalu.

Dia menjadi guru di sekolah tersebut sejak Ogos tahun lalu.

Jennifer meletakkan jawatan sebagai guru di sekolah tersebut pada 21 Oktober lalu. - Agensi

Wednesday, November 17, 2010

Adakah Robot pilihan utama


Tempahan untuk membeli robot meningkat

SCOTT MACLEAN berada dekat dengan robot wanita ciptaannya, Suzie Software.

CHARLESTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pencipta robot di AS, Scott Maclean berkata, dia dihubungi dengan beberapa pelanggan di Britain untuk membeli robot ciptaannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Maclean, 47, menjelaskan terdapat beberapa pembeli dari Britain yang mahu membeli robot buatannya termasuk seorang lelaki bangsawan.

"Kami turut menmperoleh pelanggan dari Eropah, Rusia, Korea dan beberapa tempat lagi di dunia," katanya.

Menurutnya, beberapa minggu lalu, dia berbincang dengan seorang wanita yang mahu memperoleh robot seperti selebriti komedi Britain, Graham Norton.

"Saya turut diminta oleh beberapa orang untuk menghasilkan robot yang kelihatan seperti aktres Angelina Jolie, Pamela Anderson dan Michael Jackson.

"Namun, saya tidak boleh menghasilkan robot itu tanpa mendapat kebenaran mereka (selebriti tersebut)," katanya.

Antara robot ciptaan Maclean ialah Suzie Software yang tidak boleh bercakap.

Robot itu dijual pada harga AS$2,945 (RM9,214). - Agensi

Friday, November 12, 2010

Perdana Menteri ISrael Ariel Sharon Masih Koma.


SEBUAH ambulans (dalam bulatan) yang membawa Ariel Sharon berhenti dekat rumahnya dekat bandar Negev selatan Israel semalam.
KOMA HAMPIR 5 TAHUN.
BAITULMUQADDIS - Bekas Perdana Menteri Israel yang terkenal kerana membunuh ramai penduduk Palestin, Areil Sharon yang kini koma sejak tahun 2006 akibat diserang strok semasa masih memegang jawatan itu telah dipindahkan dari sebuah hospital ke rumahnya di selatan Israel semalam.

Anggota-anggota perubatan membawa Sharon yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki sebuah ambulans berwarna kuning yang diiringi para pengawal keselamatan.Sharon yang berusia 82 tahun menunjukkan 'maklum balas minimum' dan tidak ada petanda beliau akan pulih daripada koma.Menurut seorang pegawai Hospital Tel Hashomer, Dr. Shlomo Noi, tindakan membawa beliau pulang ke rumah adalah bagi membolehkan beliau dirawat dalam persekitaran keluarga berbanding di hospital.Tokoh politik kontroversi itu menjadi Perdana Menteri dari tahun 2001 sehingga 2006 apabila beliau diserang strok sehingga menyebabkannya berada dalam keadaan koma.

Ekoran Sharon diserang strok, jawatan Perdana Menteri kemudiannya dipangku oleh Ehud Olmert.Beliau dirawat dengan rapi di Hospital Tel Hashomer. Pengarah hospital itu, Dr. Zeev Rothstein menyifatkan Sharon berada dalam keadaan sedar yang tidak sepenuhnya."Beliau memerlukan bantuan dalam semua aktiviti harian," kata Zeev kepada saluran televisyen Israel, Channel 10 .

Sharon yang mempunyai dua orang anak lelaki itu dijangka akan dihantar ke hospital yang sama untuk pemeriksaan biasa.Pada 1982, semasa Sharon menjadi Menteri Pertahanan Israel, tentera negaranya mengepung kem Sabra dan Shatila di Lebanon yang menempatkan pelarian Palestin.Anggota-anggota tentera Israel yang mengepung kem tersebut membantu serangan militia Kristian Maronite Lebanon yang menyebabkan di antara 800 dan 3,500 penduduk awam Palestin di kedua-dua kem berkenaan terbunuh.

Pembunuhan itu menyebabkan Sharon dilabel sebagai Penyembelih Beirut.Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau dikatakan merancang plot untuk membunuh pemimpin pertubuhan Pembebasan Pembebasan Palestin, Yasser Arafat.Pada April 2002, semasa Sharon memegang jawatan Perdana Menteri, anggota-anggota tentera Israel diarah mengepung pejabat Yasser di Ramallah, Tebing Barat.Kejahatan dan niat yang buruknya itu telah mendapat ganjaran yang setimpal semoga menjadi tauladan kepada pemimpin lain yang angkuh dan sombong.

- Agensi

Thursday, November 11, 2010

Tahniah kepada semua calon....inilah modal insan.

48,327 calon UPSR cemerlang A
Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
kurizduan.kurahman@kosmo.com.my

HANIS AZEMI (tengah) yang mendapat 5A menunjukkan laporan Kosmo! yang memaparkan penglibatannya dalam sukan luncur air kepada ibunya, Hartini Abd. Halim (kiri) dan guru besar, Nik Nab Sulaiman di SK Taman Tun Dr. Ismail (1), Kuala Lumpur semalam.

PUTRAJAYA – Seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, keputusan tersebut merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), iaitu indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.

Kata beliau, pencapaian UPSR pada kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.02 peratus berbanding 9.51 peratus pada tahun lalu dan calon mendapat minimum gred C menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding 2009.

“Peratusan calon di bawah tahap pencapaian minimum iaitu gred D dan E turut berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus,” katanya ketika membentangkan keputusan UPSR 2010 di sini semalam.

Thursday, November 4, 2010

Keputusan Pilihanraya GALAS dan Batu SAPI..

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman (kanan) dan para penyokong BN meraikan kemenangan Thau Lin selepas beliau diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Sandakan malam tadi.

BN sapu bersih Galas, Batu Sapi
Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

AB. AZIZ (dua dari kanan) diraikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed (kiri) dan penyokong BN selepas diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Gua Musang malam tadi.

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas daripada Pas dan mengekalkan kemenangan di Parlimen Batu Sapi semalam.Dengan kemenangan itu, BN menyapu bersih pilihan raya kecil di DUN dan Parlimen tersebut.

Di Gua Musang, calon BN bagi DUN Galas, Ab. Aziz Yusoff menewaskan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad dalam pertembungan sengit dengan majoriti yang agak besar iaitu 1,190 undi pada pilihan raya kecil DUN itu semalam.Ab. Aziz, 49, diumumkan sebagai pemenang selepas memperoleh 5,324 undi menewaskan pencabarnya, Dr. Zulkefli, 44, yang mendapat 4,134 undi.Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Galas, Wan Mustafa Wan Abdul Hamid di Dewan Sivik di Gua Musang pada pukul 8.55 malam tadi.

Seramai 9,555 atau 82.71 peratus pengundi keluar mengundi semalam dengan undi rosak 132.DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar termasuk 127 pengundi pos. Pengundian dijalankan di 13 pusat mengundi yang melibatkan 25 saluran bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang.Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan tersebut, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu kerana barah usus.Pada pilihan raya umum 2008, calon Pas, Chek Hashim mengalahkan calon BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Sementara itu, di Batu Sapi, Sandakan, calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin berjaya mengekalkan kekuatan BN di kawasan Parlimen itu selepas memperoleh kemenangan besar dengan 9,773 undi.

Wednesday, November 3, 2010

Banjir Di Utara Makin Teruk...


Lebih 20,000 mangsa banjir dipindahkan
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM, MUSTAPA LAKAWA, FAIZAL NAZARUDDIN, KHAIRI MOHAMAD dan KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
berita@kosmo.com.my

BEBERAPA penduduk mengusung warga emas, Koo Weng Lim, 60, yang lumpuh diKampung Kota Giam, Jitra semalam.

ALOR SETAR – Keadaan banjir di Utara dan Pantai Timur Semenanjung bertambah buruk apabila lebih 20,000 penduduk terpaksa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir semalam.

Di Kedah, seramai 15,432 penduduk daripada 4,251 keluarga di empat daerah di negeri tersebut dipindahkan ke 79 pusat pemindahan berbanding 2,000 penduduk kelmarin.

Paras air Sungai Kuala Nerang mencatat peningkatan 21.05 meter (m) berbanding kelmarin 19.81m melepasi paras bahaya 17.07m dan Sungai Padang Terap mencatat paras air 15.29m melepasi paras bahaya 13.02m.

Sementara itu, di Perlis, jumlah mangsa banjir meningkat dua kali ganda apabila 4,600 penduduk dipindahkan semalam berbanding 1,600 penduduk kelmarin.

Banjir yang sebelum ini melanda Padang Besar dan Arau kelmarin memasuki beberapa kawasan di sekitar Kangar apabila beberapa bangunan awam dan jalan di Kangar termasuk Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ditenggelami air.

Monday, November 1, 2010

Kemalangan Ngeri di Setiu.


5 korban kereta bertembung van
Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

KEADAAN kereta Proton Wira yang meragut empat nyawa selepas merempuh sebuah van di Jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh, Setiu semalam.

