Friday, July 31, 2009

Lagak Pemimpim Kita Kini.




Sah Nik Aziz seorang 'tok guru politik'

KOTA BHARU 28 Julai - Kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat tetapi menolak kerjasama dengan UMNO mengesahkan bahawa beliau adalah seorang 'tok guru politik'.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, ia juga jelas menunjukkan Nik Abdul Aziz hanya mementingkan politik berbanding perpaduan ummah.

Beliau berkata, jika alasan Perlembagaan yang menjadi ukuran, Kerajaan Pusat telah lama menunaikannya malah turut memberikan 'bonus' kepada Kelantan.

''Kenyataan terbaru ini menunjukkan Nik Abdul Aziz tak boleh pakai lagi sebab terlalu retorik dan lebih mementingkan politik daripada perpaduan ummah, politik lebih daripada segala-galanya.

''Hubungan Kerajaan Pusat dengan negeri sudah lama baik, yang wajib (peruntukan) sudah dapat, yang sunat pun dah diberi seperti soft loan. Jika tidak, Kelantan tidak akan berada seperti hari ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menjelaskan 'salam' yang dihulurkan adalah hanya untuk hubungan di antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat tanpa melibatkan Pas dan UMNO.

Mursyidul Am Pas itu juga mengeluarkan kenyataan keras untuk menegakkan pendiriannya menolak sebarang kerjasama dengan UMNO apabila menyatakan: ''Pergi jahanamlah UMNO''.

Alwi yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri berkata, Nik Abdul Aziz tidak memahami peraturan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri.

''Beliau tidak faham peraturan kerajaan sebab itu dia ingat duit semua kena bagi dekat kerajaan negeri, cuma ada kaedah ada saluran.

''Kerajaan negeri ada saluran, tak boleh tukar kaedah. Sama saja di seluruh negara contohnya di Sabah dan Terengganu ada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) selepas kita menang.

''Negeri lain kita perintah ada juga, cumanya tidak dipanggil JPP, ia diketuai oleh Pegawai Kemajuan Negeri yang datang dari Jabatan Perdana Menteri juga,'' katanya.

Menurutnya, Nik Abdul Aziz hanya berselindung di sebalik watak dan pakaiannya manakala wajah sebenarnya tidak nampak.

Mengulas perkataan jahanam yang digunakan, Alwi berkata, ia sepatutnya dilemparkan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

''Jahanam adalah sebenarnya neraka untuk orang kafir, Karpal Singh yang patut jahanam sebab dia kata langkah mayatnya dulu sebelum tubuh negara Islam, UMNO tidak pernah menentang Islam.

''Pokoknya Nik Abdul Aziz tidak boleh pakai selepas ini, saya tak nak komen lagi, buang masa, saya hanya berdoa dan memohon agar dia mendapat taufik dan hidayah,'' katanya.

Thursday, July 30, 2009

Beware Of The H1N1



Selesema babi semakin bahaya

SEKUMPULAN pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) Indera Mahkota, Kuantan mendengar penerangan jururawat mengenai H1N1 selepas kampus mereka ditutup semalam.

PUTRAJAYA - Wabak selesema babi atau H1N1 semakin menunjukkan impak yang mencemaskan dengan satu lagi korban dilaporkan menjadikan empat kematian H1N1 dicatatkan setakat ini. Sementara itu, tindakan pencegahan pula menyaksikan 19 lagi institusi diarah ditutup mulai semalam.

Arahan penutupan itu turut membabitkan institusi besar dan ternama seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim selepas empat pelajarnya disahkan dijangkiti H1N1.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob ketika dihubungi semalam melahirkan kebimbangan selepas 30 lagi pelajar sudah mempunyai simptom wabak dan kini cemas menunggu hasil ujian.

"Kita terpaksa menutup kampus selama seminggu dan mengarahkan kesemua 15,000 pelajar mengosongkan asrama sampai 5 Ogos ini," katanya.

Di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican menjelaskan, korban terbaru wabak itu ialah seorang wanita berusia 20 tahun di Melaka kelmarin.

Beliau mengakui perkembangan wabak itu sudah mencapai tahap membimbangkan.

Tuesday, July 28, 2009

Negara Demokrasi Boleh Buat Apa Saja.


Pewaris hulur tangan rundingan...

Jimadie Shah Othman
Jul 28, 09
12:21pm

Kumpulan pendokong Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) hari ini menyatakan kesediaan mereka untuk berunding dengan pihak yang menentang akta itu bagi mengelakkan pertembungan dalam demonstrasi besar kedua pihak Sabtu ini.

"Terpulanglah kepada mereka (anti-ISA). Kita sentiasa membuka pintu untuk berunding," kata Timbalan Presiden II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun kepada Malaysiakini pagi ini.

Beliau diminta mengulas kesediaan Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut tentang aspek yang sedia dibincangkannya, Rahimuddin berkata, Pewaris bersedia membatalkan demonstrasi mereka sekiranya GMI juga bersedia berbuat demikian.

"Kerajaan sedang kaji, kita belum tahu hasilnya. (Jadi,) piket buat apa? Kalau kerajaan boleh mansuhkan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (P PSMI), kenapa kali ini tidak sabar (tunggu keputusan)," katanya.

Bagaimanapun, Rahimuddin menolak sebarang perbincangan sekiranya itu bertujuan meminta Pewaris mengubah laluan demonstrasinya.

"Kata kebebasan untuk semua, orang yang sokong (dasar) kerajaan juga patut dibenarkan (berhimpun)," katanya.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI merancang bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara - dengan berpakaian hitam dan merah - sebelum bergerak ke Istana Negara.

Sementara penyokong ISA berhimpun di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum kesemuanya bergerak ke Dataran Merdeka dan seterusnya ke Istana Negara.

Sunday, July 26, 2009

Lebih Tenaga...

Syaitan tiduri isteri



KUALA LUMPUR: Mengadakan hubungan seks dua atau tiga kali sehari di kalangan pasangan suami isteri adalah normal, tetapi jika belasan kali dalam satu malam pastinya bukan dilakukan oleh lelaki biasa.

Tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, berkata jika seseorang bersahabat dengan syaitan, tidak mustahil mereka mampu melakukan hubungan batin hingga belasan kali dalam semalaman saja.

“Amalan bersahabat dengan syaitan masih berlaku dan tidak mustahil jika makhluk dilaknat Allah SWT itu turut melakukan hubungan tubuh dengan isteri kepada lelaki yang menjadi sahabatnya.

“Ini boleh berlaku kerana syaitan mampu menjelma menyerupai lelaki terbabit dan mengambil kesempatan untuk melakukan hubungan tubuh dengan si isteri,” katanya.

Menurut beliau, kerana itu, bersahabat dengan syaitan adalah dosa besar dan ditegah sama sekali daripada melakukannya.

Ini kerana hanya keburukan yang bakal diterima manusia, sedangkan makhluk laknat itu hanya mengambil kesempatan atas kelemahan iman individu berkaitan.

“Jika setakat dua atau tiga kali sehari, ia adalah biasa bagi seseorang suami yang mempunyai keinginan batin tinggi.

“Bagaimanapun, jika sudah terlampau, memang bukan suami yang mahukannya, sebaliknya syaitan yang dijadikan sahabat,” katanya.

Beliau berkata, si isteri dibolehkan menuntut fasakh jika tidak tahan diperlakukan sedemikian.

“Ia bagi memastikan keadilan untuk si isteri, selain menghilangkan kemudaratan daripada ditimpa musibah,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga kes suami mempunyai keinginan batin yang kuat tetapi tidak terlampau hingga belasan kali sehari.

Jika ini berlaku, katanya, si isteri perlu melayan kehendak suami tetapi jika tidak sanggup lagi, diharuskan untuk berpoligami.

Ini satu daripada sebab kenapa perlu berpoligami. Isteri tahu mana satu keinginan batin yang kuat atau kekuatan batin luar biasa.

Beliau turut menasihatkan umat Islam yang masih bersahabat dengan syaitan supaya segera meninggalkannya kerana ia bukan saja ditegah agama, malah mendatangkan dosa besar.

“Yakinlah kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang berkuasa dan bukan syaitan,” katanya.

Pengarah Filem Sepet Meninggal.


Yasmin meninggal dunia.
Kembali ke rahmatullah 3 hari selepas diserang angin ahmar


KUALA LUMPUR - Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad (gambar) yang mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak sejak Khamis lepas meninggal dunia malam tadi.

Yasmin, 51, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya selepas tiga hari berada dalam koma setelah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.

Yasmin yang terkenal sebagai pengarah filem Sepet, Gubra dan Talentime rebah secara tiba-tiba semasa bermesyuarat bersama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa serta beberapa kakitangan Media Prima di Sri Pentas, TV3, sekitar pukul 3 petang Khamis lalu.

Beberapa jam sebelum itu, adik iparnya, Datuk Dr. Zakaria Zahari memberitahu media, Yasmin masih menerima bantuan alat sokongan hayat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pakar Damansara.

Friday, July 24, 2009

Peperangan semakin Dekat..siapa untung?

GMI: 1,000 petugas PAS kawal demo anti-ISA

Jimadie Shah Othman
Jul 24, 09
7:14pm

Seribu petugas Unit Amal PAS akan dikerahkan 1 Ogos ini bagi mengawal keselamatan peserta demonstrasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar tidak bertembung dengan kumpulan penyokong akta tersebut.

"Bagi saya, kita sama-sama bertanggungjawab. Kita sudah bincang cara mengawal disiplin (peserta kita).

"Kawalan Unit Amal seramai seribu orang telah dikerah untuk mengawal (aspek) keselamatan sahaja," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau diminta mengulas pendekatan keselamatan GMI, sebagai penganjur, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan ribuan pendukung ISA yang dikepalai oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

GMI juga akan mengeluarkan panduan kepada peserta Himpunan MANSUH beberapa hari lagi supaya bersedia menghadapi sebarang provokosi yang mungkin timbul pada hari tersebut, tambahnya.

"Kita juga minta kerjasama polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam bagi memantau perhimpunan ini.

"Kita mesti bertanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing. Kalau di pihak mereka (Pewaris) juga, merekalah yang kena bertanggungjawab," kata Syed Ibrahim kepada Malaysiakini.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, yang tentang kemungkinan timbul huru-hara, beliau berkata:

"Kita tidak boleh kata huru-hara. Persoalan sebenarnya, apa motif mereka (kumpulan pro-ISA) mahu berhimpun pada masa itu juga?"

Demonstrasi serentak dua kumpulan berlawanan pendirian itu dibimbang boleh "menimbulkan huru-hara".

"Bila GMI dan Pewaris – dua kumpulan yang berbeza pendirian mengenai ISA – mengadakan perarakan pada masa dan hari yang sama, mungkin akan berlaku huru-hara," kata Ibrahim kepada Malaysiakini.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.

Thursday, July 23, 2009

Samseng Tak Kena Tempat.

Libas pedang samurai
Oleh Hadzlan Hassan dan Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Berang kerana ditegur, seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi awam sanggup bertindak biadab apabila melibas pedang samurai kepada seorang warga emas di Lorong Kubur Jalan Panji Alam, di sini, kelmarin.

Tindakan lelaki itu menyebabkan mangsa, Ngah Ismail, 63, seorang guru silat, terpaksa menerima empat jahitan di tangan kanan apabila cuba menepis mata pedang berkenaan daripada terkena badannya.

Ngah ketika ditemui berkata, dia bernasib baik kerana ilmu silat yang dipelajari ketika remaja membolehkannya bertindak tangkas bagi menangkis serangan lelaki terbabit.

