Sunday, May 30, 2010

Pencuri Terperangkap.

Perompak tersangkut di bumbung rumah

HEATON, Britain - Salah seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk sebuah rumah di sini terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan apabila dia tersangkut di atas bumbung rumah yang dimasukinya itu.

Remaja yang berpakaian hitam itu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah selepas kehadiran mereka dikesan oleh pemilik rumah tersebut, Damiano Rea, 31, yang baru pulang.

Pemilik rumah itu mendapati pintu depan rumahnya terbuka manakala kelibat perompak itu berada di ruang tamu menyebabkan dia kemudian mengejar mereka yang melarikan diri ke atas bumbung.

Namun, salah seorang perompak itu terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota bomba dengan menggunakan sebuah tangga bertingkat setelah dia tersangkut di atas bumbung, baru-baru ini.

Dua lagi rakannya berjaya melarikan diri dengan terjun dari bumbung berkenaan.

Seorang pegawai polis, Kev Benson berkata, pihak polis menerima satu panggilan telefon dari seorang pemilik rumah pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan yang mengatakan terdapat seseorang yang berada di atas bumbung rumah.

"Kami tiba di tempat kejadian bersama skuad polis helikopter dan mendapati seorang remaja berada di atas bumbung rumah itu.

"Dengan bantuan pasukan bomba, remaja tersebut dibawa turun dan diselamatkan pada pukul 6.15 pagi waktu tempatan dan dia ditangkap kerana disyaki merompak," katanya.

Remaja berusia 14 tahun itu ditangkap kerana mencuri dan akan didakwa di mahkamah bulan depan. - Agensi

Friday, May 21, 2010

Bangkok Aman

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam menyatakan ketenteraman telah dipulihkan di Bangkok dan beberapa wilayah lain selepas kekacauan berlaku akibat tindakan penunjuk perasaan antikerajaan yang terkenal dengan panggilan Baju Merah berlaku pada Rabu lalu.

Beliau turut menegaskan akan meneruskan pelan perdamaian dengan penunjuk perasaan antikerajaan itu.

Menurutnya, satu siasatan bebas berhubung semua kejadian yang berlaku semasa protes tersebut berlaku akan dilakukan sejajar dengan pelan perdamaian dengan kumpulan Baju Merah.

Abhisit berkata demikian semasa menyampaikan ucapan menerusi televisyen. Sekurang-kurangnya 83 orang terbunuh dalam pertempuran politik yang berlaku ekoran pertempuran antara anggota-anggota tentera dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang berlaku selama dua bulan.

Krisis politik berakhir pada Rabu lalu selepas anggota-anggota tentera menggempur kem yang didirikan oleh penunjuk perasaan di Bangkok.

Penunjuk perasaan yang kebanyakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan junta tentera pada 2006 menuntut Abhisit meletakkan jawatan, Parlimen dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan dengan segera sebagai syarat untuk menghentikan protes jalanan secara besar-besaran. - Agensi

Tuesday, May 18, 2010

Gula mahal di Golok


Beli gula di Golok walaupun mahal
Oleh ZAID MOHD. NOOR dan SAMSUL BAHARI MOHAMAD
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my

SEORANG peniaga runcit di pekan Golok, Thailand menunjukkan gula keluaran Malaysia yang dijual di kedainya semalam.

SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Bekalan gula yang kembali bermasalah di negeri-negeri pantai timur Semenanjung mendorong penduduk Rantau Panjang, Kelantan menyeberangi Sungai Golok dengan perahu untuk membeli dan menyeludup bahan tersebut di sini hampir setiap hari.

Ini kerana gula di sini boleh dibeli dan diseludup dengan begitu mudah serta dalam jumlah yang banyak pula berbanding di Malaysia, mereka disyaratkan membeli tidak melebihi sepeket sekilogram setiap hari.

Mereka juga tidak menjadikan faktor harga gula di negara jiran yang jauh lebih mahal iaitu RM2.50 hingga RM2.80 sekilogram berbanding di Malaysia RM1.65 sekilogram sebagai satu masalah.