SETIU - Tiga beradik bersama seorang bayi yang dalam perjalanan pulang selepas membeli ikan di sebuah pantai dekat sini menemui ajal apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah van di Jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh di sini semalam.Turut maut dalam kemalangan pada pukul 1.30 petang itu ialah seorang wanita warga emas, Mek Wook Yaakob, 76. Mek Wook merupakan salah seorang daripada 13 penumpang yang menaiki van yang terlibat dalam kemalangan itu.

Tiga adik-beradik lelaki malang yang terkorban ialah pemandu kereta Proton Wira, Noorazydyelwy Sidek, 32; Noorazry Elmy, 29; dan Noor Afzan Efizalman, 16.Anak tunggal Noorazryelwy yang dibawa sama membeli ikan, Nor Amysha Maisarah, 1, turut terbunuh.
Kesemua mangsa berasal dari Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Besut dekat sini.
Tiga beradik itu maut di tempat kejadian manakala bayi itu pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.

Sebelum kemalangan, Noorazydyelwy yang juga kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan dua adiknya serta anak saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai membeli ikan di Pantai Penarek.Bagaimanapun, tiba di tempat kejadian kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal dipercayai akibat jalan licin ekoran hujan.
Ekoran itu, kereta itu terbabas ke kanan jalan sebelum ia bertembung dengan sebuah van membawa 13 penumpang dari arah Permaisuri menuju ke Kuala Terengganu

Thursday, October 28, 2010

Belum Kahwin..hampir Mati...


Pelajar UiTM koma dibelasah
Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

HABERI sedih ketika melawat Hizreen di Unit Rawatan Rapi Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang bakal menamatkan pengajian Disember ini koma selepas dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya pada 22 Oktober lalu.

Mangsa, Hizreen Ieraqueen Haberi, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perbankan tidak sedarkan diri sejak hari kejadian akibat luka dalaman yang teruk di bahagian kepala.Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bapa mangsa, Haberi Hamzah, 49, yang merupakan seorang juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, dia menerima panggilan daripada teman serumah anaknya itu pada pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu di rumahnya di Semenyih, Selangor."Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan Hizreen, dia dikejarkan ke Hospital Machang kerana cedera dipukul oleh kawan lelaki yang dikenalinya."Keadaannya tenat dan saya diberitahu Hizreen dipindahkan ke HUSM.

"Daripada cerita rakan anak saya itu, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 10 malam pada 22 Oktober lalu di hadapan rumah sewa Hizreen berhampiran kampus UiTM Machang selepas mereka bergaduh," katanya.

Rakan anaknya itu mendakwa sebelum kejadian Hizreen dilihat bertemu dengan teman lelaki yang datang ke rumah sewa mereka dan berlaku sedikit pertengkaran.

Tuesday, October 26, 2010

Tukang Tilik Nasib Mati..


Sotong peramal Piala Dunia mati

GAMBAR fail menunjukkan Paul membuka tudung sebuah kotak plastik yang mengandungi kupang dan lambang bendera Jerman semasa membuat ramalan perlawanan Piala Dunia antara Jerman dengan England di akuarium Sea LIfe di bandar Oberhausen, Jerman pada 25 Jun lalu.

FRANKFURT - Seekor sotong kurita, Paul di Jerman yang menyebabkan para peminat bola sepak di seluruh dunia terpegun kerana ketepatannya meramalkan beberapa keputusan bola sepak Piala Dunia 2010 mati semasa berumur dua setengah tahun semalam.Menurut seorang jurucakap akuarium Sea Life yang menempatkan haiwan tersebut, Ariane Vieregge, sotong yang pernah meramalkan Sepanyol sebagai juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu mati di dalam akuariumnya di bandar Oberhausen, barat Jerman pada waktu pagi.
Sotong itu kelihatan baik apabila diperiksa lewat kelmarin.Namun, kata jurucakap itu, Paul gagal untuk meneruskan hidup dan ia mati akibat semula jadi."Kami semua mula menyayanginya dan akan merasai kehilangannya," kata pengurus akuarium itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.Setakat ini, pihak pengurusan Sea Life masih belum memutuskan cara untuk memperingati penghuni yang paling terkenal dalam akuarium berkenaan.Sotong itu pernah mendapat ancaman bunuh kerana ia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman pada pusingan kedua kejohanan Piala Dunia 2010.

"Kami mungkin memutuskan untuk menyediakan kubur kecil buat Paul dalam pekarangan akuarium kami dan mendirikan satu 'makam' sederhana yang kekal," kata pengurus tersebut.Sotong itu menjadi selebriti semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung pada Jun dan Julai lalu di Afrika Selatan.Paul bersara daripada membuat ramalan selepas perlawanan menentukan juara Piala Dunia antara skuad bola sepak Sepanyol dengan Belanda.Selepas perlawanan itu berakhir, sotong itu kembali dengan peranan asal dengan membuatkan kanak-kanak gembira apabila melihat gelagatnya di dalam akuarium.Paul mendapat perhatian ramai apabila ia berjaya meramalkan dengan tepat tujuh perlawanan melibatkan skuad bola sepak Jerman dalam kejohanan Piala Dunia itu.

Sotong itu memulakan ramalannya dengan membuka penutup salah satu daripada dua kotak plastik yang mengandungi kupang dan bendera skuad yang berentap dalam pertandingan.
Antara ramalan yang dibuat oleh Paul ialah kemenangan Jerman ke atas pasukan Argentina dan kekalahan Jerman ke atas Serbia.Sotong itu turut meramalkan kemenangan Jerman ke atas England dan kekalahan Jerman ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir.Selepas kemahiran meramalnya itu didedahkan, Paul telah dilantik menjadi duta mewakili England yang cuba menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia pada 2018.Sotong itu dilahirkan di akuarium Weymouth Sea Life Centre, England pada 2008.

Kebolehan meramalkan itu kemudian menjadi ilham pemilik beberapa haiwan lain yang cuba membuktikan ia setanding dengan Paul.Antara haiwan lain yang mengikut jejak langkah Paul ialah burung bayan di Singapura dan burung kakak tua Lorenzo di Hannover, Jerman. - Agensi

Thursday, October 14, 2010

Pelombong Terperangkap 600m di bawah tanah.


33 pelombong diselamatkan

SEORANG pelombong yang diselamatkan, Jose Ojeda mengibar bendera Chile selepas dia keluar dari kapsul penyelamat di lombong San Jose, Copiapo kelmarin.

SAN JOSE, Chile – Operasi menyelamatkan 33 orang pelombong yang terperangkap lebih 69 hari di dalam lombong emas dan tembaga bawah tanah San Jose, Chile sedalam 621.71 meter dari dalam permukaan Bumi dimulakan lewat malam kelmarin.Dalam operasi menyelamat itu, seorang pelombong menjadi mangsa pertama diselamatkan dari lombong itu pada pukul 12.11 pagi waktu Chile. Menurut seorang anggota penyelamat, Manuel Gonzalez Roberto Rios, pelombong pertama yang dipilih menaiki kapsul penyelamat dari dalam tanah itu ialah Florencio Avalos Silva, 31, kerana dia dianggap mempunyai psikologi yang kuat.

Dia memakai topeng oksigen dan peralatan biometrik bagi memantau tindak balas tubuhnya semasa berdiri di dalam kapsul penyelamat yang dihantar menerusi sebuah terowong.Ahli-ahli keluarganya bersorak dan membunyikan hon sebaik sahaja melihat Silva berjaya dibawa keluar dari terowong bawah tanah dengan menggunakan kapsul penyelamat itu.Avalos terus memeluk isterinya selepas keluar dari kapsul itu sebelum dia berbual dengan Presiden Chile, Sebastian Pinera.

Dia yang nampak tenang kemudian dibawa untuk mendapatkan rawatan dan bantuan psikologi.Dalam satu situasi lain yang menakjubkan, pelombong kedua yang diselamatkan memberikan cenderahati kepada pasukan penyelamat dan Pinera.

Pelombong kedua itu, Mario Sepulveda, 40, memeluk isterinya sebelum dia mengambil batu-batu daripada begnya dan memberinya kepada mereka yang berada di sekitar lombong itu sebagai cenderamata.Dia kemudian menggenggam tangan dan sama-sama menyanyikan lagu Viva Chile.“Sangat menakjubkan apabila mereka mampu menyelamatkan kami. Saya tidak pernah ragu-ragu bahawa kami semua dapat dikeluarkan dari lombong hidup-hidup,” kata Sepulveda dalam satu temu ramah di televisyen.

Pelombong warga Bolivia, Carlos Mamani Solis, 24, yang menjadi mangsa keempat diselamatkan dan berikrar bahawa dia tidak akan menjejakkan kakinya di dalam lombong.
Sementara itu, pelombong termuda, Jimmy Alejandro Sanchez Lagues, 19, mempunyai cara tersendiri meraikan hari bersejarah itu.Dia mengibarkan bendera pasukan bola sepak kesukaannya, Universidad de Chile sebaik sahaja dia dikeluarkan daripada kapsul penyelamat yang diberi nama Phoenix 2 itu.

Operasi menyelamat turut diberhentikan buat seketika apabila kapsul penyelamat itu perlu dibaiki selepas mengalami sedikit kerosakan akibat geseran.Pasukan penyelamat diberi masa selama 48 jam untuk menyempurnakan operasi menyelamat.