“Sebenarnya, saya menghampirinya untuk memberi teguran secara baik kerana tindakannya meletakkan kereta di jalan yang sempit mengundang kesulitan kepada orang lain. Maklumlah saya ingat dia orang luar.
“Saya memanggil dan memberitahunya yang saya tidak marah, cuma mahu memberitahu jalan sempit dan tindakannya boleh menyebabkan kesesakan dan kesusahan kepada orang lain,” katanya.
Menurutnya, ketika lelaki berkenaan menyerangnya, dia terpaksa mengundur ke belakang sebelum bertindak pantas menangkis serta mencekik leher suspek sebelum senjata berkenaan terlepas daripada genggaman.
“Selepas mematikan langkahnya, saya cuba membuang senjata itu jauh dari kedudukan kami kerana bimbang seorang daripada kami akan cedera tetapi bersyukur apabila sebuah kereta peronda polis tiba tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa, seorang nelayan dari Kampung Kubur Besar, Panji Alam, memandu berseorangan untuk ke laut.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kenderaan suspek menghalang laluannya, mangsa membunyikan hon sebagai isyarat kepada pemilik kereta itu supaya mengalihkan kenderaan yang diletakkan di tengah lorong serta menghalang laluan.
“Tiba-tiba seorang lelaki muncul dan mengalihkan kereta berkenaan lalu meletakkannya berhampiran sebuah kedai sebelum mangsa dan sebuah lagi kenderaan lain melaluinya untuk ke jalan besar.

“Selepas itu, mangsa ke tempat suspek meletakkan kereta lalu menasihatinya tidak meletakkan kereta menghalang laluan kerana jalan kampung itu terlalu sempit,” katanya.

Berang dengan nasihat mangsa itu, suspek tiba-tiba ‘naik angin’ menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum lelaki berkenaan hilang sabar lalu mengeluarkan pedang daripada kereta dan dihayun ke leher mangsa.

“Mangsa cuba menghalang tetapi terkena tangannya menyebabkannya cedera sebelum sebuah kereta peronda tiba di tempat kejadian dan membawa kedua-dua lelaki berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia 24 tahun, kakitangan kerajaan berasal dari Kampung Gong Kepas, Jalan Batangan, Marang dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan kira-kira jam 9 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Tuesday, July 21, 2009

Jangan Kita Korbankan Nilai Kepercayaan Kita.

Nik Aziz patut keluar fatwa: Zambry

IPOH - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis nyalaan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan Nizar menyertai majlis sedemikian.

“Saya bukan ulama nak komen tentang tindakan Nizar. Biar orang agama komen tentang ini. Biar tok guru komen. Dia ada tok Guru (Nik Abdul Aziz). Dia (Mohammad Nizar) pun tok guru juga.

"Dia pandai baca Quran, bagi ceramah, bagi khutbah di masjid. Dia lagi tahu apa yang dia buat,” katanya katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan The Red Solar (M) Sdn Bhd dan TCT Inc (TCTI) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Semalam akhbar ini melaporkan pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata tindakan Nizar itu adalah di luar budaya Islam.

Pada masa yang sama, Dr Zambry berkata, beliau bersimpati dengan keluarga Beng Hock tetapi biar pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana kes itu bukan untuk menutup mana-mana kelemahan, tetapi perlu diselongkar agar jawapan sebenar kepada punca kejadian dapat dicari.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Nizar tidak seharusnya berbuat demikian kerana boleh melanggar akidah seorang Muslim.Sinar Harian 21.7.2009 edisi Perak.

Sunday, July 19, 2009

Usaha Tangga Kejayaan.


Ditahan tunggang motosikal tanpa tangan

LIU YEUNG bersama motosikalnya di Jimo baru-baru ini.

BEIJING - Polis China mengeluarkan amaran terhadap seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) selepas dia didapati menunggang motosikal tanpa kedua-dua belah tangan, lapor sebuah akhbar.

OKU tersebut, Liu Yeung, 27, dari Jimo dikesan memandu motosikal yang diubah-suai khas bersama dua pembonceng.

"Kami hanya menyedari dia tidak mempunyai tangan ketika dia ditahan. Liu memandu menggunakan badannya," kata seorang pegawai polis.

Liu dipercayai sudah menunggang motosikal tersebut sejak beberapa tahun lalu setelah dia cacat semasa masih kecil akibat menyentuh kabel elektrik sehingga merosakkan kedua-dua tangannya.

Ibu bapa Liu pernah menyerahkannya kepada pihak pengurusan sarkis ketika dia berumur 10 tahun dan memperoleh pendapatan dengan menunggang basikal.

"Lelaki itu menyangka polis menahannya kerana membawa dua pembonceng tetapi Liu terkejut setelah kami beritahu dia ditahan kerana menunggang motosikal tanpa tangan," kata polis.

Liu menganggur setelah syarikat sarkis tersebut muflis tiga tahun lalu dan sejak itu dia memperoleh pendapatan dengan menjalankan operasi teksi motosikal di bandar Jimo. - Agens

Friday, July 17, 2009

Pengurup Wang Mabuk.


Dihina pengurup wang Singapura kerana RM10

JOHOR BARU: Seorang kerani di sebuah firma guaman hanya mampu menahan malu dan terpinga-pinga sendirian apabila dihalau pengurup wang ketika cuba menukar wang kertas RM10 dengan dolar Singapura, berdekatan terminal bas di Rochor Road, negara itu, Isnin lalu.

Lebih mengecewakan, pengurup wang berkenaan bersikap kurang ajar apabila menghambur kata-kata ‘lu angkat lu punya wang, berambus’, kepada mangsa tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Kerani terbabit, Mohd Fauzi Azhan, 23, berkata dia kesal dengan layanan pengurup wang berkenaan selain menyifatkan ia sebagai penghinaan besar terhadap dirinya dan mata wang negara ini.

“Saya ke Singapura dengan menaiki bas pada Sabtu lalu untuk menziarah saudara yang sakit sebelum mengambil keputusan pulang pada Isnin.

“Bagaimanapun, ketika hendak menukar wang kertas RM10 di kaunter pengurup wang, saya dihalau tanpa sebarang sebab dan terkilan dengan sikap kurang ajar pengurup wang itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohd Fauzi berkata, dia bukan saja terkandas di negara berkenaan malah tidak dapat pulang ke Johor Bahru untuk bekerja.

“Tambang bas di negara itu memerlukan dolar Singapura...andai saya sendiri gagal menyediakan mata wang mereka, bagaimana hendak meneruskan perjalanan?