Pengorbanan Ibu

Ibu sanggup mati demi anak

SI ibu cuba menyelamatkan anak lelakinya (dalam bulatan).

POSITANO, Itali - Seorang wanita Amerika Syarikat (AS), Shelley Anne Duncan, 48, sanggup mati demi memastikan anak lelakinya, Shane yang berumur 12 tahun selamat selepas mereka dihanyutkan ombak besar di tepi pantai di sini pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman detik-detik cemas itu disiarkan oleh beberapa laman web Itali setelah seorang lelaki Brazil merakamkan insiden tersebut menerusi telefon bimbit berkamera.

Selepas dihanyutkan ombak besar, si ibu menolak anaknya ke arah beberapa nelayan tempatan yang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan mereka.

Namun, si ibu ditolak jauh oleh ombak besar.

Si ibu itu kemudian berjaya diselamatkan oleh pejalan kaki di tepi pantai dengan menariknya ke pantai tetapi dia kemudian meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak lelakinya dirawat di sebuah hospital kerana diselubungi perasaan terkejut sebelum dia dibenarkan keluar. - Agensi

Friday, May 7, 2010

Kereta mayat


Bekas penggali kubur cipta keranda jadi kereta

ESSEX – Seorang bekas penggali kubur di Britain, Phil Bissett telah membina sebuah kereta satu tempat duduk berkelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan menggunakan keranda sepanjang dua meter, lapor akhbar Daily Mail semalamBissett, 62, membeli keranda besi buatan tangan seberat 75 kilogram itu dengan harga £98 (RM470) melalui laman web lelongan eBay dan menamakan kenderaan ciptaannya Holy Smoke yang bermaksud kejutan.
“Ia mempunyai enjin berkapasiti 1300 cc dan kelajuannya pula mencecah 160 km/j,” katanya.Menurut warga emas itu, beberapa bahagian lain kenderaan itu termasuk cesi diambil dari sebuah trak Volkswagen, kereta buggy dan sebuah kereta Ford lama.Kereta unik milik Bissett boleh digunakan di jalan raya kerana dia telah membayar premium insurans dan mendaftarkan kenderaannya dengan pihak berkuasa.

“Kali pertama saya memandunya di jalan raya, seorang pemandu hampir terbabas ke dalam sebuah parit kerana terkejut manakala pemandu lain sibuk merakamkan gambar kereta saya,” katanya.Bissett yang kini bekerja sebagai pelukis tatu menambah, dia mendapat idea membina kereta itu sewaktu melayari Internet dalam keadaan mabuk.“Ia seperti kereta dalam filem seram kelakar, Adams Family dan ramai orang menganggapnya kelakar tetapi isteri saya pula bencikan kenderaan tersebut,” katanya.– Agensi

Monday, May 3, 2010

Lagi Ugutan Bunuh

Lelaki terlibat kes ugutan bunuh Nik Aziz ditahan
03/05/2010 6:27pm

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat menyiarkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman web sosial, Facebook.Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an itu diberkas oleh sepasukan polis di Butterworth, Pulau Pinang, semalam."Sepasukan polis menahan suspek itu di satu kawasan di Butterworth kira-kira pukul 9 malam berhubung kes penyiaran ugutan bunuh terhadap Nik (Abdul) Aziz,” katanya ketika dihubungi hari ini.Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman sosial itu dan juga individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh terbabit.
Sabtu lepas, Dewan Pemuda Pas membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang dipaparkan dalam sebuah laman web sosial milik seorang lelaki terhadap Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am parti itu.Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan di Balai Polis Chow Kit selepas membaca mengenai ugutan bunuh itu di laman Facebook.Dalam laman webnya, lelaki itu dikatakan sanggup dihukum gantung jika dapat membunuh ”Nik Aziz”.Zulkarnain berkata, bagaimanapun polis belum dapat mengenal pasti sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman itu dan individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh berkenaan.

"Kami sedang mendapatkan tempoh reman terhadap suspek bagi menjalankan siasatan lanjut sebelum dia dibawa ke sini (IPD Dang Wangi) untuk disoal siasat,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - Bernama
Related Posts with Thumbnails