Saturday, December 10, 2011

Anak Ramai isteri 1

Ibu 19 anak keguguran

MICHELLE Duggar (kiri) bersama suami (kanan belakang) dan sebahagian daripada 19 anak mereka.

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ibu yang memiliki 19 orang anak di negeri Arkansas, Michelle Duggar kelmarin menyatakan dia keguguran anak ke-20.

Keluarga besar itu popular selepas menyertai beberapa program realiti di AS.

"Kami mendapati anak kami yang ke-20 meninggal dunia semasa menjalani pemeriksaan kehamilan pada minggu ke-19 baru-baru ini," kata Michelle dan suaminya, Jim Bob di laman web mereka.

Baru sebulan lalu pasangan itu mengumumkan kepada dunia bahawa mereka tidak sabar menantikan kelahiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Keluarga berkenaan tinggal di bandar Little Rock selatan AS. Selain menyertai program realiti terbitan stesen televisyen TLC, 19 kids and counting pasangan itu menjual buku dan cakera video digital mengenai pengalaman mereka memiliki ramai anak.

Pasangan suami isteri itu dikurniakan 10 anak lelaki dan sembilan anak perempuan. - AFP

Tuesday, November 1, 2011

No Freedom In German..


Model dipecat kerana puji keluarga Gaddafi

vanessa hessler

BERLIN - Sebuah syarikat Jerman telah membatalkan kontrak pengiklanan dengan model yang diketahui bukan sahaja pernah menjalin hubungan dengan Motassem, anak lelaki Muammar Gaddafi malah turut memuji keluarganya.

Firma telekomunikasi Jerman, Telefonica dan anak syarikatnya, Alice akan membatalkan kontrak dengan model berusia 23 tahun itu, Vanessa Hessler yang berketurunan Itali-Amerika serta menarik balik penggunaan wajahnya daripada laman web syarikat itu.

"Vanessa Hessler telah gagal untuk menjauhkan diri daripada komennya mengenai konflik di Libya," kata jurucakap syarikat itu, Albert Fetsch kelmarin.

Hessler telah menjadi model bagi syarikat tersebut selama beberapa tahun dan poster yang memaparkan model tersebut terdapat di kebanyakan bandar Jerman.

Hessler mengaku kepada sebuah majalah Itali, Diva e Donna bahawa dia pernah menjalinkan hubungan selama empat tahun dengan Motassem.

Motassem mati ditembak selepas ditangkap bersama bapanya pada 20 Oktober lalu di Sirte, Libya.

"Saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya (Motassem) sejak kebangkitan (penduduk Libya) berlaku, tetapi hubungan kami merupakan cinta yang mendalam," kata model yang juga aktres tersebut kepada majalah berkenaan. - AP

Friday, October 21, 2011

Kematian Muamar Gadaffi



Gaddafi akhirnya mati ditembak

FOTO Muammar Gaddafi dilumuri darah di Sirte, Libya semalam.- Reuters

SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.

Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.

“Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala,” kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.

NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.

“Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati,” tambahnya.

Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.

Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.

NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.

Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.

NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.

Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.

Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.

Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: “Jangan tembak, jangan tembak.”

Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.

Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.

Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.

“Dia sudah pun mati,” katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.

“Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan,” kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.

Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.

Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.

Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.

Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.

Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.

Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.

Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.

Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.

Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.

Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera.

Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.

Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.

Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.

Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: “Ya, itu adalah betul.”

Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.

Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.

Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.

Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.

Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.

Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.

Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.

Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.

Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.

Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.

Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan.

– Agensi

Monday, September 19, 2011

EMO?

Gejala Emo mula menular
Oleh JUNHAIRI ALYASA dan MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Sanggup kelar tangan, menjilat darah sendiri serta melakukan seks bebas merupakan antara perlakuan dan amalan sumbang pengikut-pengikut kumpulan yang dipanggil Emo yang mula dikesan menular di negara ini.

Kosmo! difahamkan, kumpulan itu di negara ini biasanya dianggotai oleh remaja perempuan bermasalah terutama mereka yang sering tertekan kerana kesedihan, kekecewaan serta dihimpit kenangan buruk semasa kecil.

Kegiatan kumpulan itu ialah mengadakan pertemuan beramai-ramai di satu tempat dan mendengar muzik beberapa kumpulan yang membawa imej kumpulan Emo dari Barat antaranya, My Chemical Romance, Jimmy Eat World dan The Promise Ring dari Amerika Syarikat.

Sambil itu, mereka mula menghayati mesej membunuh diri berdasarkan lirik-lirik lagu berkenaan dan ada antara mereka mula mencederakan diri masing-masing dengan senjata tajam ketika mendengar lagu itu.

Antara lagu yang mempunyai unsur kepada perbuatan membunuh diri ialah yang bertajuk Welcome to the Black Parade nyayian kumpulan My Chemical Romance dari Amerika Syarikat dengan liriknya ‘And though you’re dead and gone, believe me your memory will carry on’ (Walaupun anda telah mati, percayalah saya, kenangan anda akan terus kekal).

Bagi lebih menjiwai suasana, ada antara mereka mengambil pelbagai jenis dadah terutama heroin, syabu dan ekstasi.

Ritual paling popular di kalangan mereka ialah mengelar tangan sendiri dan mati dalam keadaan perlahan-lahan dan ia berbeza dengan kumpulan songsang lain seperti gothic, black metal, Nazi, punk dan sebagainya.

Penampilan kumpulan Emo mudah dikenali kerana mereka biasanya memakai celak di mata, gaya rambut panjang dan berwarna menutupi sebahagian daripada wajah mereka selain berseluar ketat.

Pengarah Urusan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal (gambar) yang mendedahkan trend terbaharu remaja perempuan itu berkata, pengikut fanatik kumpulan Emo mendakwa mendapat kepuasan apabila mereka melakukan semua ritual tersebut.

“Mereka rasa puas terutama ketika mereka mengelar tangan dan menjilat darah sendiri termasuk melakukan semua perbuatan tidak berakhlak membuatkan diri mereka rasa begitu hebat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Paku Dalam Kepala


Paku tertusuk ke dalam kepala

GAMBAR X-ray menunjukkan sebatang paku tertusuk ke dalam kepala Dina.

URUMQI, China - Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun, Dina dibedah di sebuah hospital di sini untuk mengeluarkan paku sepanjang lima sentimeter di kepalanya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian itu berlaku selepas seorang pekerja pembinaan di rumah ibu Dina di wilayah Xinjiang tertembak sebatang paku dengan menggunakan pistol paku ke arah kepala budak perempuan tersebut semasa sedang bekerja.

Sebelum itu, dia secara berjenaka mengacukan pistol tersebut ke arah sekumpulan kanak-kanak termasuk Dina sambil berkata: "Pergi jauh-jauh".