“Saya kemudian terpaksa menebalkan muka menghubungi beberapa rakan dan saudara yang tinggal di Singapura untuk meminjam wang dan pulang ke rumah di Taman Megah Ria di sini.

“Sampai ke Kompleks Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, saya terus membuat laporan polis berhubung kejadian. Selain itu, saya membuat semakan dengan pegawai Bank Negara untuk mengesahkan bahawa wang RM10 berkenaan adalah sah serta boleh digunakan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, biarpun segala pengesahan berhubung isu berkenaan sudah diperoleh, dia masih tertanya-tanya sebab sebenar dihalau pengurup wang terbabit.

“Saya sangat kesal...pengurup wang itu bukan saja menolak mata wang negara ini tanpa sebarang sebab malah bertindak luar batasan dengan kata-kata kasar,” katanya.

Semua Pemimpin Islam Dah Hancur.


Memahami isu murtad

MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah mendedahkan jumlah umat Islam negara ini yang murtad mencapai sehingga 100,000 orang. Walaupun ada pihak kurang senang dengan pendedahan ini, ia jelas menunjukkan gejala murtad di kalangan umat Islam berlaku.

Pengaruh persekitaran, pergaulan bebas, kurang didikan agama, kurang perhatian ibu bapa dan miskin adalah antara punca menyebabkan berlakunya murtad di kalangan umat Islam, terutama remaja.

Penulis dan pendakwah bebas, Ann Wan Seng dalam tulisannya menyatakan faktor menyebabkan berlakunya murtad ialah kerana kelemahan umat Islam sendiri.

“Umat Islam hari ini berdepan dengan masalah dan krisis akidah yang cukup serius lantaran kurangnya pemahaman, penghayatan dan pengalaman mereka terhadap ajaran Islam. Ini berlaku apabila agama dan moral tidak lagi menjadi teras kepada sistem pendidikan yang lebih menjurus ke arah pembangunan jasmani berbanding rohani.

“Akibatnya, lahir manusia yang bersikap materialistik dan mementingkan diri sendiri. Mereka tidak lagi mempedulikan mengenai masalah yang dihadapi orang lain. Lebih menakutkan, pendidikan yang berorientasikan sekularisme itu melahirkan umat Islam rapuh akidah, rendah akhlak dan sanggup melakukan apa saja termasuk yang bercanggah dengan ajaran Islam,” kata Wan Seng.

Murtad juga berlaku pada mereka yang berusia emas, tetapi jumlahnya sejauh ini mungkin boleh dibilang dengan jari. Yang pasti, gejala murtad ini perlu diberi perhatian serius pihak berkuasa bagi mencegah daripada terus berleluasa.

Remaja yang merantau ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang sama ada untuk bekerja atau menuntut ilmu perlu berhati-hati kerana mereka boleh dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab untuk membawa mereka keluar daripada Islam.

Tindakan polis menahan sembilan orang termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Rabu lalu yang didakwa cuba menukarkan agama penuntut Islam di IPTA berkenaan membuktikan gejala ini berlaku di negara ini.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu kerap memantau anak mereka kerana dibimbangi hidup di bandar yang serba bebas akan menukar matlamat dan pegangan hidup mereka. Semuanya itu tidak mustahil berlaku dalam zaman yang serba canggih ini. Hari ini gejala murtad boleh berlaku tanpa kita duga.

Harussani dipetik sebagai berkata, gejala murtad ini adalah usaha melemahkan umat Islam yang didalangi musuh Islam untuk mengelirukan pemikiran umat.

Murtad ialah seseorang keluar daripada agama Islam dan menganut agama lain. Seseorang daripada agama lain memeluk agama Islam, tetapi kembali semula ke agama asalnya, maka orang itu juga dikira murtad.

Sesungguhnya Islam adalah nikmat Allah yang sangat bernilai kepada hamba-Nya. Hal ini Allah nyatakan dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku redai Islam itu jadi agama bagimu.” (Surah Al-Maidah ayat 3).

Sementara mereka yang keluar daripada agama Islam (murtad), Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: “Barangsiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati sedang dia kafir, maka amalan mereka itu terhapus di dunia dan akhirat dan mereka itu penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya.”

Allah murka kepada orang yang murtad. Mereka meninggalkan agama Allah yang benar kerana lebih mencintai kehidupan di dunia daripada kehidupan abadi di akhirat. Allah tidak memberi hidayah dan kebenaran ke dalam hati mereka sebab hati mereka telah ditutup sehingga ia tidak mampu untuk berfikir mengenai sesuatu yang lebih bermanfaat bagi diri mereka. Di akhirat kelak mereka termasuk dalam golongan orang yang rugi dan menyesal.

Sehubungan itu, Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Yang demikian itu disebabkan kerana sesungguhnya mereka mencintai kehidupan di dunia lebih berat daripada akhirat dan bahawasanya Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai. Pastilah bahawa mereka di akhirat nanti adalah orang-orang yang rugi.” (Surah an-Nahl ayat 107-109).

Murkanya Allah terhadap orang murtad hingga Allah mengingatkan orang beriman supaya tidak duduk bersama orang murtad seperti orang kafir itu sebab mereka mengolok-olokkan agama Islam.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian) tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah an-Nisa ayat 140).

Dalam Islam, orang murtad boleh dihukum bunuh. Hal ini dinyatakan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Siapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.”

Thursday, July 16, 2009

Budak Dan Ikan Gergasi.

Ikan Gergasi

JESSICA bergambar bersama ikan air tawar gergasi yang berjaya dipancingnya.

KENT - Seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun, Jessica Wanstall mencipta satu rekod baru apabila dia memancing ikan air tawar gergasi dengan berat lebih 90 kilogram dan panjang hampir 2.8 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Bapanya panik apabila melihat Jessica tiba-tiba diseret ke tebing sungai itu apabila ikan tersebut memakan umpan jorannya tetapi bergegas membantu anaknya.