Saturday, October 9, 2010

Kesilapan Membawa Padah..

Wanita tersilap gam mata

IRMGARD HOLM

PHOENIX, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita terpaksa dirawat di sebuah hospital baru-baru ini selepas sebelah matanya melekat gara-gara dia menitikkan cecair gam kuat yang disangka ubat mata.

Stesen televisyen tempatan, KSAZ-TV melaporkan mangsa, Irmgard Holm yang berasal dari negeri Arizona pernah menjalani pembedahan membuang katarak setahun lalu.

Matanya melekat selepas Holm menyangka satu botol gam sebagai ubat matanya.
Dia kemudian terus menitis gam itu ke dalam matanya.Wanita itu kemudian rasa sakit selepas menggunakan cecair gam tersebut menyebabkan dia sedar ada sesuatu yang tidak kena.

Menurutnya, dia tersilap kerana botol yang menyimpan gam dan ubat mata itu nampak hampir serupa.Holm kemudian cuba membasuh matanya dengan air tetapi kelopak matanya tertutup rapat kerana kekuatan gam itu.Petugas-petugas sebuah hospital terpaksa memotong lapisan gam tersebut sebelum beberapa doktor mencuci matanya untuk mengelakkan kerosakan. - AP

Friday, October 1, 2010

Buah dada yg. melampau..


Pecah kayu dengan payu dara

GAMBAR menunjukkan Susan Sykes memecahkan kepingan kayu dengan menggunakan payu daranya dalam satu program bakat televisyen di Jerman baru-baru ini.

BERLIN - Seorang wanita, Susan Sykes menunjukkan kekuatan ototnya yang luar biasa apabila dia memecahkan kepingan kayu dengan menggunakan payu daranya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berumur 49 tahun bukan sahaja memecahkan kayu itu tetapi juga buah tembikai dan meleperkan tin minuman bir dalam satu program bakat televisyen di Jerman.

Aksi Sykes yang memiliki payu dara besar dengan saiz 46H itu mengagumkan penonton televisyen baru-baru ini.

Sebelum ini dia pernah dilabelkan sebagai satu ancaman ke atas Amerika Syarikat kerana seorang penonton mati kerana serangan jantung apabila melihat aksinya di televisyen.

"Dia (Sykes) memang amat mengagumkan tetapi anda tidak akan mahu berada di belakangnya apabila dia berlari untuk menaiki bas," kata seorang penonton televisyen. - Agensi

Saturday, September 25, 2010

Hukuman paling lama...

Dipenjara 14,400 tahun sebab rogol anak
MANILA - Seorang lelaki Filipina dihukum penjara oleh seorang hakim sebuah mahkamah di sini semalam sehingga 14,400 tahun kerana merogol seorang anak perempuannya hampir setiap hari selama lebih setahun.

Hakim Mahkamah Rayuan, Mario Guarina berkata, tertuduh seorang pemandu beca didakwa memperkosa mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun semasa ibunya berada Hong Kong kerana bekerja sebagai pembantu rumah.

"Inilah kes penderaan seksual terhadap seorang mangsa bawah umur yang paling teruk dalam rekod perundangan kita," kata Guarina dalam penghakimannya yang diputuskan pada awal minggu ini.

Pada mulanya, lelaki itu dihukum mati dengan cara suntikan maut namun dia bernasib baik apabila Filipina memansuhkan hukuman tersebut.

Mahkamah diberitahu, lelaki yang mempunyai tiga orang anak itu mula merogol mangsa di rumahnya selepas isterinya itu berlepas ke Hong Kong pada Januari 2001 dan kejadian tersebut berterusan selama 386 hari. - AFP

Sunday, September 19, 2010

Aku bangga jadi Anak Melayu...

Mursyidul Am Pas dibidas tidak bangga berbangsa Melayu

KOTA BHARU 19 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dibidas kerana tidak bangga berbangsa Melayu sedangkan Islam tidak melarang umatnya menyebut tentang bangsa asalkan ia tidak melebihi tahap agama suci itu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad (gambar) berkata, Rasulullah tidak pernah menghalang umatnya menyebut tentang bangsa malah baginda berbangga sebagai bangsa Quraisy apabila menyebut 'ana Quraisy'.

"Baginda mengaku berbangsa Quraisy tetapi tidak bermakna baginda memperbesar-besarkan perkara itu, yang penting ialah Islam.

Tidak ada masalah dengan bangsa sebab itu dalam al-Quran, Allah berfirman manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa supaya dapat kenal-mengenal. Maknanya Allah jadikan bangsa, itu fakta.

"Saya tidak tahu apa maksud dia (Nik Abdul Aziz) kata tidak bangga dengan Melayu. Memanglah kita tidak setuju kalau bangsa itu dilebihkan tetapi tidak salah (menyebut bangsa) sebab Rasulullah sendiri kata 'ana Quraisy'," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan tidak bangga berbangsa Melayu pada ketika terdapat usaha cuba menghapuskan keistimewaan hak orang Melayu.

Md. Alwi yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, kejayaan yang dinikmati hari ini disebabkan hak-hak keistimewaan Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

"Saya rasa Nik Abdul Aziz terlupa apa yang dia, anak-anak dia, orang Pas dan Melayu dapat hari ini adalah kerana Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan Melayu dan pada masa yang sama juga Islam dapat berkembang sehingga hari ini.

"Ini adalah perjanjian tetapi pada masa yang sama hak kaum lain tidak akan terhalang. Dasar itu memang tepat sebagai timbal balas kepada apa yang orang Melayu berikan sebelum merdeka dahulu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Nik Abdul Aziz hanya mengeluarkan kenyataan politik apabila menyerahkan sepenuhnya kepada Pas untuk menentukan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Kalau betul dia tidak mahu bertanding dia kena kata sudah tidak mahu kerana dia lebih uzur daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya.....SUMBER uTUSAN mALAYSIA.

Friday, September 17, 2010

Gelaran Palsu...


Patmanaban guna gelaran Datuk palsu

K. PATMANABAN

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan peguam K. Patmanaban tidak pernah dikurniakan gelaran Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada semakan, Patmanaban didapati menggunakan gelaran Datuk palsu.

"Dia tidak pernah dianugerahkan gelaran Datuk oleh mana-mana negeri," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Difahamkan, Patmanaban sebelum ini pernah cuba membeli gelaran itu dari sebuah negeri, namun dia menjadi mangsa penipuan walaupun selepas menyerahkan sejumlah wang yang dianggarkan beratus ribu ringgit untuk tujuan mendapatkan anugerah itu.

Malah dia ketika itu dikatakan menerima surat penganugerahan daripada pihak istana, namun pada saat-saat akhir namanya tidak tersenarai.

Dalam pada itu, Bakri berkata, aset Patmanaban yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati telah dibekukan, namun buat masa ini berapa jumlah aset peguam itu yang dibekukan belum dapat diumumkan.

Tuesday, September 14, 2010

Kes Pembunuhan Paling Ngeri...

Sosilawati, tiga lagi mati disah dibunuh
12/09/2010 4:18pm

BANTING – Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.

Tiga lagi orang ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. – Bernama

Sunday, September 5, 2010

sElamat Hari Raya


SAYA MENGUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA BLOGER YANG TELAH MENGUNJUNGI BLOG SAYA SEMOGA TUAN/PUAN MENDAPAT MENAFAAT DARI SEMUA PETIKAN BERITA YANG DIPAPARKAN MENGIKUT CITARASA SAYA. TERIMA KASIH. SEMOGA ANDA SEMUA TERUS DATANG KE BLOG SAYA DIMASA-MASA AKAN DATANG....ikhlas dari Perkasan...SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Thursday, September 2, 2010

Moral manusia yang rendah

Gereja gay pertama

TINDAKAN seorang paderi menjadikan sebuah gereja di pinggir Kuala Lumpur sebagai tempat untuk mengembangkan budaya gay sangat membimbangkan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang paderi di Malaysia, Ouyang Wen Fang mengumumkan bahawa dia sedang menubuhkan gereja gay pertama di negara ini.

Paderi berusia 40 tahun itu turut tidak mengendahkan amaran keras kerajaan supaya menghentikan rancangannya kerana bimbang ia akan menggalakkan gaya hidup homoseks di negara ini.

Amalan tersebut masih dikategorikan sebagai jenayah di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam manakala pelakunya berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Namun, gereja gay yang diasaskan bersama oleh paderi itu telah beroperasi secara senyap di sini sejak tiga tahun lalu dengan dikunjungi kumpulan penganut Kristian gay untuk beribadat pada hari Ahad dan mengkaji kitab Injil.

"Kami sedang berusaha untuk menggalakkan lebih ramai orang supaya menyertai gereja ini, kami mahu penganut Kristian gay tampil dan hidup tanpa berpura-pura," katanya.

Ouyang mendirikan rumah tangga selama sembilan tahun sebelum membuat pengakuan terbuka bahawa dia seorang homoseks pada 2006.