"Dia menjerit dan kami dapat melihat lubang kecil pada kepalanya dengan darah mengalir keluar. Bapanya segera membawanya ke hospital," kata ibu Dina, Ha Mina. - Agensi

Saturday, August 20, 2011

Ribut Pasir Di Amerika.


Awan debu 'telan' bandar

GUMPALAN awan debu gergasi 'menelan' bandar raya Phoenix pada Khamis lalu.

PHOENIX, Amerika Syarikat (AS) - Awan debu gergasi menyelubungi bandar raya ini, buat kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan, lapor sebuah akhbar semalam.

Tembok debu menyelimuti kota metropolitan berkenaan Khamis lalu dengan langit bertukar warna coklat manakala jarak penglihatan pula berkurangan sekali gus menjadikan keadaan merbahaya untuk memandu.

Awan debu dikenali sebagai 'Habook' itu turut menyebabkan beberapa penerbangan tergendala selama hampir sejam tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat fenomena tersebut. - Agensi

Monday, August 15, 2011

Kes Pelajar Malaysia di London

Klip video Asyraf ditonton 3 juta orang

SEORANG pengunjung laman web YouTube melihat klip video yang menayangkan serangan ke atas Asyraf Haziq di London baru-baru ini.

LONDON - Klip video YouTube mengenai serangan kejam dan kejadian samun ke atas seorang pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rossli (gambar kecil) di Barking, East London, telah ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber-sumber pemantauan British.

Ini adalah klip video single mengenai rusuhan dan rampasan di London dan di bandar raya lain di Britain.

"Cakap-cakap mengenai serangan kejam terhadap pelajar Malaysia itu telah tersebar luas yang hampir semua yang saya tahu, mahu melihat klip itu di YouTube. Orang ramai bersimpati dengan nasib pelajar itu dan ketabahannya," kata Percy Higgins, ahli kimia di London dalam temu bual melalui telefon dengan Bernama.

Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, yang telah keluar dari Royal London Hospital selepas pembedahan berkata kepada wartawan bahawa beliau tidak ada perasaan dendam atau sakit hati dengan rakyat Britain.

Katanya, beliau akan meneruskan pengajiannya di London kerana itulah tujuannya datang ke Britain, walaupun ibu bapa Asyraf menggesa anaknya itu untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan pelajarannya di sana.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang telah menonton filem itu, mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia perlakuan yang memalukan.

Saturday, July 30, 2011

Sotong Hidup Jadi Hidangan


Kecoh hidangan sotong menari

HIDANGAN sotong menari di Jepun.

TOKYO - Klip video menunjukkan sotong menari di dalam pinggan semasa dihidangkan kepada pelanggan di restoran-restoran Jepun mencetuskan kemarahan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Ramai pengguna yang menonton klip video berkenaan di laman perkongsian video YouTube berang kerana percaya haiwan tersebut dimakan hidup-hidup.

Bagaimanapun, seorang pengusaha restoran memberitahu, aksi luar biasa itu berpunca daripada perbuatan menitikkan sos kacang soya ke atas sesungut sotong yang baru mati.

Bahan kimia sodium dalam sos berkenaan mencetuskan kejutan elektrik pada sel-sel sotong yang belum mati yang menyebabkan sotong itu menggelupur atau kelihatan seperti sedang menari.

Setakat ini, klip video berkenaan yang dirakam oleh seorang pelancong di Hokkaido, Jepun telah ditonton sebanyak sejuta kali. - Agensi

Tuesday, July 26, 2011

Akibat Bersih...

Sakit jantung punca Baharudin mati - Polis
10/07/2011 6:44pm - harian kosmo

KUALA LUMPUR 10 Julai — Polis mengesahkan kematian seorang pemandu teksi berusia 59 tahun yang menyertai perhimpuan haram di kawasan KLCC semalam adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, polis menafikan bahawa kematian Baharudin Ahmad berpunca daripada sebarang tindakan mereka.

"Kematian ada tetapi kematian itu tidak ada kaitan dengan tindakan yang diambil polis dan sebagainya, doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada komplikasi jantung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Amar Singh juga memberitahu, usaha untuk menyelamatkan nyawa Baharudin telah dilakukan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur namun pada pukul 5.30 petang, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

"Semasa bedah siasat malam tadi pada pukul 11.30 malam oleh pakar perubatan yang berkhidmat bernama Khairul, semasa siasatan mereka mendapati tidak ada kecederaan luar, tidak ada kecederaan atau apa sahaja kcederaan dalaman,” kata beliau. — Bernama

Jari Tumbuh...melebihi syarat


Budak lelaki ada 34 jari pecah rekod

GAMBAR menunjukkan Akshat Saxena yang mempunyai tujuh jari pada setiap tangan dan 10 jari di setiap kakinya.

NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.

Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.

Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut.

"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.

"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.

Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.

Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki.

Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.

Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu.

Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi

Tuesday, July 12, 2011

Berjalan kaki beribu kilometer utk..cinta.


Berjalan 1,609km untuk melamar kekasih

LIU PEIWEN sanggup berjalan kaki sejauh 1,609 kilometer bermula dari wilayah Henan, baru-baru ini ke rumah kekasihnya di Guangdong semata-mata untuk melamarnya.

BEIJING - Seorang pemuda, Liu Peiwen sanggup berjalan sejauh 1,609 kilometer (km) untuk melamar kekasihnya, Ling Hsueh, lapor sebuah akhbar semalam.

Peiwen, 29, mula berjalan kaki dari wilayah Henan ke rumah kekasihnnya yang berusia 23 tahun di wilayah Guangdong di tenggara China baru-baru ini.

Kekasih Peiwen itu berkata, dia cuma bergurau semasa menetapkan syarat untuk melamarnya iaitu berjalan kaki.

Wanita itu membuat permintaan berjalan kaki itu berdasarkan lagu band dari Scotland, Proclaimers yang berjudul 500 Miles.

Dalam lirik lagu itu dinyatakan seorang lelaki sanggup berjalan sehingga 1,609km untuk berada di pintu depan rumah kekasihnya.

"Dia seorang yang gila. Saya akan tetap berkahwin dengannya dan hanya bergurau semasa saya menyatakan dia perlu berjalan kaki sejauh 1,609km.

"Dia sudah pun berjalan kaki semasa saya sedar mengenai tindakannya itu," katanya.

Namun Peiwen berkata: "Apabila saya tiba, saya berharap dia akan menunggu saya dan saya akan melamarnya sekali lagi dan saya berharap dia akan menyatakan ya," kata Peiwen.

Berjalan kaki sejauh 1,609km itu mungkin mengambil masa selama enam minggu.

"Saya suka berjalan dan mahu melihat negara ini tetapi cinta saya merupakan desakan terakhir yang menyebabkan saya perlu lakukan," kata pemuda itu. - Agensi

Wednesday, June 29, 2011

Gigit Isteri....