Pelajar di sebuah sekolah rendah Britain itu berpeluh selama 20 minit sebelum berjaya menaikkan ikan tersebut dengan bantuan bapanya ketika mereka memancing di Sungai Ebro, Sepanyol baru-baru ini.

"Tangan saya kebas ketika cuba menaikkan ikan itu dan tidak pernah berasa amat letih sebelum ini tetapi bapa saya membantu mengangkat ikan itu ke tebing sungai," jelasnya.

Jessica yang memiliki ketinggian 1.4 meter dengan berat 36.1 kilogram kelihatan kerdil berbanding ikan gergasi tersebut.

"Saya hanya menyedari betapa besar ikan tersebut sewaktu melihat gambarnya selepas itu," kata Jessica.

Menurut bapanya yang berusia 49 tahun, pengunjung dan pemancing lain di sungai itu turut terkejut menyaksikan saiz ikan itu apabila ia dinaikkan ke darat.

Jessica kini memegang rekod kanak-kanak yang pernah mendapat ikan air tawar terbesar di Eropah.

- Agensi

Tuesday, July 14, 2009

Kad Ucapan Untuk Pengikut Blog Ini.


Sila ambil kad Ucapan ini dan paste di blog anda. Terima kasih kerana sudi menjadi pengikut blog saya yang seadanya ini. Semoga dapat pengajaran dari peristiwa yang telah berlaku.Makasih.

Inikah Perangai Perempuan?


Janda tidur dengan 27 lelaki

LONDON - Seorang janda yang berumur 23 tahun, Amy Molly mengaku dalam bukunya bahawa dia tidur dengan 27 lelaki dalam tempoh 13 bulan iaitu selepas suaminya meninggal dunia kerana kanser, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, dia melakukan perbuatan itu tiga bulan selepas suaminya, Eoghan meninggal dunia pada Julai tahun lalu.

Selepas suaminya meninggal dunia, dia berusaha untuk tidak lagi menjalin hubungan dengan lelaki lain.

"Namun, anda tidak boleh meramalkan bagaimana diri anda bertindak balas untuk menghadapi satu tragedi (kematian Eoghan) kerana sejak itu, tindakan saya (tidur bersama lelaki lain) telah menjadi satu perbuatan bertentangan dengan niat saya," katanya.

Molly berkata, jiwanya kosong ketika dia tidur bersama dengan lelaki lain. Namun, dia menjelaskan: "Saya tidak bangga dengan perbuatan saya itu." - Agensi

Saturday, July 11, 2009

Semoga Di Cucuri Rahmat



Ajal ketika baca khutba

Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my


BUKIT MERTAJAM: Jemaah Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak, dekat sini yang mulanya khusyuk mendengar khutbah Jumaat dibacakan Basiri Jamaduin, 79, tiba-tiba tersentak apabila khatib itu jatuh terduduk sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung, semalam.

Sebelum itu, imam berkenaan baru memulakan khutbah kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila beliau tiba-tiba jatuh terduduk sambil memegang tongkat tetapi sempat dipapah jemaah masjid yang menyedari kejadian itu.

Jemaah masjid, Nazri Ahmad, 39, berkata dia berada depan mimbar ketika itu dan melihat Basiri menarik nafas panjang sebelum jatuh, manakala wajahnya bertukar pucat.

Jemaah masjid segera menghubungi ambulans untuk menghantar Basiri ke hospital, namun beliau disahkan sudah meninggal dunia.

“Hari ini adalah sejarah bagi jemaah masjid kerana menyaksikan sendiri proses pertukaran imam ketika khutbah dan ia sesuatu yang jarang berlaku. Hari ini kami belajar sesuatu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kebetulan ketika kejadian, imam kedua, Salleh Othman, 61, berada berhampiran lalu mengambil alih tugas membaca khutbah mengenai aurat wanita, diikuti khutbah kedua hingga selesai dan seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Menurut Salleh, kali terakhir dia bersama Basiri pada minggu lalu tetapi arwah yang menjadi imam sejak 20 tahun lalu tidak meninggalkan sebarang pesan berhubung tugas membaca khutbah di masjid berkenaan.

“Cuma arwah berkata dia mungkin sudah tidak lama di dunia ini dan itu mungkin petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Salleh berkata, jarak masa dia mengambil alih tugas membaca khutbah Jumaat selepas arwah jatuh sekitar lima minit dan tempoh itu tidak menjejaskan kefarduan solat Jumaat.

Sementara itu, anak Basiri, Azman, 44, berkata bapanya memang menghidap penyakit jantung serta darah tinggi tetapi tidak duduk diam dan sering membuat kerja keagamaan selain kerja kampung.

“Sebelum ini dia sudah beberapa kali jatuh di rumah akibat diserang penyakit jantung. Hari ini (semalam) dia dalam keadaan sihat sebelum ke masjid tapi mungkin sudah tiba ajalnya,” katanya yang reda dengan pemergian bapanya.

Jenazah Basiri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Minyak jam 9 malam tadi.

Friday, July 10, 2009

Natrah Meninggal di Belanda


Natrah meninggal di Belanda


KUALA LUMPUR: Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda, kelmarin.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama, semalam.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan dipulangkan kepada ibu bapa kandungannya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura sehingga berlaku rusuhan.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam rusuhan ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British.

Tuesday, July 7, 2009

LAGAK PEMIMPIN KITA 2



Nik Aziz banding Umno dengan Ayah Pin, al-Arqam

Jimadie Shah Othman
Jul 8, 09
12:04pm

Umno terus menjadi sasaran Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Dalam ceramahnya di Manek Urai malam tadi, mursyidul am PAS itu membandingkan pula Umno dengan Ayah Pin dan pertubuhan yang diharamkan, al-Arqam.

"Tok Ayah Pin dicap sesat. Habis kenapa Umno tidak sesat? Sama-sama tidak kenal agama belaka. Al-Arqam sesat kerana apa? Salah akidahnya. Ayah Pin sesat, kenapa? Salah akidahnya.