Tuesday, August 31, 2010

Pencuri Bulan Ramadan


Pencuri motosikal kena belasah
Oleh ZAID MOHD. NOOR
Zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

SEORANG remaja (dua dari kiri) yang cuba mencuri sebuah motosikal cedera dibelasah orang ramai di Lundang, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki berumur 20-an cedera teruk dibelasah orang ramai akibat tindakannya cuba mencuri sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Lundang di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang ini, remaja terbabit dikatakan telah menghidupkan enjin motosikal itu bagaimanapun disedari oleh pemiliknya yang segera menjerit meminta pertolongan orang ramai.

Beberapa remaja bermotosikal yang melalui kawasan tersebut segera meluru ke arah suspek terbabit dan membelasahnya menggunakan topi keledar.

Pemilik motosikal berkenaan, Wan Razali Wan Yusof, 40, berkata, dia meletakkan motosikalnya di situ untuk melihat satu kemalangan kecil yang kebetulan berlaku di jalan berhampiran.

Tuesday, August 24, 2010

Bulan Puasa Pun Berlaku Kejahatan..


Toyota Wish, Myvi guru terbakar

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

ANGGOTA forensik polis memeriksa Toyota Wish dan Perodua Myvi yang terbakar di Kampung Jelawat, Bachok semalam.
BACHOK – Seorang guru, Mazuki Ahmad Fatani, 35, kerugian hampir RM200,000 selepas dua buah kenderaan miliknya yang diletakkan di pekarangan rumahnya terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Kampung Jelawat di sini pagi semalam.Kenderaan yang mula-mula terbakar ialah jenis Toyota Wish dan kemudian merebak ke kereta Perodua Myvi yang diletakkan bersebelahan.
Menurut ibu guru tersebut, Nor Asikin Awang, 53, berkata, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu disedari oleh salah seorang anaknya, Siti Nur Farhana Ahmad Fatani, 23, selepas terdengar bunyi letupan yang agak kuat di luar rumahnya.

Katanya, selepas terdengar letupan itu, Siti Nur Farhana mengejutkannya yang pada ketika itu tidur di bilik berasingan dan memaklumkan bunyi letupan tersebut.“Pada awalnya Siti Nur Farhana menyangka bunyi mercun tetapi selepas melihat melalui tingkap didapati kereta yang terbakar,” katanya ketika ditemui di sini semalam

Saturday, August 21, 2010

Kesan Teknologi Terkini Tentang Firaun


Firaun Tut mati kesan sumbang mahram

GAMBAR fail menunjukkan wajah Firaun Tutankhamun yang dihasilkan dengan menggunakan teknik membina semula muka daripasa imbasan mumianya oleh pasukan pakar dari Perancis.

KAHERAH - Kematian mengejut Firaun Tutankhamun pada usia 19 tahun didapati berpunca akibat tubuhnya yang lemah kerana dia dilahirkan hasil daripada hubungan sumbang mahram melibatkan keturunannya, kata beberapa saintis.

Sejak bertahun-tahun lalu, pakar-pakar cuba membongkar misteri kuno mengapa firaun remaja berkenaan yang memerintah Mesir selama 10 tahun meninggal dunia sebelum usianya mencecah 20 tahun.

Namun, kini sepasukan penyelidik dengan bantuan mesin pengimbas tomografi paksi berkomputer (CT), ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan maklumat arkeologi, mempercayai nasib yang menimpa Firaun Tutankhamun yang turut dikenali sebagai Tut adalah kerana ibu bapanya merupakan pasangan adik-beradik.

Ujian DNA membuktikan bapa Firaun Tut meniduri salah seorang daripada lima adik-beradik perempuannya sekali gus menyebabkan tubuh anaknya mewarisi gen berbahaya yang melemahkan daya ketahanan badan di samping boleh mengancam nyawanya.

Keadaan serupa dapat dikesan dalam kalangan zuriat yang lahir hasil perbuatan sumbang mahram.

Sebelum ini, Firaun remaja itu dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan dan penyakit. - Agensi

Wednesday, August 18, 2010

Tukul atas Kepala.


Terselamat walau tukul melekat di kepala

SEBATANG penukul melekat di dahi Yuan Dongjiang baru-baru ini.

NANNING, China - Seorang tukang rumah terselamat daripada maut walaupun sebatang penukul melekat di dahinya selepas dia terjatuh dari ketinggian tiga meter di tempat kerjanya.Bahagian belakang penukul dilihat mengenai dahi di bahagian atas mata kiri Yuan Dongjiang ketika dia sibuk menanggalkan bumbung sebuah gudang di Nanning, wilayah Guangxi China, baru-baru ini.Pekerja berusia 40 tahun itu bagaimanapun masih berada dalam keadaan sedar dan dapat berfikir apabila tiba di sebuah hospital.

Pemeriksaan X-ray menunjukkan penukul tersebut menembusi dahi.Dia bernasib baik kerana matanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Doktor kemudian berjaya mengeluarkan penukul itu dan Dongjiang kini semakin sembuh di hospital. - Agensi

Sunday, August 15, 2010

Bulan Puasa Syaitan di Rantai..Manusia Iblis.


Empat sekeluarga disimbah asid
Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my
NURUL DAHYATUL yang melecur teruk dirawat di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita tidak menyangka suaminya sanggup membawa asid untuk mengugutnya mendapat wang sehingga menyebabkan dia tiga beranak dan ibunya melecur di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu semalam.Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang dengan keputusan mangsa yang telah berpindah pulang ke rumah ibunya dan dalam proses memohon penceraian dengan suspek.
Semasa kejadian suspek didakwa memecah masuk rumah ibu mangsa dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi cecair asid.Kehadiran suspek mencetuskan pertengkaran dengan mangsa sebelum mangsa cuba merebut bungkusan asid itu dan menyebabkan cecair itu terkena mangsa.

Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, cedera di muka dan kedua-dua belah tangan serta bahagian belakang badan.Turut melecur dua orang anak mangsa, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 8, dan Mohd. Irfan Firdaus, 2, serta ibunya, Minah Omar, 56. Masing-masing melecur di beberapa anggota badan.Paling teruk, Nurul Dahyatul yang mungkin hilang deria penglihatan apabila seluruh muka sehingga paras dada kanak-kanak itu terkena asid.

Wednesday, August 11, 2010

Manusia besi


Lelaki pertama ikut laluan Amazon

GAMBAR bertarikh Disember 2008 menunjukkan Stafford berjalan meredah Sungai Amazon.

MARAPANIM, Brazil - Seorang warga Britain, Ed Stafford yang berumur 34 tahun mencipta sejarah kelmarin apabila dia menjadi lelaki pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon selama 859 hari termasuk digigit 50,000 nyamuk.

Dia yang merupakan bekas kapten tentera Britain menghabiskan masa selama dua setengah tahun bersama rakan penunjuk arah dari Peru, Gadiel 'Cho' Sanchez Rivera.

"Saya telah diberitahu bahawa saya akan mati. Namun, saya tidak mati. Saya kini berada di sini. Saya membuktikan bahawa jika anda mahukan sesuatu, anda boleh melakukannya," katanya.Stafford pengsan pada Ahad lalu, kira-kira 85 kilometer daripada lokasi penamat.Dia menyambung perjalanan selepas berehat selama beberapa jam.Lelaki itu kemudian berlari ke arah Lautan Atlantik di pantai Crispim, Brazil kelmarin yang merupakan lokasi penamat jelajah Sungai Amazon.

Pada mulanya, Stafford memulakan ekspedisi itu bersama seorang rakan Britain pada 2 April 2008 di selatan Peru.
Selepas tiga bulan berjalan, rakan Britainnya itu menarik diri.Pada satu ketika di Peru, sekumpulan penduduk orang asli telah memenjarakan dia bersama rakannya itu kerana disyaki menjadi pembunuh sebelum dibebaskan selepas 48 jam ditahan.

Namun, Stafford meneruskan ekspedisi berjalan melalui hutan sebelum menemui Rivera yang berumur 31 tahun dan menemaninya sehingga ke lokasi penamat.Ekspedisi itu melibatkan kos sebanyak AS$100,000 (RM315,200) yang ditaja oleh beberapa syarikat dan sumbangan.

Sepanjang ekspedisi itu, dia mendapati banyak pokok hutan ditebang sekali gus menyebabkannya memahami lebih mendalam mengenai peranannya untuk melindungi Amazon dan berusaha mengatasi masalah perubahan cuaca. - Agensi

Tuesday, August 10, 2010

Handphone blackberry akan diharamkan

SKMM kaji BlackBerry
Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiapkan laporan berhubung penggunaan telefon bimbit pintar BlackBerry di negara ini ekoran tindakan beberapa negara menggantung perkhidmatan telefon itu atas alasan keselamatan.Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan itu kini dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dikemukakan dalam satu mesyuarat minggu ini.
“Laporan itu adalah tentang dakwaan kononnya perkhidmatan BlackBerry telah digantung di beberapa negara. Kita akan umumkan hasilnya selepas mesyuarat nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Malaysia Selamat (Msafe) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini semalam.Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pada 4 Ogos lalu, pengawal selia industri telekomunikasi Arab Saudi dilapor mengarahkan perkhidmatan BlackBerry di negara itu digantung mulai Jumaat lepas kerana pengeluarnya gagal memenuhi syarat-syarat yang dikenakan pihak berkuasa negara itu.