Dituduh gigit kemaluan isteri
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
KUANTAN - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggigit kemaluan wanita itu yang enggan mengadakan hubungan seks pada April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Shakri Ismail, 28, dari Felda Bukit Goh di sini membuat pengakuan tidak bersalah atas dakwaan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Shakri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Roshapida Mat Sidik, 23, dengan menggigit kemaluan mangsa untuk mengadakan persetubuhan antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 3.30 pagi pada 21 April lalu di sebuah rumah di Felda Bukit Goh di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Terdahulu, selepas kertas pertuduhan dibacakan tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melakukan perbuatan itu dan mempersoalkan tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Saya tidak mencederakan dia," kata Mohd. Shakri.

Mendengar kata-kata tertuduh itu, Noradidah menyoal semula Mohd. Shakri dengan berkata:

"Jika kamu tidak melakukan perbuatan itu mengapa ada kesan gigitan pada mangsa."

Kata-kata hakim itu menyebabkan tertuduh terus mendiamkan diri sebelum mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Saturday, May 14, 2011

AKIBAT dari Persengketaan sesama sendiri....

11 imam dibunuh kejam

BREGA - Kekejaman kuasa Barat terbukti apabila sekurang-kurangnya 11 orang imam dibunuh semasa sedang tidur dalam satu serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Brega, Libya, kelmarin.

Jurucakap kerajaan Libya, Moussa Ibrahim berkata, kesemua imam yang terbunuh adalah sebahagian daripada kumpulan imam-imam Libya yang berkumpul di bandar itu untuk menunaikan solat meminta keamanan di negara yang sedang bergolak itu.

Namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila dibunuh dalam serangan ganas Nato yang menyasarkan tempat awam dan bukannya kemudahan tentera seperti yang didakwa sebelum ini.

Kesemua mereka selamat dikebumikan di Brega, semalam.

Selain itu, 50 orang awam yang lain turut cedera dalam serangan Nato itu yang jelas disasarkan ke rumah tumpangan yang menjadi tempat penginapan kumpulan imam tersebut.
Menurut pegawai perubatan, jumlah kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang cedera parah dalam serangan itu berada dalam keadaan kritikal.

Nato mengakui melancarkan serangan di Brega, bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli tetapi tanpa rasa bersalah menegaskan kononnya rumah tumpangan itu adalah pusat kawalan dan arahan.

“Kami sedar terdapat dakwaan ada orang awam terbunuh dalam serangan ini. Kami kesal sebarang kehilangan nyawa jika benar apa yang didakwa,” menurut Nato.

Nato sejak akhir-akhir ini mempertingkatkan serangan udara di beberapa kawasan di Libya yang didakwa sebagai pusat ketenteraan Gaddafi, termasuk serangan di kediamannya di Tripoli.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu mencabuli mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya membenarkan zon larangan terbang diwujudkan kononnya untuk melindungi rakyat Libya daripada serangan tentera Gaddafi.

Sunday, May 8, 2011

Internet Membawa kanak2 Lalai...


Bapa seret anak yang berbogel

LU TAN menyeret anak lelakinya dalam keadaan bogel di bandar Hechi, China baru-baru ini.

HECHI, China - Seorang bapa, Lu Tan menyeret seorang anak lelakinya keluar dari sebuah kafe Internet di sini selepas membogelkannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia menyerbu kafe Internet itu baru-baru ini dan menyeret anaknya di hadapan rakan-rakannya.

Seorang saksi berkata: "Dia (Tan) memukul budak itu yang menangis meminta belas kasihan. Namun, bapa budak itu mahu memberitahu semua orang bahawa anaknya tidak berguna dan menyeretnya ke rumah setelah membogelkan dia dengan kedua-dua tangannya diikat."

Dia menyatakan beberapa anggota polis tidak bertindak campur tangan walaupun selepas mereka dihubungi untuk membantu budak tersebut.

Saksi itu menjelaskan bahawa budak berkenaan didakwa mencuri wang untuk digunakan bagi melayari Internet.

Tan berkata, dia bertindak memukulnya kerana tidak mahu kehidupan dia dirosakkan oleh Internet.

Menurutnya, ibu budak itu meninggal dunia semasa dia berumur sembilan bulan.

"Saya sudah membesarkannya. Saya bekerja keras untuk membiayai keluarga," kata Tan. - Agensi

Monday, May 2, 2011

Si Penakut yang Rakus


Obama umumkan kematian Osama

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mengumumkan kematian Osama bin Laden di White House kelmarin.

WASHINGTON - Sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dimaklumkan mengenai kematian Osama bin Laden, beliau membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam satu ucapan di White House. Berikut adalah ringkasan ucapannya:

"Selamat malam. Malam ini, saya melaporkan kepada rakyat AS dan dunia bahawa AS telah menjalankan operasi yang berjaya membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda dan pengganas yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Kira-kira 10 tahun lalu, satu hari yang cerah pada bulan September telah digelapkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah ke atas rakyat Amerika. Imej-imej serangan 9/11 kekal dalam memori kita. Hampir 3,000 nyawa warga AS diragut, sekali gus meninggalkan satu lubang besar di hati kita.

"Pada 11 September 2011, dalam kesedihan, rakyat Amerika bersatu. Kita menghulurkan bantuan kepada jiran dan menawarkan darah kita kepada mereka yang tercedera. Kita menguatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan mengukuhkan perasaan cinta terhadap komuniti serta negara.

"Kita juga bersatu dalam usaha melindungi negara dan membawa individu yang bertanggungjawab ke atas serangan ganas ini ke muka pengadilan. Kita segera tahu bahawa serangan 9/11 dilakukan oleh Al-Qaeda, satu organisasi yang diketuai oleh Osama bin Laden yang secara terbuka melancarkan perang ke atas AS. Jadi, kita turut melancarkan perang menentang Al-Qaeda demi melindungi rakyat, rakan dan sekutu kita.

"Namun, Osama bin Laden berjaya mengelak daripada ditangkap dan melarikan diri dari sempadan Afghanistan ke Pakistan. Pada masa yang sama, Al-Qaeda terus beroperasi di sepanjang sempadan tersebut dan menerusi rangkaiannya di seluruh dunia.

"Tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran, saya mengarahkan Pengarah CIA, Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan dalam perang menentang Al-Qaeda. Di samping meneruskan usaha melemahkan rangkaian pengganasnya.

"Hari ini, atas arahan saya, satu pasukan tentera AS telah melancarkan operasi di Abbottabad, Pakistan. Tiada tentera yang tercedera dan AS berjaya membunuh Osama bin Laden dan mengambil mayatnya.