"Umno kenapa tidak sesat lagi? Salah juga akidah. Tolak Islam, ambil (fahaman) kebangsaan. Tak usah kata kami terima Islam, kami terima Islam. Tak payah cakap banyak, aku reti juga," katanya dalam ceramah di Chuchoh Puteri, Manek Urai malam tadi.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas perkataan "sesat" dalam surah al-Fatihah. Dalam surah tersebut, Allah berfirman, antaranya, memerintahkan manusia mengikut jalan yang lurus dan bukan jalan orang yang sesat.

Pada 25 Jun lalu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz yang didakwanya menyamakan parti Melayu itu dengan ajaran sesat dan komunis dalam sebuah ceramahnya.

Bercakap kepada media, Anuar juga dilaporkan menggesa Nik Aziz disiasat polis di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).

Bercakap di hadapan 2,000 penyokong dalam keadaan hujan renyai-renyai, Nik Aziz sekali lagi menggesa Umno menukar dasar kebangsaan yang didakwanya diamalkan parti itu, kepada dasar Islam.

Nik Aziz juga mendakwa Umno telah melepas geram kepadanya dengan menyifatkannya "nyanyuk" tetapi tidak memberikan hujah balasnya.

"Dia (Umno ) marah kita macam-macam perkara, Nik Aziz ini nyanyuklah. (Mereka) main kata. (Kata) nyanyuk. Itu bukan jawab, (itu) hendak pelepas geram, hendak pelepas geram orang kata...

"Lepas geram ni tak payah. Lepas geram ini tanda orang lemah. Macam bini tua dengan bini muda, (kena) tampar. Sebab dia tua, marah bini muda. Perangai orang tua nak balas, panas sangat dengan bini muda," katanya.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa turut hadir dan berucap dalam majlis ceramah itu.

Sunday, July 5, 2009

Kawalan Otak Kiri


Mat pancut’ kena cekup depan pintu

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
haradianshah.hamdan@kosmo.com.my

SEORANG lelaki dibawa polis selepas ditahan penduduk di sebuah pangsapuri di Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Sejak tiga bulan lalu penduduk di sebuah pangsapuri di Jalan Air Jernih di sini dilanda kehairanan ekoran penemuan ‘cecair pelik’ di depan pintu rumah mereka.

Hampir 15 penduduk pernah menjadi mangsa apabila cecair yang menimbulkan bau kurang menyenangkan dan tidak diketahui asal-usulnya itu mengotori rumah mereka.

Akhirnya misteri itu terjawab kelmarin selepas penduduk memberkas seorang pemuda berusia 22 tahun yang mempunyai hobi pelik iaitu suka melakukan onani di depan pintu rumah orang.

Seorang penduduk, Chong Chee Kong, 32, berkata, mereka menahan pemuda berasal dari Kampung Banggol Air Lilih, Manir itu pada pukul 9 malam kelmarin selepas hampir dua bulan melakukan intipan.

Katanya, sebelum ditahan, pemuda itu dilihat mengekori dua wanita yang tinggal di tingkat tiga dan apabila mereka masuk ke dalam rumah, dia berdiri di depan pintu lalu melepaskan nafsunya.

Saturday, July 4, 2009

Universiti Tempat Cari ilmu

4 kampus bela siswa kes 'puaka' UM

Abdul Rahim Sabri
Jul 3, 09
12:27pm

kemaskini 7.15pm Kumpulan pelajar Islam di empat universiti awam utama di Lembah Kelang sepakat melancarkan kutipan derma untuk membantu dua pelajar Universiti Malaya (UM) yang dihadapkan ke mahakamah atas tuduhan menconteng, cubaan membakar dan menceroboh dewan.

Selain Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) yang akan mengutip dana mulai minggu depan apabila semester baru dibuka, kempen itu turut disertai PMI Universiti Putra Malaysia (UPM), Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Maaruf Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Kumpulan pelajar Islam UKM dan UPM akan mengutip derma minggu depan, manakala di UIA kempen tersebut bermula kelmarin, sehari selepas dua pelajar Akademi Pengajian Islam (API) UM dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

mohd aizat mohd salehNaib Presiden PMIUM Mohd Aizat Mohd Salleh berkata, pihaknya akan memulakan kutipan derma itu dari kalangan ahlinya bagi membantu membiayai kos guaman kedua-dua pelajar terbabit.

"PMIUM mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mohd Aizat, yang juga exco kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), berkata kutipan derma itu dijangka diperluaskan kepada semua pelajar univerisiti tersebut yang bersimpati.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum membincangkan kaedah dan pelaksanaan kutipan tersebut.

Menurut Presiden PMIUPM Safwan Abdul Ghani, kutipan derma tersebut akan dimulakan dengan kira-kira 150 ahlinya sebelum diperluaskan kepada pelajar seluruh fakulti dan kolej kediaman.

Mohd Idris Bin Mohd YussoffDihubungi Malaysiakini hari ini, Presiden ISIUKM Mohd Idris Mohd Yussoff berkata kutipan tersebut dimulakan di kalangan kira-kira 800 ahlinya.

Mohd Idris, pelajar Fakulti Pengajian Islam, tidak menolak kemungkinan untuk menyertai perhimpunan membantah sekiranya kedua-dua mahasiswa "dizalimi".

gmma committee pc 250608 faridzul nasarudinSelain sokongan dana, kata Presiden Kelab Maaruf UIA Faridzul Nasaruddin, pihaknya akan membantu menyebarkan maklumat kepada pelajar UIA berhubung kes tersebut.

ISIUKM dan Kelab Maaruf bagaimanapun belum memutuskan untuk mengutip derma ke seluruh universiti masing-masing.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - kedua-duanya pelajar API - dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Kedua-duanya juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.

Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mereka didakwa menconteng dinding dewan tersebut, selain menyimbah petrol di permaidani dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.

Kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.

Friday, July 3, 2009

Peluang Jadi Kaya

;

Ikan gergasi RM10,000
Oleh Noor Azam Abd Aziz
azam@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Berikutan pendedahan Metro Ahad minggu lalu mengenai misteri ikan naga atau Arapaima Gigas di Tasik Kenyir, kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM10,000 kepada kaki pancing yang berjaya menangkap ikan berkenaan.