UAE pada Ahad lalu pula mengumumkan, pihaknya akan menggantung perkhidmatan utama BlackBerry iaitu pengiriman mesej, e-mel dan pelayaran Internet mulai 11 Oktober ini disebabkan isu keselamatan.

Friday, August 6, 2010

Apa kata anda....bila terjatuh dalam lubang najis?


Terkurung dua hari dalam lubang najis

SEORANG lelaki China keluar dari lubang najis di Wuyuan, Inner Mongolia baru-baru ini.

BEIJING - Seorang lelaki China bernasib baik apabila masih hidup selepas dia terperangkap selama dua hari di dalam sebuah lubang najis sebelum diselamatkan baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu tergelincir jatuh ke dalam lubang najis tersebut namun dia diselamatkan oleh satu pasukan penyelamat setelah seorang pejalan kaki mendengar jeritan meminta tolong daripada si mangsa.

Anggota-anggota bomba menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tangga dan perkara pertama yang dilakukan lelaki itu ialah berlari ke sebuah kolam bagi membersihkan tubuhnya.

Keluarga lelaki yang berasal dari Wuyuan di wilayah Inner Mongolia itu telah membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa. - Agensi

Saturday, July 31, 2010

Ustaz terpesong...

Ustaz tayang video lucah

Oleh SYED AHMAD
ZULKARNAIN SYED ALI

REMBAU – Tugas seorang ustaz sepatutnya membimbing murid ke jalan benar melalui pembelajaran agama, tetapi perkara sebaliknya berlaku di sebuah sekolah kebangsaan dekat sini.Sehubungan itu, seorang ustaz di sekolah itu dikatakan tergamak menayangkan video berunsur lucah kepada murid-muridnya.Sehubungan itu, seorang bapa yang diberitahu oleh anaknya mengenai perangai buruk ustaz itu tampil membuat laporan polis pada Khamis lalu.Bapa yang mahu dikenali sebagai Azman, 40, mendakwa, dia terkejut apabila anaknya yang berada di darjah lima sekolah itu memberitahu ustaz berkenaan menayangkan satu video lucah kepada lebih 20 murid di sebuah bilik multimedia baru-baru ini.Katanya, dia dimaklumkan bahawa video itu mengandungi adegan-adegan tidak senonoh seperti pasangan mengadakan hubungan seks dan pelakon wanita turut mendedahkan payu dara.

“Untuk kepastian, saya bertanyakan perkara itu kepada rakan-rakan sekelas anak saya dan mereka mengiyakannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Thursday, July 29, 2010

Kes Culik Di Besut


Pelajar diculik depan sekolah

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
berita@kosmo.com.my
BESUT - Niat jahat dua lelaki yang menculik seorang pelajar dipercayai untuk dirogol bukan sahaja tidak termakbul malah, kedua-dua mereka dapat diberkas ketika sedang bersembunyi dalam keadaan parah di dalam sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut di sini kelmarin.Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku apabila suspek berusia 15 dan 23 tahun yang menaiki sebuah kereta Perodua Kenari melarikan Nurmuni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, ketika dia sedang menunggu ibunya di luar kawasan sekolah untuk menjemputnya pulang selepas tamat kelas tambahan.Sebelum kejadian, abang mangsa telah datang ke sekolah berkenaan tetapi pulang semula ke rumah selepas mendapati adiknya masih belum keluar.Nurmuni Ainun Izzati merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini.Sebaik sampai di sekolah berkenaan, salah seorang suspek tersebut terus menarik mangsa ke dalam kereta hingga menyebabkan pelajar berusia 15 tahun berkenaan cedera manakala beg sandangnya putus dan tertinggal di situ.
Kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa pelajar lain tetapi mereka tidak sempat membantu kerana mendakwa kejadian berlaku begitu pantas.Difahamkan, suspek berusia 23 tahun tersebut dipercayai dalam keadaan gersang kerana isterinya dikatakan masih berpantang kerana baru lepas bersalin.Mangsa kemudian diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dengan salah seorang suspek memeluknya dari belakang.Nurmuni Ainun Izzati kemudian bertindak melawan dengan meronta-ronta dan menendang papan pemuka kereta menyebabkannya rosak manakala pemandunya pula gagal mengawal kenderaan tersebut.Ekoran tindakan drastik mangsa, kereta tersebut kemudian terbabas hingga memasuki sebuah parit di Kampung Limbongan dekat sini iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa pengsan serta mengalami cedera parah di kepala dan leher.Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)."Polis yang melancarkan operasi tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian dan mendapati kedua-dua suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan pengsan dalam kereta.
"Hasil maklumat orang ramai, polis kemudian telah menyerbu sebuah rumah dan mendapati kedua-dua suspek yang cedera parah itu sedang bersembunyi di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Wednesday, July 28, 2010

Koleksi Kereta ..

Sultan Brunei ada 7,000 kereta
BANDAR SERI BEGAWAN - Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memiliki koleksi kereta paling mewah dan terbesar di dunia, lapor GTSpirit.com semalam.Baginda memiliki 7,000 buah kereta berprestasi tinggi dengan anggaran harga keseluruhan mencecah AS$5 bilion (RM15.9 bilion).Antara kereta mewah milik Sultan Hassanal Bolkiah termasuk sebuah kereta Porsche 959, Porsche Carrera GT, Lamborghini Diablo Jota, Lamborghini Murcielago LP640, Bugatti EB110, dua buah Bugatti Veyron (edisi biasa dan Pur Sang) , Maybach 62, Jaguar XJR-15 dan enam Dauer 962s.Baginda turut memiliki enam buah kereta Ferrari FX, model asal Bentley Continental R, satu-satunya Porsche Carma di dunia, satu-satunya kereta sport Koenigsegg Agera CC GT, dua kereta konsep Ferrari Mythos yang beroperasi sepenuhnya, dua kereta Sedan Ferrari 456 GT, satu-satunya kereta Mercedes-Benz CLK-GTR pemanduan kanan di dunia, lima kereta lumba McLaren F1 termasuk dua model LM hitam dan tiga kereta Cizeta-Moroder V16T.

Sultan Hassanal juga merupakan pemilik 10 daripada 77 model Aston Martin One-77 yang pernah dikeluarkan, satu-satunya Aston Martin Convertible DB4 GT Zagato, dan satu-satunya kereta Cicero BDB Maestro.Menurut akhbar Daily Mirror, setakat 30 Jun 2010, beliau memiliki 604 buah Rolls Royce, 574 Mercedes-Benze, 452 Ferrari, 382 Bentley, 209 BMW, 179 Jaguar, 134 Koenigsegg, 21 Lamborghini, 11 Aston Martin dan sebuah SSC.Koleksi penuh kereta itu disimpan dan diselenggarakan di lima buah hangar pesawat yang lokasinya dirahsiakan. - Agensi

Monday, July 26, 2010

Tahniah.

2 finalis Imam Muda dapat tawaran Universiti Madinah


2010/07/27

SHAH ALAM: Dua finalis rancangan realiti Astro Oasis, Imam Muda bertuah apabila Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) menawarkan tajaan pendidikan sepenuhnya kepada mereka untuk menyambung pelajaran di situ.
Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, dan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, bukan saja ditawarkan biasiswa pendidikan, malah mereka boleh memilih bidang pengajian yang diminati pada peringkat sarjana.Ia diumumkan Ketua Pengarah Yayasan Antarabangsa Al-Madinah, Bahrudin A Rahman di sini, semalam sempena kunjungan kedua-dua Imam Muda berkenaan ke kampus MEDIU, di sini.
Muhammad Asyraf ketika ditemui berkata, beliau berbesar hati selepas ditawarkan pengajian percuma di MEDIU dan berharap dapat memanfatkan sepenuhnya ilmu yang diperolehi.

“Saya gembira kerana sampai ke peringkat ini. Pengalaman sepanjang program akan dimanfaatkan sepenuhnya pada masa depan dan pertandingan ini adalah satu batu loncatan untuk merapatkan diri dengan masyarakat,” katanya.Hizbur Rahman pula berkata, rancangan realiti berunsurkan keagamaan itu memberikan pengalaman baru yang tidak pernah terlintas di fikirannya.“Saya buat perkara yang tidak pernah dilakukan selama ini dan banyak perkara baru dipelajari.“Pada peringkat awal pertandingan, saya selalu nasihatkan diri sendiri supaya berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Wednesday, July 21, 2010

Seronok yang berlebihan bawa padah.


Terjatuh semasa berasmara
BEBERAPA anggota polis membantu satu pasangan yang berbogel setelah mereka terjatuh dari tingkap tingkat satu sebuah flat di Lubeck kelmarin.
LUBECK, Jerman - Satu pasangan yang sedang berbogel dan berasmara cedera selepas mereka terjatuh dari tingkap sebuah flat di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut jiran-jiran, pasangan itu terjatuh dari tingkat satu dalam keadaan bogel di laluan pejalan kaki.Mereka, berkata, pasangan itu kerap bertemu di flat tersebut.
"Kami tidak pernah melihat mereka tetapi kami pernah mendengar suara mereka," kata seorang jiran.