"Kematian Osama adalah pencapaian paling signifikan dalam usaha menumpaskan Al-Qaeda. Namun, itu bukan bermakna usaha kita sudah berakhir. Pastinya Al-Qaeda akan meneruskan serangan. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa AS tidak dan tidak pernah berperang dengan Islam. Osama bukan pemimpin Islam, tetapi pembunuh ramai orang Islam.

"Jadi, pada malam ini, kita boleh katakan kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang akibat keganasan Al-Qaeda: Keadilan telah berjaya ditegakkan.

"Terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu dan Amerika." - Agensi

Sunday, April 24, 2011

Peperangan Menghampiri Kita....Waspada Selalu..

Pertempuran masuk hari ketiga di sempadan Thailand
BANGKOK - Tidak ada sebarang tanda gencatan senjata dilaksanakan dalam pertelingkahan antara tentera Thailand dan Kemboja di sempadan negara itu, lapor agensi berita Bernama semalam.

Pertempuran yang memasuki hari ketiga bertumpu di Kuil Tamuen di daerah Phanom Dongrak wilayah Surin seawal pukul 9.45 pagi semalam yang menyaksikan seorang anggota tentera Thailand tercedera.

Ketua Tentera Wilayah II Thailand, Leftenan Jeneral Tawatchai Samutsakorn berkata, empat tentera Thailand terkorban manakala 22 lagi cedera sejak pertempuran antara dua pihak tercetua Jumaat lepas.

"Mereka yang menembak dahulu, kami cuma membalas, dan kami hanya menyasarkan anggota tentera sahaja," katanya.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva semalam berkata tentera Thailand tidak memulakan pertempuran, tapi mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kedaulatan negara dan bertindak balas apabila diserang.

Menteri Luar, Kasit Piromya berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya di Kemboja, Hor Namhong menerusi telefon kelmarin dan mereka merancang untuk mengadakan perjumpaan dalam masa empat atau lima hari lagi.

Pertempuran itu berlaku akibat perbalahan tuntutan berhubung satu kawasan tanah kecil di sempadan ekdua-dua buah negara. - Agensi

Adakah Ini Yang Kita Mahu...


Tinggal dalam pembentung banjir

LAO LI tinggal di dalam pembentung sebelum dia diusir di Haikou, selatan China baru-baru ini.

BEIJING - Seorang lelaki tinggal di dalam pembentung banjir di Haikou, selatan China, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Lelaki itu, Lao Li memasang lantai papan, pintu dan kusyen dalam pembentung yang sepanjang 1.82 meter.

Bagaimanapun, lelaki itu yang berusia 30 tahun dan masih bujang diusir dari pembentung tersebut.

Seorang pegawai berkata: "Dia akan diberikan sebuah rumah. Kami tidak boleh membenarkan penduduk tinggal di dalam pembentung ." - Agensi

Wednesday, April 20, 2011

Jangan Rakam Sembaragan...Aksi Jiran...

Lelaki rakam aksi seks jiran maut kena tikam
Oleh Poliana Ronnie Sidom
bhnews@bharian.com.my
2011/04/21

Suspek berang selepas mangsa tunjuk rakaman kepada anak

KOTA KINABALU: Ia bermula dengan mencuri rakam aksi seks pasangan suami isteri yang juga jiran berhampiran rumahnya menggunakan telefon bimbit kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit menunjukkan rakaman curi berkenaan kepada anak lelaki pasangan terbabit yang berusia 17 tahun dan beberapa jiran sambil melemparkan beberapa komen sinis.
Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral itu berakhir dengan tragedi apabila La Kampo, 47, maut akibat ditikam dengan pisau oleh lelaki dalam rakaman itu, kira-kira tujuh jam kemudian.

Kejadian berlaku di perkampungan setinggan Kampung Bukit, Batu 2 1/2, Sandakan, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marung, berkata suspek mendapat tahu aksinya di kamar tidur dirakam apabila terdengar suara mangsa berbual dengan anaknya di ruang tamu.

Katanya, mangsa dikatakan menunjukkan rakaman di telefon bimbit itu kepada anak remaja suspek di rumahnya (suspek) sambil melemparkan kata-kata sinis dan didengar oleh suspek.
“Melihat suspek keluar dari bilik, La bergegas meninggalkan rumah suspek dan menunjukkan pula rakaman sama kepada beberapa jiran.

“Tidak lama selepas itu, suspek dikatakan pergi ke rumah La dan memberi salam sambil meminta izin untuk masuk.

“Suspek kemudian mengarahkan La duduk di kerusi manakala isterinya berada berhampiran. Secara tiba-tiba, suspek mengeluarkan pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter (sm) lalu menikam perut serta lengan La sebanyak lima kali, mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.

“Suspek kemudian keluar dari rumah itu dan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan membawa pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mengesahkan kedua-duanya bukan warga tempatan, Rowell berkata, La mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.

Katanya, suspek kini ditahan reman, manakala kes disiasat menerusi Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Monday, April 18, 2011

MALANG TAK bERBAU>>>

Wanita maut terminum cuka getah
Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

KEADAAN Lijah semasa dirawat akibat terminum cuka getah sebelum meninggal dunia di HRPZ II di Kota Bharu semalam.

PASIR MAS – Seorang wanita yang dirawat di hospital sejak seminggu lalu akibat terminum cuka getah yang disangkanya air oren akhirnya meninggal dunia semalam.

Mangsa, Lijah Mamat, 88, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.10 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Menurut anak lelaki mangsa, Abdullah Che Wook, 63, arwah dimasukkan ke hospital itu akibat terminum cuka getah pada Selasa lalu.

Menceritakan kejadian tersebut, katanya, mangsa ketika itu berada di rumah bersama emak saudaranya, Siti Hawa Ibrahim, 77.

“Sambil berbual-bual, emak saya kemudian menuang air yang disangkanya air oren ke dalam gelas lalu meminumnya.

“Bagaimanapun, dia mengadu rasa air itu sangat pelik. Emak saudara saya kemudian merasa minuman itu, tetapi meludahnya semula kerana ia adalah cuka getah,” ceritanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat sini semalam.

Monday, April 4, 2011

Mati Budak Kerana gagal emosi.

Kematian Saiful: Ustaz akui gagal kawal emosi
Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
KANGAR – Seorang ustaz yang disyaki terbabit memukul Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Jejawi, Arau dekat sini sehingga meninggal dunia kelmarin sempat meminta maaf di atas perbuatannya baru-baru ini.

Menurut bapa angkat murid tersebut, Mohd. Zamri Shafie, 40, ustaz berkenaan datang menemuinya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Jumaat lalu bagi menyatakan kekesalan dan meminta maaf kerana memukul Saiful.

Katanya, ustaz berusia 27 tahun itu mengakui gagal mengawal emosi sehingga hilang pertimbangan ketika menyoal siasat Saiful Syazani Saiful yang juga seorang anak yatim berhubung satu kes kecurian di sekolah tersebut.