Tempoh kebenaran menangkap ikan itu bermula semalam hingga 15 Ogos ini di seluruh tasik kecuali kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara dan Santuari Kelah.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mengumumkan ganjaran itu, berkata kaki pancing berminat perlu mendaftar dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan penguat kuasa Kenyir Rangers akan memantau usaha menangkap ikan itu.

“Walaupun Arapaima Gigas spesies ikan besar, ia tidak menyerang manusia tetapi menjadikan ikan lain dalam tasik sebagai makanan.

“Kita khuatir dengan adanya spesies ikan berasal dari Sungai Amazon itu, ikan lain akan pupus. Kita juga bimbang ikan itu akan membiak di Tasik Kenyir yang sedang kita bangunkan sebagai satu daripada destinasi pelancongan penting di Terengganu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, ikan Arapaima Gigas yang berjaya ditangkap hidup-hidup akan di tempatkan di Mini Zoo dan Taman Rekreasi Bukit Takal, Kemaman, sebagai tarikan orang ramai.

“Kita tidak tahu berapa jumlah sebenar ikan itu di Tasik Kenyir tetapi kita perlu pastikan tiada ikan pemangsa. Ikan toman juga adalah pemangsa tetapi tidak akan membesar seperti Arapaima Gigas,” katanya.

Katanya, kaedah menangkap ikan naga itu terhad kepada penggunaan joran dan setiap peserta perlu mempunyai permit serta mematuhi semua undang-undang kecil berkaitan dengan aktiviti memancing di Tasik Kenyir.

Metro Ahad minggu lalu mendedahkan misteri ikan naga iaitu Arapaima Gigas yang didakwa wujud di tasik berkenaan dan dikatakan boleh membesar sehingga 4.5 meter panjang selain mencapai berat hingga melebihi 200 kilogram.

Ikan itu antara spesies hidupan air yang diharamkan ditangkap dan dipelihara di negara ini.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin Terengganu, Abdul Wahab Abdullah dipetik sebagai berkata, ikan itu dikategorikan sebagai karnivor iaitu memakan ikan lain sebagai makanan.

Ikan berasal dari Sungai Amazon itu diburu menggunakan lembing penduduk tempatan dan dijadikan hidangan eksotik selain berdepan ancaman kepupusan di habitat asalnya itu berikutan penangkapan tidak terkawal.

Kecil-kecil Kurang Ajar

;

‘Perbuatan binasa masa depan sendiri’

KUALA LUMPUR: “Jika dibiarkan, lama kelamaan mereka boleh membunuh,” kata Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar pada usia remaja mudah terpengaruh melakukan perbuatan yang boleh memuaskan hati mereka tanpa memikirkan akibatnya.

“Pada peringkat usia sebegini pelajar lebih mudah terdedah dengan kegiatan yang melanggar disiplin dan memuaskan hati mereka apatah lagi tanpa kawalan ibu bapa.

“Malah lebih membimbangkan kalau perbuatan mereka ini dibiarkan dan tidak diberi perhatian sudah pasti ia membinasakan masa depan pelajar itu sendiri kerana sampai satu tahap mereka boleh melakukan jenayah lebih berat.

“Selain itu, pada umur ini jugalah mereka mudah terdorong membuat perkara yang menyeronokkan dan mengghairahkan. Justeru, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan menghalang pelajar terbabit daripada terus ‘hanyut’,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam mengenai sekumpulan tujuh pelajar tingkatan dua melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar jajahan Pasir Puteh, Kelantan.

Harian Metro semalam, melaporkan tujuh pelajar tingkatan dua yang berselindung di sebalik pakaian sekolah berjaya ditumpaskan polis kerana disyaki mendalangi beberapa kes pecah rumah.

Penahanan kumpulan pecah rumah ‘junior’ itu dihidu orang awam sebelum melaporkan kepada polis yang melakukan serbuan di sebuah sekolah menengah dan dalam tangkapan itu, polis merampas telefon bimbit serta sejumlah wang hasil kegiatan pecah rumah dilakukan mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng ketika mengulas laporan itu berkata, penyelesaian paling berkesan bagi menangani pelajar bermasalah melalui kerjasama semua pihak.

“Ibu bapa perlu memantau serta ambil tahu aktiviti anak mereka, manakala guru pula seharusnya memaklumkan dengan segera jika terdapat pelajar tidak masuk kelas atau ponteng,” katanya.

Kad Ucapan



Terima Kasih kerana mengikuti blog saya...copy and paste diblog anda.
see you soon.

Thursday, July 2, 2009

LAGAK PEMIMPIN KITA 2009


NIK AZIZ OH NIK AZIZ

JUN 24 — Syabas PAS kerana menolak gagasan perpaduan Melayu. Syabas PAS kerana bersekongkol dengan rakan-rakannya — yang asyik mengungkit mengenai isu biasiswa kepada anak-anak Bumiputera miskin, isu untuk mengenyah DEB, isu-isu terlalu sensitif yang jika disebut di sini “orang-orang tertentu” akan mengecap kita ini sebagai rasis.

Cita-cita PAS ialah mahu memerintah Malaysia dengan rakan-rakannya itu. Mungkin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu mengidamkan menjadi Perdana Menteri. Jika diizinkan tuhan cita-citanya akan tercapai. Tolong, janganlah sesiapa mengatakan dia tok guru yang hanya mengajar agama — sebenarnya beliau ialah ahli politik totok yang dalam istilah Inggeris disebut “political animal”.

Beliau tidak percaya kepada pengertian kebangsaan — atau dalam konteks gagasan perpaduan, Melayu. Melayu bagi beliau ialah elemen assabiyah yang menurutnya tidak sehaluan dengan ajaran Islam. Teras beliau ialah Islam semata-mata. Bagi beliau Melayu itu tidak wujud.