Seorang pegawai polis berkata, semasa kejadian, wanita itu terjatuh ke belakang dari tepi tingkat semasa mereka berasmara dan dia turut menarik teman hidupnya bersama.
Pasangan itu mengalami patah tulang dan cedera di muka serta di kepala kelmarin.
Namun, wanita tersebut cuba menutup malu dengan menyatakan dia tidak ingat berhubung insiden jatuh itu. - Agensi

Friday, July 16, 2010

Perniagaan Import eksport..

Gelagat ‘gadis katak’
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/07/16

KUALA LUMPUR: Dua pelancong asing layak digelar ‘gadis katak’ apabila ditahan kerana menyeludup masuk 47 ekor katak gergasi jenis Tomato Frog yang disumbat ke dalam stoking sebelum disembunyikan di dalam bagasi masing-masing.Lebih mengejutkan apabila mereka berasal dari Madagascar, dikesan turut membawa bersama 374 ekor kura-kura spesies Radiated Tortoise dan Madagascar Tortoise yang sengaja dibalut dengan pita pelekat sebelum disorokkan menggunakan tilam dibawa.Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, kedua-dua gadis terbabit masing-masing berusia 23 dan 30 tahun itu dikesan memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pelancong asing.Menurutnya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8 pagi kelmarin, suspek ditahan pegawai Kastam selepas mengesyaki membawa sesuatu yang mencurigakan.
“Ketika ditahan, suspek didapati membawa dua beg bagasi berwarna coklat dan hitam. Namun sebaik salah satu beg diperiksa, pegawai kastam menemui sejumlah haiwan yang cuba diseludup sebelum memaklumkannya kepada kami.“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka cuba menyeludup tiga jenis hidupan liar dilindungi membabitkan 369 ekor kura-kura spesies Radiated Tortoise dan lima ekor Madagascar Tortoise,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, semalam.Menurutnya, kura-kura kecil dengan corak bintang di bahagian belakang badan terbabit disifatkan mempunyai permintaan dan nilai tinggi di pasaran mencecah sehingga RM1,500 seekor. “Biasanya peminat haiwan eksotik sanggup membayar harga tinggi bagi memperoleh kura-kura spesies berkenaan yang dianggap boleh membawa tuah selain sukar diperoleh berikutan hanya hidup di Madagascar.“Suspek wanita berkenaan turut cuba menyeludup 47 ekor katak spesies Tomato Frog dan sejumlah sesumpah. Ia adalah rampasan pertama membabitkan dua spesies,” katanya.

Tuesday, July 13, 2010

Usaha membawa kejayaan


Wanita jual barang kosmetik RM19.3j

REBEKAH TESTER

LEICESTERSHIRE - Seorang wanita, Rebekah Testar berusia 42 tahun yang menjual produk kecantikan dari rumah ke rumah dan memulakan pekerjaannya itu sebagai hobi separuh masa untuk memperoleh pendapatan bagi persediaan menyambut Krismas kini telah berjaya menjadi kaya, lapor sebuah akhbar semalam.Ibu tiga orang anak itu kini menjadi penasihat jualan utama syarikat produk kosmetik tersebut apabila jualan produk kecantikannya mencecah lebih AS$6.03 juta (RM19.3 juta).Testar kini mempunyai 1,750 wakil penjual di bawah kendaliannya selain memandu sebuah Mercedes dengan plat 4 VON. Lapan tahun lalu, dia sangat bimbang untuk menyara keluarga selepas suaminya, Tony terpaksa berhenti kerja sebagai perunding kewangan kerana berdepan masalah tekanan dan kemurungan.Selepas bertemu dengan seorang wakil jualan syarikat kosmetik tersebut semasa membawa anak-anaknya ke tadika, Testar bersetuju menyertai syarikat menjual produk kecantikan itu.Dalam tempoh dua bulan, dia mempunyai 300 orang pelanggan.
Tahun lalu, pasukannya berjaya mencapai jualan lebih AS$3 juta (RM9.6 juta)."Saya tidak percaya ini berlaku kepada saya. Saya didekati oleh seorang wakil jualan itu pada musim luruh 2002 dan bersetuju untuk mengambil brosur dan mengadakan perjumpaan dengannya.

"Saya fikir ia boleh mengurangkan sedikit kebimbangan dan memberi wang tambahan untuk perayaan Krismas. Tidak pernah terfikir selepas lapan tahun itu, saya menjadi salah seorang penjual tertinggi dalam syarikat," katanya.Sebelum ini, Testar bekerja di sebuah bangunan masyarakat sebelum menjadi ibu sepenuh masa. Dia kini mempunyai 70 orang pengurus jualan yang menguruskan pasukan wakil jualannya."Pada mulanya, sasaran saya adalah untuk mendapatkan 500 orang pelanggan. Kami menjual di seluruh kampung dan memperoleh semakin ramai pelanggan."Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerja keras. Pergi dari rumah ke rumah dan menghantar sendiri 200 brosur setiap hari," jelasnya lagi.Hanya selepas beberapa bulan, Testar menjadi ketua jualan. Setelah melihat pelan bayaran komisen, dia tahu bahawa ia adalah peluang untuk menjana pendapatan."Ia bukan mudah. Namun, saya boleh katakan bahawa saya sangat sukakan kerja ini. Waktu kerja yang fleksibel membolehkan saya sentiasa bersama keluarga. Saya kini boleh mendapat lebih banyak wang dalam satu minggu berbanding sewaktu bekerja sepenuh masa dahulu," katanya. - Agensi

Monday, July 12, 2010

Ramalan Awal Jadi Kenyataan...Spain Juara WC.

Skuad Sepanyol disambut meriah

MADRID - Pemain-pemain bola sepak Piala Dunia Sepanyol diberikan sambutan meriah sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Barajas di sini semalam.Sorakan bergemuruh daripada peminat-peminat bola sepak itu bergema apabila ketua pasukan, Iker Casillas keluar dari pesawat bersama jurulatih, Vicenter del Bosque dan menjulang trofi Piala Dunia.Sepanyol menjadi Juara Dunia buat kali pertama selepas menewaskan Belanda 1-0 di Stadium Soccer City, Johannesburg di Afrika Selatan dalam masa tambahan semalam.
Pemain-pemain itu akan bertemu dengan Perdana Menteri, Jose Luis Rodriguez Zapatero sebelum menaiki sebuah bas tidak berbumbung di bandar raya Madrid bagi meraikan kemenangan tersebut.Parti meraikan kemenangan bersejarah itu sudah pun diraikan oleh penduduk Sepanyol sejurus selepas skaud berkenaan menewaskan Belanda."Iniesta Presidente! Iniesta Presidente!, jerit salah seorang peminat semasa sekumpulan penduduk berarak di Gran Via, di sini pada awal pagi.Beberapa penduduk lain meniru gaya matador dengan mengibarkan bendera Sepanyol semasa kereta-kereta melalui jalan raya sambil bersorak Ole.
Sementara itu, pemain-pemain Belanda akan diberikan sambutan meriah walaupun tewas semasa mereka tiba di Amsterdam hari ini.Skuad itu akan melakukan kunjungan hormat ke atas pemerintah Belanda, Ratu Beatrix.
"Kita perlu bangga dengan pasukan kita. Mereka (pemain-pemain) telah menjadikan kita gembira selama sebulan," titah Putera Mahkota Belanda, Willem Alexander kepada sebuah stesen televisyen Belanda.
- AFP

Sotong Tukang Tilik World Cup.


Sotong Paul akan bersara
PAUL berenang dekat replika trofi Piala Dunia di dalam
Akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman semalam.
BERLIN - Sotong kurita selebriti, Paul yang menjadi sensasi kerana meramalkan tujuh perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan bersara daripada membuat ramalan perlawanan bola sepak.Menurut jurucakap Akuarium Sea Life du Oberhausen, Tanja Munzig, haiwan itu tidak lagi melakukan urusan ahli nujum."Ia tidak lagi membuat sebarang ramalan sama ada bola sepak atau politik, gaya hidup atau ekonomi."Paul akan kembali dengan pekerjaan lama iaitu membuat kanak-kanak gembira," kata Munzig.Ramalan terakhir yang dibuat sotong itu ialah kemenangan Sepanyol ke atas Belanda.Namun semalam, kakitangan akuarium itu yang menjadi tempat tinggal haiwan berkenaan menghadiahkan Paul dengan piala emas mirip Piala Dunia.

Semasa piala itu yang dihiasi dengan tiga kupang, Paul pada mulanya tidak menghiraukannya selama beberapa minit semasa ia dimasukkan ke dalam akuarium.Akhirnya, sotong itu mengambil salah satu kupang dan memakannya di depan kamera televisyen.Paul mendapat perhatian peminat bola sepak apabila ia meramalkan dengan tepat perlawanan melibatkan Jerman termasuk kekalahan skuad itu kepada Sepanyol.Sementara itu, seorang ahli perniagaan Sepanyol mahu membeli Paul dengan harga AS$38,000 (RM121,676) dan mahu menamakannya Paulo.Ahli perniagaan itu mahu menjadikan haiwan tersebut sebagai maskot untuk satu majlis makanan yang besar.
Sebelum ini, sotong itu menjadi kemarahan penduduk Jerman dan Argentina yang mahu memakannya selepas dia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman dan Sepanyol menewaskan Jerman. - Agensi

Saturday, July 10, 2010

Kematian di Tapak Perkelahan di Marang


Bukan puaka tapi jangkitan kuman

Oleh HAFIZ ABBAS

TALI rentang keselamatan dipasang bagi menyekat laluan awam ke Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran ekoran kes kematian enam penduduk kampung akibat jangkitan bakteria baru-baru ini.