“Dia (ustaz berkenaan) tidak sedar ketika memukul Saiful sehingga menyebabkan anak angkat saya cedera parah dan lebih malang meninggal dunia.

“Sedih dan terkilan apa yang terjadi, namun saya menerima permohonan maaf ustaz itu kerana menyifatkan dia seorang yang baik,” katanya.

Monday, February 28, 2011

Hujan Emas di Negara Libya...hargailah Keamanan.


Saat cemas tinggalkan Tripoli
Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

SERAMAI 98 rakyat Malaysia dari Libya selamat tiba di KLIA, Sepang semalam.

SEPANG – “Pengalaman melihat mayat bergelimpangan di atas jalan raya merupakan kenangan ngeri yang tidak dapat dilupakan seumur hidup saya.”Demikian cerita seorang rakyat Malaysia, Navin Patmanathan ketika menceritakan detik cemas dan menakutkan yang ditempuhinya ketika tercetus pertempuran antara pihak berkuasa dengan penunjuk perasaan di Tripoli, Libya.“Saya lihat mayat-mayat, pelbagai senjata di tangan orang awam dan berlaku kejadian tembak-menembak. Ia amat menakutkan dan tak pernah saya fikir Libya boleh bertukar macam ini.

“Kejadian itu sangat dahsyat dan menakutkan,” katanya yang merupakan seorang kakitangan Ranhill Berhad yang bertugas di Libya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.Navin merupakan salah seorang daripada 98 orang rakyat Malaysia termasuk dua pelajar di Libya yang dibawa pulang oleh Kementerian Luar menerusi pesawat komersial Malaysia Airlines (MAS) melalui Rom, Itali.Mereka tiba di tanah air pada pukul 6.25 pagi semalam dan kepulangan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot bersama kakitangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sunday, February 27, 2011

Air Mata Petai..


‘Air mata’ pokok petai
Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my

PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.

KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak tiga hari lalu.Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.
Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan berpusu-pusu melihat sendiri pokok petai yang dikatakan ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.Pemilik pokok petai itu, Norhayati Abdul Karim, 38, berkata dia menyedari pokok petai yang ditanam arwah bapanya, Abdul Karim Kassim, mengeluarkan air seperti hujan pada petang Jumaat lalu ketika menjemur pakaian.

“Mulanya, saya sangka hujan apabila terkena titisan air. Namun, saya berasa pelik kerana cuaca cerah selain tiada tanda akan hujan.“Selepas beberapa minit berada di bawah pokok, baru saya sedar titisan air itu dari dahan pokok petai dan bukannya hujan,” katanya Menurutnya, ia kali pertama kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian pelik seperti itu, malah tahun ini pokok berkenaan baru mengeluarkan buah.

“Bukan penduduk kampung ini saja yang berpusu-pusu datang, malah penduduk beberapa kampung berhampiran turut datang untuk melihat sendiri pokok petai ‘menangis’.
“Ramai juga mengambil air yang ditadah dan meminumnya,” katanya.Penduduk, Sopian Ahmad, 40, berkata, baju dipakainya basah selepas berada di bawah pokok petai itu beberapa minit.

“Saya minum sedikit air ditadah dengan niat dijadikan ubat dan rasanya payau. Namun, setakat ini tiada penduduk membuat perkara bukan-bukan kerana bimbang menjadi khurafat,” katanya.

Sunday, February 20, 2011

IkanBuaya....sungguh Pelik..


Ikan buaya paling berat di dunia ditangkap

DUA orang ahli biologi Jabatan Perikanan, Hidupan Liar dan Taman Mississippi mengukur ikan buaya yang ditangkap Kenny Williams di Tasik Chotard, Amerika Syarikat pada 14 Februari lalu.

TASIK CHOTARD, Amerika Syarikat - Seekor ikan buaya paling berat di dunia berjaya ditangkap oleh seorang pemancing, Kenny Williams di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Berat ikan itu ialah 148.32 kilogram (kg), panjang 2.59 meter dan dianggarkan berusia di antara 50 hingga 70 tahun.

Sebelum ini seekor ikan buaya berjaya ditangkap di Rio Grande, Texas pada 1951 dengan berat 126.55kg.

Menurut Williams, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa ikan yang ditangkapnya pada 14 Februari lalu itu cukup besar.

Lelaki tersebut berkata, selepas dia menaikkan tangkapannya di atas bot, dia berasa terkejut melihat ikan buaya itu yang terlalu besar.

Williams membuat keputusan untuk menyerahkan ikan itu kepada Muzium Sains Semula Jadi Mississippi di Jackson untuk dipamerkan kepada orang ramai. - Agensi

Tuesday, February 15, 2011

Bapa Cabul Anak

Kes bapa laku hubungan seks dengan anak tiri dibicarakan
KOBLENZ - Kes perbicaraan seorang lelaki Jerman yang mengaku dia melakukan hubungan seks dengan seorang anak perempuan tirinya sehingga memperoleh tujuh orang anak bermula di sini semalam.

Lelaki itu yang berusia 48 tahun dan dikenali sebagai Detlef S. (gambar), berdepan 350 dakwaan mencabul dua gadis bawah umur dalam jagaannya di antara tahun 1987 hingga 2010 selain 35 dakwaan mengadakan hubungan seks dengan juvenil.

Dia berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah.

Menurut kertas pendakwaan, defendan mula mencabul anak tirinya itu yang merupakan pasangan kembar pada 1987 ketika mereka berusia sekitar empat tahun.

Kedua-dua anak tirinya itu kini berusia 28 tahun.

Tiada pengakuan dibuat manakala peguam tertuduh mengaku anak guamnya adalah bapa tujuh anak si mangsa.

"Anak guam saya mengaku bapa kepada anak-anak itu dan ia bukan sebahagian pertuduhan terhadapnya. Dia tidak bersalah sehingga terbukti sebaliknya," kata peguam tersebut.

Tertuduh ditahan sejak Ogos tahun lalu selepas seorang anak perempuan tirinya membuat laporan polis. - AP

Monday, January 31, 2011

MESIR DALAM HURU-HARA...Lama sangat memimpin.


Hosni rombak Kabinet
IMEJ yang disiarkan stesen televisyen Al-Masriya menunjukkan Kabinet baru mengangkat sumpah di depan Hosni Mubarak di Kaherah semalam.

KAHERAH - Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam melantik bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kaherah, Jeneral Mahmoud Wagdy sebagai Menteri Dalam Negeri sebagai sebahagian daripada usahanya merombak Kabinet yang dipimpinnya selama 30 tahun.
Namun, pelantikan menteri baru serta janji untuk melakukan pembaharuan belum mampu meredakan kemarahan penunjuk perasaan yang mahu beliau berundur.Rombakan itu turut melibatkan Menteri Dalam Negeri, Habib alAdly yang digantikan dengan Mahmud Wagdi, seorang jeneral tentera.