Itulah antara kegagalan gagasan tersebut. Awal-awal lagi Nik Aziz menolaknya, walaupun kumpulan lain dalam PAS mahu rundingan itu dimulakan. Presiden PAS, Datuk Hadi Awang yang mencetuskan idea itu. Ia disambut oleh kumpulan bukan-Erdogan, terutama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Sambutan Nasharudin itu mengakibatkan beliau “menghilangkan diri” beberapa hari kerana dimarahi teruk oleh Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Nik Aziz meminta Nasharudin meletakkan jawatan dan masuk Umno. Nik Aziz terlalu emosional kerana ada pihak yang cuba menghalang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bimbang melihat berlaku krisis keyakinan yang merugikannya dalam pakatan itu pergi menghadap Nik Aziz di Kota Bharu sebelah pagi Ahad — beberapa jam sebelum Hadi pulang dari luar negeri malam itu.

Ternyata dalam pertemuan itu Anwar berjaya mempengaruhi Nik Aziz, atau mereka berdua merancang untuk “menyelesaikan” kemelut ini — tanpa pengetahuan pencetus idea, Hadi.

Hadi yang ditemui pemberita di lapangan terbang KLIA berkata, PAS akan mengadakan perbincangan mengenai gagasan itu keesokan harinya.

Keesokan harinya (Isnin lalu) pakatan pembangkang yang dihadiri Anwar, Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng tersenyum puas. Hadi yang turut berada di dalam mesyuarat sejam pakatan itu di bangunan Parlimen terpaksa “malu alah” dan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan sebulat suara menolak gagasan itu. Kenyataan tiga perenggan itu ditandatangani oleh Anwar, Hadi dan Kit Siang.

Nasharudin tidak hadir dalam pertemuan itu.

Malamnya sebelum pertemuan itu, Nik Aziz di Kuala Krai menyerang Umno. Beliau menyifatkan Umno sebagai parti sesat seperti ajaran Ayah Pin. Parti yang membawa negara ini sehingga ke tahap ini — berbanding Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara Islam lain — dicercanya sebegitu rupa.

Itulah Nik Aziz, ahli politik totok yang kita kenali lama dulu. Seorang yang kononnya berperwatakan lembut, tapi keras berpolitiknya. Dia menyamakan Umno seperti Ayah Pin. Dia juga menyamakan Umno seperti pengganas komunis.

"Umno ialah pertubuhan sesat, sama dengan Ayah Pin. Umno dan komunis adalah sama. Umno ialah parti sosialis kerana menolak Islam. Umno ialah parti Melayu bukan parti Islam," kata Menteri Besar Kelantan itu di satu ceramah di Kampung Laloh di Kuala Krai malam Ahad lalu.

"Bagaimana kita mahu bersetuju dengan Umno? Mereka sekarang mahu minta kita lupa yang lepas dan bersatu dengan mereka. Mereka ini tidak tahu malu," katanya di hadapan rakan-rakan pakatannya Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Awal hari itu (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) Nik Aziz sudah mulai berlembut. Tapi beberapa jam kemudian di ceramah di Kuala Krai itu beliau buat pusingan-U di hadapan 5,000 penyokongnya dengan menghentam Umno dalam kempen menjelang pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Itulah Nik Aziz yang kita kenali. Beliau boleh membuat pusingan-U yang tajam. Itu pasal kita kata beliau bukan tok guru ajar mengaji, tapi ahli politik totok yang berjuang atas nama prinsipnya yang kental.

Berkata di hadapan pengikutnya yang fanatik itu, Nik Aziz menganggap Umno tidak layak memerintah negara ini. Semasa mengucapkannya, beliau langsung tidak sedar Umno sudahpun memerintah negara ini selama 52 tahun dengan jayanya. PAS tidak pernah.

Tambah beliau, umat Islam wajib menolak Umno jika mereka takutkan Allah.

Benar PAS sudah memerintah beberapa negeri di negara ini. Di Kedah dan Kelantan mungkin tiada masalah kerana ramai rakyatnya “Melayu”, tapi corak pemerintahan PAS di Perak yang terikat kepada master DAP telah menunjukkan hitam putih corak pemerintahannya.

Belumpun panas duduk di kerusi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sudahpun meluluskan hak milik tanah di kampung baru untuk selama 999 tahun (atau dibulatkan 1,000 tahun). Orang Perak sendiri terkejut, teruja dengan tindakan PAS Perak itu. Kita yakin corak inilah yang akan diterapkan apabila mereka memerintah Malaysia kelak.

Kini Nik Aziz merasakan PAS dan pakatan pembangkangnya yang layak memerintah negara ini. Jika tidak layak pun jangan bimbang, mereka akan dipimpin (ditunjuk ajar) oleh sebuah negara jiran yang yakin Malaysia kini sudah pun berada di persimpangan jalan. Negara itulah yang kini melatih Pulau Pinang dengan menghantar beberapa penasihat ke negeri itu.

Nik Aziz merasakan pakatannya sudah kuat. Memang benar mereka sudah kuat. Mereka kuat apabila orang Melayu lemah. Memang benarpun orang Melayu kini sudah terlalu lemah. Gagasan perpaduan bagi Nik Aziz tidak boleh dilaksanakan sama sekali — sama seperti kata-kata Karpal Singh "langkah mayatnya dulu" jika Malaysia mahu menjadi negara Islam.

Memetik kata-kata Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin "… sekiranya gagasan ini berjaya, ia akan menjadi satu pelan politik yang terhebat dalam sejarah tanah air."

"… tapi untuk merealisasinya bukan mudah. Pakatan pembangkang seboleh mungkin tidak mahu melihat rancangan itu berjaya."

Kenapa mereka tidak mahu melihat ia berjaya? Kerana jika gagasan ini berjaya, pakatan itu akan hancur lebur. Dan orang Melayu akan kembali kuat.

Apa pun tahniah dan syabas sekali lagi kepada Anwar dan Kit Siang serta tentunya tok guru Nik Aziz kerana berjaya menggagalkan gagasan itu. — Utusan Malaysia

Wednesday, July 1, 2009

Selamat Bulan Julai



Semoga bulan ini membawa rahmat buat semua. Masuknya bulan julai ni bermakna setengah tahun 2009 dah dilalui..syabas kepada yang berjaya mencapai impian pada tahun ini. Usaha lagi bagi yang belum mencapainya.
Related Posts with Thumbnails