MARAN - Mayat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, di sini sudah lama ditemui, namun apa yang menimbulkan kebingungan ramai ialah enam daripada 83 anggota operasi dan mencari dan menyelamat itu pula meninggal dunia seminggu kemudian.

Bagi penduduk beberapa kampung sekitar Sungai Jerik, mereka yakin ia berpunca daripada puaka kawasan itu.

Kesemua yang meninggal dunia itu menyertai operasi mencari Mohd. Azhar Azizam, 28, seorang yang pandai berenang tetapi lemas di lubuk itu pada 26 Jun lalu sebelum mayatnya ditemui empat hari kemudian.

Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Azizam Abdullah, 58 (bapa Mohd. Azhar), Timothy Hoo Seng Heng, 29, Lim Sin Lai, 55, Mohd. Ali Abdullah, 60, Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56.

Wednesday, July 7, 2010

Ghana Beri Bonus WC

Pemain Ghana dapat habuan

PEMAIN Ghana mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya wakil dari benua Afrika berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Piala Dunia 2010.ACCRA, Ghana - Pemain skuad Ghana akan diberikan anugerah kebangsaan dan wang tunai AS$20,000 (RM64,465) setiap seorang selepas berjaya layak sehingga peringkat suku akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan."Kamu semua layak untuk menerima penghargaan ini kerana kamu telah membanggakan Ghana dan juga benua Afrika."Kamu mungkin tidak menjuarai Piala Dunia tetapi berdasarkan prestasi yang kamu semua tampilkan, kamu bukan saja membawa nama baik Ghana, malah benua Afrika," kata Presiden Ghana, John Atta Mills selepas menyambut kepulangan skuad tersebut kelmarin.
Pihak kerajaan Ghana turut bersetuju untuk memberikan ganjaran wang tunai AS$10,000 (RM32,233) kepada setiap seorang tenaga kejurulatihan skuad itu.Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan yang merupakan warga Ghana menulis dalam satu surat dengan menyatakan bahawa dia adalah salah seorang yang begitu kecewa selepas pasukan itu tewas menerusi sepakan penalti kepada Uruguay."Reaksi saya berhubung insiden penuh drama pada penghujung masa tambahan itu ialah ia sesuatu yang tidak adil."Tapi walaupun anda tewas perlawanan itu, anda semua telah keluar sebagai pemenang. Ucapan tahniah ini bukan hanya kerana persembahan cemerlang anda semua tetapi anda kalah dengan bermaruah," kata Annan.
Ghana menjadi wakil tunggal benua Afrika yang tinggal ketika saingan memasuki pusingan kedua dan suku akhir. Baki lima lagi pasukan dari benua Afrika terkandas seawal saingan peringkat kumpulan. - AP

Tuesday, July 6, 2010

Satu hidup satu mati..

Janda tinggal dengan mayat suami

GAMBAR menunjukkan Jean memegang potret suami dan dirinya yang dirakamkan pada 1940-an.
WYALUSING, Pennsylvania - Seorang janda berusia 91 tahun, Jean Stevens tinggal di sebuah rumah bersama mayat suami dan kakak kembarnya yang disimpannya selama lebih sepuluh tahun sebelum pihak polis mengetahui situasi yang menyeramkan itu."Saya amat sukar menerima kematian," kata Jean dengan nada terkejut.Apabila ditanya, dia tidak ingat siapa yang membantunya menggali mayat itu.Jean menyalahkan seorang saudara mendiang suaminya kerana melaporkan perkara itu kepada polis.

Suaminya selama hampir 60 tahun, James Stevens meninggal dunia pada tahun 1999 akibat penyakit Parkinson manakala kakak kembarnya pula June Stevens meninggal dunia pada Oktober tahun lalu kerana kanser.Mayat itu kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa wilayah Bradford.Mayat kakaknya itu pada mulanya ditanam di belakang rumahnya."Dengan cara ini (menyimpan mayat dalam rumah) saya boleh menyentuh, melihat dan bercakap dengannya." katanya.Dia menyimpan mayat kakaknya yang dipakaikan kot terbaiknya di atas satu sofa lama di dalam sebuah bilik kosong dan turut menyemburkan kakaknya dengan minyak wangi mahal kegemarannya.

Suaminya yang sebelum ini pernah dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumahnya dipakaikan sut gelap, kemeja putih dan tali leher berwarna biru.Dia disimpan di atas sebuah sofa di dalam sebuah garaj.Jean mungkin berdepan tuduhan 'mendera' mayat yang disifatkan sebagai satu kesalahan jenayah. - AP

Monday, July 5, 2010

Kapal Selam Untuk Berniaga.


GAMBAR yang disiarkan polis Ecuador semalam menunjukkan sebuah kapal selam ditahan di sebuah hutan terpencil dekat sempadan Colombia.
AS tahan kapal selam mampu bawa dadah
WASHINGTON - Jabatan Pentadbiran dan Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (AS) menyatakan pihaknya telah membantu pemerintah Ecuador menahan sebuah kapal selam yang mampu mengangkut bertan-tan kokain.Pegawai-pegawai DEA berkata, kapal selam berkuasa elektrik diesel itu dibina di dalam sebuah hutan terpencil dan ditahan berdekatan sebuah sungai berhampiran dengan sempadan Colombia-Ecuador.Pihak berkuasa Ecuador menahan kapal selam itu sebelum ia melakukan pelayaran sulung ke laut.Kapal selam itu mempunyai sebuah periskop dan sistem penghawa dingin.Ketinggian kapal selam itu 2.7 meter dan panjangnya 30.48 meter.

Pihak DEA menyatakan kapal selam itu dibina untuk menyeludup dadah merentasi lautan.Pengarah Serantau DEA Banjaran Andes, Jay Bergman berkata, ia merupakan satu perkembangan yang serius kerana kapal selam itu mampu belayar jauh dan berupaya membawa muatan.Seorang suspek berhubung kes itu telah ditahan.Kartel dadah di Colombia memang terkenal menggunakan kapal selam buatan sendiri untuk menyeludup dadah. - AP

Sunday, July 4, 2010

Sensasi World Cup 2010 di Afrika Selatan

Keajaiban Piala Dunia 2010

JOHANNESBURG – Keajaiban, kejutan serta keputusan di luar jangkaan terus berlaku di bumi Afrika Selatan.Ramalan penggiat, pengikut serta pemimpin sukan di serata dunia terhadap Piala Dunia 2010 semuanya meleset.Sejak daripada aksi pembukaan 11 Jun lalu, sudah terlalu banyak keajaiban berlaku sehinggalah ke pusingan suku akhir.Ia bermula dengan penyingkiran naib juara edisi 2006, Perancis seawal saingan peringkat kumpulan lagi dan selepas itu diikuti juara bertahan, Itali yang turut terkandas pada peringkat yang sama.Apabila saingan memasuki pusingan kalah mati membabitkan 16 pasukan terbaik, kejutan terus berlaku.Ghana, satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang mara, mene- ruskan kejutan untuk melangkah sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti.Menariknya, tiada siapa meramalkan dua pasukan ini – Uruguay dan Ghana – akan mara ke pering- kat suku akhir tetapi kedua-dua negara telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka juga mampu mencabar pasukan yang bergelar gergasi.Keajaiban di bumi Afrika Selatan tidak terhenti setakat itu.

Pasukan-pasukan pilihan terus mengalami kemusnahan dalam misi mereka memburu kejuaraan.Selepas penyingkiran Perancis, Itali dan England – antara pasukan yang dianggap gergasi di muka bumi – giliran Brazil pula tumbang.Tiada siapa menjangka perjuangan Brazil akan terhenti setakat pusingan suku akhir.Juara dunia lima kali ini disebut-sebut sebagai pilihan untuk muncul juara pada kejohanan tahun ini, namun mereka tersungkur di kaki Belanda yang tampil dengan corak bola sepak yang menghiburkan.Pada aksi suku akhir itu Brazil tewas 1-2 dan terpaksa meninggalkan bumi Afrika lebih awal.Selepas Brazil, giliran Argentina pula ‘menikmati’ penyingkiran.
Penyingkiran Argentina memang sungguh memalukan dan satu dunia menyaksi- kan bagaimana anak-anak buah Diego Maradona itu diperbudakkan oleh barisan muda Jerman yang dibarisi sebahagian besarnya pemain berusia di bawah 24 tahun.