Kemarahan itu belum reda apabila para penunjuk perasaan semalam merancang mengadakan mogok besar-besaran dan 'perarakan sejuta orang' pada hari ini di Kaherah demi menjatuhkan rejim Hosni."Keputusan ini dibuat semalam dan akan ada sejuta penunjuk perasaan berarak pada hari Selasa (hari ini)," jelas salah seorang penganjur tunjuk perasaan, Eid Mohammed.Mogok pertama dilakukan oleh para pekerja di sebuah kilang di Suez pada Ahad lalu.

"Kami akan menyertai mogok pekerja Suez dan memulakan mogok awam sehinggalah permintaan kami dipenuhi," kata seorang lagi penganjur protes, Mohammed Waked yang merujuk peletakan jawatan Hosni.Kekacauan di Mesir kini sudah masuk hari ketujuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 125 nyawa.Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri Tahrir Square di Kaherah sambil menjerit slogan: Pergi! Kami mahu kamu (Hosni) keluar!" selain menyanyikan lagi kebangsaan Mesir.Pasukan askar dilihat tidak mengambil sebarang tindakan. Askar-askar dilihat berkongsi teh dan makanan bersama penunjuk perasaan di atas kereta kebal yang diconteng dengan grafiti anti-Hosni.

Askar-askar turut diberi pilihan sama ada memilih Mesir atau Hosni.Pada peringkat awal kebangkitan rakyat, tidak wujud kumpulan politik pembangkang yang jelas.Namun semalam, Persaudaraan Muslim menyatakan pihaknya akan cuba untuk membentuk satu jawatankuasa politik dengan bekas penerima anugerah Nobel dan bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Mohamed ElBaradei untuk berbincang dengan pihak tentera berhubung krisis di negara tersebut.

Tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah Mesir itu tercetus berikutan kekecewaan rakyatnya terhadap penindasan, korup dan kurangnya amalan demokrasi di bawah pemerintahan Hosni. - Agensi

Wednesday, January 26, 2011

Isteri Kuat Seks - Hari-hari Mau..(Harimau)


Suami dapatkan perlindungan polis kerana isteri kuat seks

BERLIN, Jerman - Seorang lelaki Turki yang menetap di Jerman mendapatkan perlindungan polis kerana isterinya yang kerap meminta melakukan hubungan seks, kata polis semalam.Menurut polis, lelaki itu datang ke sebuah balai polis di barat daya Jerman pada Selasa lalu.
Lelaki itu berkata, dia telah tidur selama empat tahun di sofa untuk mengelak daripada tuntutan daripada isteri yang mahu melakukan seks.Isterinya itu telah dikahwini selama 18 tahun.Dia mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinannya itu.
"Sekarang, dia bercadang untuk bercerai dengan isterinya itu dan keluar dari rumah dengan harapan dia pergi ke tempat kerja dalam keadaan yang cergas sepenuhnya.

"Ketika itu, tindakannya mahu keluar dari rumah mustahil dilakukan kerana isterinya sering datang ke ruang tamu meminta dia melaksanakan tugas perkahwinan (seks) sehingga membuatkan dia meminta pertolongan polis untuk mendapatkan tidur pada waktu malam," menurut polis. - AFP

Saturday, January 22, 2011

Buaya yg Malang..tertelan Telefon


Buaya trauma setelah tertelan telefon bimbit

BUAYA Gena berendam dalam sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk, Ukraine kelmarin.

KIEV, Ukraine - Seekor buaya berusia 14 tahun, Gena enggan makan sebarang makanan selepas ia menelan satu telefon bimbit milik seorang wanita yang terjatuh ke dalam kurungan haiwan itu di sebuah akuarium di bandar Dnipropetrovsk.

Pada mulanya, para pekerja akuarium itu tidak percaya dakwaan wanita tersebut yang berumur 20-an bahawa telefon bimbitnya ditelan buaya tersebut.

"Namun, apabila telefon itu berbunyi dan bunyinya datang dari dalam perut buaya tersebut, kami mengetahui dia (ibu tersebut) tidak berbohong," kata seorang pekerja di akuarium berkenaan, Alexandra.

Wanita berkenaan terjatuh telefon itu semasa dia mahu merakamkan aksi buaya tersebut sedang membuka mulutnya.

Ekoran tertelan telefon itu, buaya tersebut tidak makan selama empat minggu dan kelihatan murung dan sakit.

Alexandra berkata, kelakuan buaya jantan tersebut berubah selepas ia menelan telefon itu kerana ia kini bergerak amat perlahan dan kurang berenang berbanding sebelum ini.

Ketua doktor haiwan, Oleksandr Shushlenko berkata, jika buaya berkenaan masih enggan memakan sebarang makanan, haiwan itu akan menjalani pemeriksaan sinar X. - AP

Thursday, January 20, 2011

Demi Negara.........Malaysia.


Sayang Misbun
Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

MISBUN tiba-tiba muncul di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam ketika anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei sedang mengharungi perlawanan menentang Hu Yun dari Hong Kong. Chong Wei menang 21-6, 21-9.

KEHADIRAN jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam mula mencetuskan pelbagai persoalan.

Seperti yang diketahui, Misbun telah pun meletakkan jawatan daripada tugasnya selaku jurulatih pada 31 Disember tahun lalu.

Namun, kelibatnya yang duduk di tempat jurulatih di tepi gelanggang ketika pertemuan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei dengan pemain Hong Kong, Hu Yun pada aksi pusingan kedua memang di luar jangkaan.

Ia seakan-akan memberi petanda bahawa jurulatih tersebut akan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Begitupun, segala persoalan yang bermain dalam fikiran pelbagai pihak termasuk warga media yang membuat liputan kejohanan ini hanya mampu dijawab oleh Misbun sendiri.

Mujur, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai memberikan gambaran serba sedikit mengenai kehadiran Misbun di stadium semalam.

Menurut Chin Chai, BAM memang ada meminta Misbun untuk hadir ke stadium bagi memberikan semangat kepada Chong Wei.

"Kami (BAM) ada hantar sepucuk surat kepada Misbun untuk mempertimbangkan semula keputusan mengenai peletakan jawatannya.

“Menerusi surat itu juga kami memintanya untuk hadir ke stadium bagi memberikan semangat kepada Chong Wei demi kepentingan negara," katanya.

Bagaimanapun, Chin Chai menjelaskan yang pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Misbun atas permintaan itu.

Berdasarkan kenyataan Chin Chai itu, jelaslah bahawa Misbun sebenarnya masih sayangkan pemain-pemain yang pernah berada di bawah kendaliannya terutama Chong Wei.

Jangan Cuai...


Budak hilang semalaman ditemui
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

ABDUL WAHID (tengah) memeluk Nor Aishah yang ditemui dalam kawasan paya di Kampung Lintah, Slim River semalam.

SLIM RIVER – Seorang kanak-kanak berusia setahun 10 bulan menghadapi saat-saat cemas apabila tersesat di dalam hutan kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Lintah, Slim Village di sini, tengah hari kelmarin sebelum ditemui 20 jam kemudian.

Nor Aishah Umairah Zamzuri dijumpai semula dalam keadaan berdiri di dalam kawasan berlumpur dengan sebahagian kakinya ditenggelami selut hingga paras betis sambil menangis.

Dia ditemui dua penduduk Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan hutan tersebut untuk menoreh getah di ladang getah berhampiran pada kira-kira pukul 7.30 pagi semalam sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung yang menyertai dalam operasi mencari.

Semasa ditemui, tubuh Nor Aishah dipenuhi lumpur hingga ke paras leher selain banyak kesan gigitan serangga dan calar-balar. Kedua-dua tapak kakinya pula pecah dipercayai akibat berjalan berkaki ayam di dalam hutan terbabit.

Nenek mangsa, Norliah Zakaria, 50, berkata, dia menyedari kehilangan cucu sulungnya itu selepas pulang mengambil dua anaknya dari sekolah berhampiran pada pukul 1.30 petang kelmarin.

Tuesday, January 18, 2011

Jangan Keruhkan Suasana...


Peguam pertikai azan minta maaf

NG KIAN NAM (tengah) bersalam dengan Ikram sambil diperhatikan oleh Raja Nong Chik (dua dari kanan) di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang peguam Cina, Ng Kian Nam memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan di sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

"Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam kerana salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sebelum sidang akhbar itu, Raja Nong Chik mengadakan perbincangan tertutup dengan Kian Nam, Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah, Ikram Mohd. Yusof dan wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) serta Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Monday, January 10, 2011

Deraan Ibu tiri...kanak-kanak maut.

Penangan kekejaman ibu tiri
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

NUR DANIA QISTINA mengalami 73 kesan lebam di seluruh badan.

JOHOR BAHRU – Kesengsaraan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terpaksa menanggung pedih didera dipercayai oleh ibu tirinya sejak tiga bulan lalu berakhir dengan tragedi apabila dia disahkan mati di Kampung Sungai Tiram di sini kelmarin.Lebih memilukan, kematian Nur Dania Qistina Nurafizan didakwa cuba disembunyikan oleh bapanya yang menghubungi bekas isterinya, Nur Aquilla Razali, 27, mengatakan mangsa mati kerana lemas selepas tertonggeng di dalam baldi di bilik air.
Lelaki itu yang cemas sebaik melihat anaknya tidak bernafas kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada pukul 8.25 pagi sebelum Nur Dania Qistina disahkan mati 35 minit kemudian.
Namun, bedah siasat mendapati terdapat 73 kesan lebam di seluruh badan Nur Dania termasuk muka, kaki dan badan dipercayai dipukul dengan benda keras atau tangan.
Difahamkan, Nur Dania Qistina bersama kakak, Nur Dania Batrisyah, 5, dan adiknya, Danish Irsyad, 1, dibawa tinggal bersama bapa dan ibu tirinya sejak tiga bulan lalu. Sebelum ini ketiga-tiga beradik itu menetap di rumah datuknya, Razali Ismail, 56, di Mersing, Johor.

Friday, January 7, 2011

Nasib manusia Siapa Tahu.....


Pengemis bersuara emas ditawar jadi pelakon
DUA hos Meredith Vieira (kiri) dan Matt Lauer (tengah) mewawancara Ted Williams dalam program televisyen Today di New York kelmarin.

NEW YORK - Pengemis memiliki suara emas, Ted Williams kini ditawarkan untuk berlakon dalam filem terbitan pelakon dan pengarah terkenal, Jack Nicholson, lapor Entertainment Tonight kelmarin.Tawaran itu adalah yang terbaru selepas dia tiba-tiba menjadi popular di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat banyak tawaran untuk menggunakan suara emasnya dengan bayaran lumayan selepas satu klip video menunjukkan dia mengemis disiarkan di Internet.

Nasib Williams yang berusia 53 tahun itu berubah serta-merta selepas seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch merakamkan gelagat pengemis itu bercakap meminta bantuan dengan menggunakan suara emasnya di tepi jalan di Houston Street, Columbus, Ohio. Jurugambar itu kemudian menyebarkan rakamannya itu di Internet.Semasa rakaman itu, pengemis itu meminta bantuan kewangan dengan tangannya memegang cebisan kotak mengandungi ayat yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas juruhebah radio.
Dia kemudian bercakap seperti aksi deejay radio.

Williams kini menimbangkan tawaran untuk menjadi penyumbang suara bagi memberitahu perkembangan pasukan bola keranjang Cleveland Cavaliers dalam liga Bola Keranjang Nasional (NBA).Dia juga ditawarkan untuk merakamkan iklan Kraft Macaroni & Cheese yang akan disiarkan di saluran Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN) semasa perlawanan Fight Hunger Bowl pada perlawanan akan datang.Ekoran penemuan pengemis bersuara emas itu, seorang ejen pencari bakat, Shane Cormier berkata, dia boleh menjadikan Williams jutawan kerana keunikan suaranya.Menyentuh mengenai tawaran terbaru dalam bidang lakonan, Williams berkata: "Jack Nicholson telah menghubungi seorang ahli keluarga saya yang kebetulan berada di Columbus, Ohio. Mereka akan menerbitkan sebuah filem dengan Jack memainkan watak sebagai seorang deejay. Dia mahu saya berlakon bersamanya," kata Williams.Berita tersebut didedahkan selepas Williams bertemu semula dengan ibunya, Julia Williams di New York untuk pertama kali selepas 20 tahun.

Dalam pertemuan yang penuh emosi itu, Julia yang berusia 90 tahun berkata: "Anak saya yang suka membazir akhirnya pulang ke rumah."Pengemis itu turut berkata: "Saya sudah sampai di rumah. Saya pernah beritahu akan pulang pada tahun ini. Saya tidak kelihatan hebat. Tetapi saya sudah ada di rumah," kata Williams.Kelmarin, dia merakamkan suaranya untuk program promosi penjenamaan terbitan stesen televisyen MSNBC.Dia tinggal di jalanan pada 1993 selepas kehidupannya musnah akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol.Beberapa hari lalu, dia hidup di dalam sebuah khemah di tepi lebuh raya di Columbus.Sebelum menjadi terkenal disebabkan klip video selama 90 saat di Twitter dan YouTube, Williams pernah ditahan di beberapa buah lokap di Ohio atas dakwaan jenayah seperti mencuri dan memiliki dadah.Semasa diwawancara dalam rancangan televisyen Today, kelmarin, dia mengaku terlibat dalam jenayah untuk memenuhi keperluan ketagihan dadahnya.Williams pernah menjadi juruhebah radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.Namun, dia kini tidak lagi mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun.