Jerman mudah membelasah Argentina 4-0 dan kekala- han itu turut menjejaskan reputasi Maradona sebagai pemain terhebat dunia suatu ketika dulu.Untuk memburukkan lagi gaya kekalahan yang dialami Argentina itu, bintang mereka, Lionel Messi dilihat terkapai-kapai mencari rentak meskipun Jerman tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengawal pergerakannya.MESSI turut tenggelam dan meninggalkan bumi Afrika Selatan tanpa merekodkan sebarang jaringan.Apa yang berlaku dengan Argentina itu boleh disimpulkan bahawa pemain bertaraf bintang itu masih belum cukup untuk menjamin kemenangan seperti mana yang dialami Perancis mahupun Brazil.Brazil contohnya, memiliki bintang terhebat seperti Kaka, Robinho mahupun Fabiano tetapi reputasi yang ada pada mereka itu tidak cukup untuk menjamin kemenangan.
Kaka hilang taringnya dan begitu juga yang dialami bintang England, Wayne Rooney.
Turut tenggelam ialah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang tampil dengan aksi mengecewakan sepanjang kempen di Afrika Selatan.Setakat ini, Jerman, Belanda, Uruguay dan Sepanyol membuktikan kepada dunia bahawa bola sepak itu tidak lagi bergantung kepada seorang pemain bintang, sebaliknya kemenangan itu bergantung dengan kerja berpasukan.Jerman hebat beraksi sebagai satu pasukan dan begitu juga yang dibuktikan oleh tiga lagi pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir kali ini.Boleh dikatakan bahawa Afrika Selatan bukan medan untuk pemain bintang dan juga bukan medan untuk pasukan yang bergelar gergasi menyerlah.

Bola sepak dunia kini menuntut aksi berpasukan dan kehebatan seorang bintang sudah tidak boleh dijadikan sandaran.Ia mungkin membantu tetapi belum cukup untuk menjamin kemenangan.Selain itu, aspek pembangunan juga dilihat penting seperti yang telah dibuktikan oleh Jerman.Itali yang mengabaikan aspek pembangunan terus kecundang kerana pada saingan kali ini mereka terus memberi kepercayaan kepada ‘kuda tua’ untuk menggalas cabaran.Selepas empat pasukan yang mara ke pusingan sepa- ruh akhir sudah diketahui, ramai yang tidak berani untuk membuat ramalan.

Keempat-empat pasukan – Uruguay, Belanda, Jerman dan Sepanyol – memiliki kekuatan tersendiri tetapi atas kertas, Jerman dan Belanda dilihat pilihan.Namun, ramai yang kecewa kerana Jerman dan Sepanyol terpaksa membuat perhitungan terlalu awal pada pering- kat separuh akhir.Dua pasukan ini seharusnya beraksi di pentas final yang memiliki corak permainan yang sungguh mempesonakan.Apa pun, rumusan pada edisi di bumi Afrika Selatan ini boleh dikatakan sebagai medan melakar kejaiban serta kejutan. – Agensi

Saturday, July 3, 2010

Guna Tangan utk menang..

Guna tangan: Suarez hanya digantung satu perlawanan

04/07/2010 11:35am

JOHANNESBURG 4 Julai - FIFA telah menggantung penyerang Uruguay, Luis Suarez satu perlawanan kerana sengaja menahan bola menggunakan tangan bagi menafikan gol kemenangan Ghana pada perlawanan suku akhir Piala Dunia semalam.

Jawatankuasa disiplin FIFA telah memutuskan bahawa Suarez bersalah menafikan peluang cerah jaringan gol pasukan lawan dan dikenakan penggantungan satu perlawanan.

Suarez tidak dapat bermain di peringkat separuh akhir menentang Belanda Selasa ini tetapi boleh diturunkan jika pasukannya mara ke perlawanan akhir.

Selepas tampanan Suarez pada minit-minit terakhir masa tambahan di Soccer City itu penyerang Ghana gagal menyempurnakan penalti dan perlawanan tersebut berakhir dengan seri 1-1.

Uruguay bagaimanapun menang 4-2 menerusi sepakan penalti untuk melangkah ke peringkat seterusnya. - AP

Saturday, June 26, 2010

Pelajar MTD meninggal dipercayai akibat Buli..

Tak diizin periksa tubuh
2010/06/26

BALING: “Saya dapati ada kesan lebam di bahagian mata kanan arwah ketika mengucupnya buat kali terakhir. Saya juga meminta untuk memeriksa seluruh badannya, tetapi tidak dibenarkan wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir mengiringi jenazah ketika itu,” kata Mohd Sobri Mohd Sofian, 41, bapa kepada Mohammad Naim Mustaqim, 16, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mati dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior, kelmarin.Menurutnya, dia terpaksa akur dengan keputusan wakil ATM yang tidak membenarkannya memeriksa badan arwah anaknya itu.
“Mereka kata ikut prosedur tak boleh sebab arwah sudah dikapan dan mereka hanya membenarkan bahagian muka saja dibuka untuk kami menatap wajahnya kali terakhir.
“Saya tidak membantah, tetapi mendapati ada kesan lebam di mata kanan arwah ketika mengucupnya kali terakhir.
“Saya mahu mereka yang bertanggungjawab memukul anak saya dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Lalang, Siong di sini, semalam.Katanya, dia dan keluarga menerima kejadian itu sebagai takdir, namun kematian Mohammad Naim tetap memerlukan pembelaan bagi memberi teladan kepada orang lain yang mungkin menerima nasib sama pada masa depan. “Arwah adalah anak harapan saya untuk membantu keluarga kami pada masa depan, namun hari ini (semalam) harapan itu hancur berkecai. Sukar bagi saya menerima kejadian itu yang menyebabkan kehilangannya buat selama-lamanya.“Saya sentiasa impikan satu hari nanti arwah akan pulang ke rumah dengan pakaian seragam seorang pegawai tentera dan berharap dia akan membantu kami dan adik-adik lain untuk berjaya sepertinya,” katanya Harian Metro semalam melaporkan seorang pelajar tingkatan empat MTD meninggal dunia di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Kem Sungai Besi di sini, awal pagi kelmarin dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior.
Mohammad Naim Mustaqim dikatakan pengsan selepas didera kumpulan pelajar senior terbabit antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama MTD sebelum dikejarkan ke PPAT, namun disahkan meninggal dunia.PeSementara itu, ibu mangsa, Fauziah Abdul Wahab, 45, berkata kali terakhir berjumpa arwah ketika anaknya itu pulang ke rumah sempena cuti sekolah seminggu lalu.

Tuesday, June 22, 2010

Harga Buah-Buahan Naik..

Harga buah-buahan dijangka naik 50%
Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my

MOHD. ARIFFIN (kiri) bertukar dokumen perjanjian Program Ladang Kontrak dengan pengusaha ladang tembikai, Mohd. Ansar Derani di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.

TASEK GELUGOR - Harga buah-buahan tempatan bermusim dijangka naik sehingga 50 peratus disebabkan jumlah pengeluaran merosot hampir separuh berbanding tahun lalu.

Pengarah Kanan Urus Niaga Segar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak berkata, kemerosotan buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis, duku dan cempedak itu disebabkan faktor cuaca panas melampau yang berlarutan untuk tempoh yang panjang.

Menurut beliau, hanya 80,000 tan metrik buah-buahan tempatan bermusim dijangka dapat dikeluarkan tahun ini berbanding 150,000 tan metrik pada tahun lalu.

"Kita jangkakan tahun ini harga buah-buahan bermusim akan meningkat sekitar 50 peratus disebabkan faktor pengeluaran yang berkurangan kesan daripada fenomena El Nino," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Program Ladang Kontrak antara FAMA dengan pengusaha ladang rambutan dan tembikai di Kompleks Pengumpulan Ladang Kampung Selamat di sini semalam.

Pada majlis itu, FAMA diwakili oleh Pengarah Wilayah Utara, Mohd. Ariffin Awang. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Menurut Ahmad, walaupun pada dasarnya kenaikan harga hasil pertanian itu di pasaran bakal memberi kebaikan kepada pengusaha ladang dan petani tetapi FAMA akan tetap memantau kenaikan harga tersebut agar tidak membebankan pengguna menerusi pelan pemasaran buah-buahan bermusim.

Monday, June 21, 2010

Basikal Fesyen Baru


Bekas jurutera cipta basikal gergasi

WOUTER VAN DE BOSCH mengayuh basikal ciptaannya di Arnhem, Belanda baru-baru ini.

ARNHEM - Seorang pelajar jurusan seni di Belanda, Wouter van den Bosch mencipta sebuah basikal gergasi seberat 450 kilogram dengan menggunakan peralatan yang didermakan oleh rakan-rakannya selain sebuah syarikat traktor, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki berusia 39 tahun dari sini yang juga seorang bekas jurutera mekanikal menjadi sensasi di laman YouTube selepas klip video dia mengayuh basikalnya ditonton lebih 600,000 kali dalam tempoh dua minggu.

Dia mengambil masa tiga bulan untuk menjadikan basikal raksaksa itu bergerak di atas jalan raya dengan menggunakan besi, beberapa tiub, rangka basikal dan sebuah tayar traktor.

Bosch yang memiliki hobi melakukan pengubahsuaian ekstrem pada kenderaan sejak beberapa tahun lalu, mencipta basikal tersebut sebagai projek seni pada tahun akhir pengajiannya.- Agensi
Related Posts with Thumbnails