Williams turut menyuarakan perasaan terkejutnya apabila banyak pihak memberi perhatian terhadapnya semasa dia muncul dalam program Today terbitan stesen televisyen NBC itu di New York."Amat memeranjatkan. Ia merupakan fenomena dan tidak mungkin saya pernah bayangkan semua perkara ini akan berlaku. Saya rasa seperti Susan Boyle atau Justin Bieber," katanya yang dipetik daripada akhbar Columbus Dispatch.
Susan Boyle, 49, menjadi terkenal di dunia kerana suaranya yang merdu semasa menyertai pertandingan bakat nyanyian Britain's Got Talent pada 2009.Justin Bieber pula menjadi penyanyi amat popular masa kini walaupun dia kini berusia 16 tahun.

Mengulas mengenai pengajaran yang didapati semasa melayan golongan yang tidak berumah Williams berkata: "Jangan menilai manusia secara luarannya. Semua orang mempunyai kisah tersendiri." - Agensi

Lagi Burung Mati...


8,000 burung merpati jatuh dari langit
SEBAHAGIAN burung merpati yang jatuh dari langit di bandar Faenza, Itali pada Rabu lalu.

FAENZA - Kematian haiwan secara besar-besaran berlaku lagi tetapi kali ini melibatkan 8,000 ekor burung merpati di bandar ini yang terletak di Itali, lapor sebuah akhbar semalam.Burung itu dipercayai mati disebabkan keracunan atau kekurangan oksigen selain cuaca sejuk.

Haiwan itu jatuh ke tanah dan di atas bumbung rumah serta kereta pada Rabu lalu.
Penduduk di sini menyatakan, bangkai burung merpati itu mempunyai tompok biru pada paruhnya yang dipercayai pakar-pakar sebagai tanda hipoksia atau kekurangan oksigen.
"Burung-burung merpati itu jatuh dari langit satu demi satu dan kemudian dalam kumpulan 10 atau 20 ekor serentak," kata seorang penduduk tempatan.Keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti punca kematian burung-burung merpati itu hanya akan diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.Insiden terbaru itu berlaku selepas dua juta ikan ditemui mati di Teluk Chesapeake, Maryland, Amerika Syarikat (AS) beberapa hari lalu.

Pakar-pakar percaya ikan-ikan itu mati akibat tertekan cuaca sejuk dan pembiakan berlebihan.Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan insiden kematian besar-besaran haiwan berlaku di seluruh dunia yang antara lain melibatkan 40,000 ekor ketam setan merah mati di Kent, Britain pada Rabu lalu.Di AS, beribu-ribu ekor bangkai ikan ditemui terapung di sungai Spruce, bandar Port Orange, Florida pada Selasa lepas.

Pada Selasa lalu juga beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di perairan New Zealand dengan 50 ekor burung ditemui mati di sebatang jalan raya di bandar Falkoping, Sweden manakala 200 ekor burung ditemui mati di sebuah lebuh raya di Texas, AS .Di Brazil pula, sebanyak 100 tan metrik ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama telah ditemui di pesisir pantai Parana. - Agensi

Thursday, January 6, 2011

Pencuri Kabel yg Parah.


Dua pencuri kabel dibelasah
Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

DUA pemuda yang cedera dibelasah penduduk kerana mencuri kabel telefon di Kampung Mentera, Binjai semalam.

KOTA BHARU – Angkara mencari wang cara mudah, dua daripada tiga sahabat cedera teruk dibelasah penduduk kampung ketika mereka leka mencuri kabel pada tiang Telekom Malaysia (TM) di Kampung Mentera, Binjai dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 18 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan selepas mereka mengalami luka-luka di kepala dan badan ekoran dibelasah lebih lima penduduk kampung.

Namun, seorang rakan suspek sempat melarikan diri.

Kejadian mencuri kabel pada tiang telefon itu pada mulanya disedari oleh seorang penduduk kampung selepas dia ternampak dua lelaki sedang memanjat tiang manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

Tuesday, January 4, 2011

Aneh...burung mati jatuh dari langit..


Misteri ikan, burung mati di Arkansas
SEPASANG suami isteri melihat seekor burung hitam yang jatuh dari langit dan mati di bandar Beebe, Arkansas pada Sabtu lalu.
BEEBE - Misteri menghantui negeri Arkansas apabila lebih 100,000 ekor ikan ditemui mati di sepanjang 32 kilometer tebing dan di permukaan Sungai Arkansas berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe, di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan-ikan tersebut ditemui oleh seorang pemandu bot tunda pada Khamis lalu, 200 kilometer dari Beebe. Pakar alam sekitar percaya bahawa ikan-ikan itu mati akibat penyakit.

"Hanya satu spesies ikan yang mati dan kami tidak tahu apa puncanya. Jika disebabkan toksik, semua ikan mesti terjejas," kata seorang pegawai dari Jabatan Kualiti Alam Sekitar, Travis Harmon.Pegawai-pegawai perikanan mengambil beberapa ekor ikan yang mati berhampiran Roseville untuk diuji.Jurucakap Suruhanjaya Perikanan dan Sukan Arkansas, Keith Stephens memberitahu, masalah kematian ikan berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang luar biasa.
Seorang pakar, Dr. Andrew Goodwin dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur, Universiti Arkansas menyatakan perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka."Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.Kematian itu berlaku selepas hampir 5,000 ekor burung hitam jatuh dari langit dan mati, 1.6 kilometer dari bandar Beebe pada malam tahun baru. Insiden pelik yang kelihatan tidak mempunyai hubungan di antara satu sama lain itu nyata membingungkan penduduk Arkansas.

Para saintis menyatakan bunga api mungkin menyebabkan kematian burung itu. Namun, beberapa pegawai yang memeriksa burung itu menyatakan mereka masih belum pasti mengenai punca kematian haiwan tersebut.

Satu lagi teori ialah ribut petir mungkin dikatakan menjadi punca kematian burung-burung itu.

Insiden misteri itu nyata menimbulkan banyak teori dalam kalangan blogger.

Dua rakyat AS, Paul Joseph Watson dan Alex Jones dari laman web PrisonPlanet.com yakin ia disebabkan oleh ujian senjata elektromagnetik rahsia.

Sementara itu, pihak lain mengemukakan teori bahawa kematian burung dan ikan tersebut merupakan petanda hari kiamat berdasarkan ramalan suku kaum Maya di Amerika Selatan dan ahli nujum terkenal, Nostradamus. - Agensi
Related Posts with Thumbnails