Showing posts with label Kejadian Semasa. Show all posts
Showing posts with label Kejadian Semasa. Show all posts

Monday, April 23, 2012

Pauh Putih...


Misi mencari ikan paus berwarna putih

GAMBAR fail menunjukkan seekor ikan paus berwarna putih (dalam bulatan) yang bernama Iceberg berenang dekat Pulau Bering di Rusia.

PARIS - Sepasukan saintis Rusia mengumumkan mereka akan melancarkan satu operasi untuk mengkaji seekor ikan paus pembunuh jantan berwarna putih yang dinamakan Iceberg pada minggu depan.

Saintis-saintis Universiti Moscow dan Universiti Saint Petersburg pernah menyaksikan ikan paus spesies Orca itu muncul di permukaan laut berhampiran Kepulauan Commander di Lautan Pasifik Utara pada Ogos 2010.

Pengarah Bersama Projek Orca Timur Jauh Rusia (FEROP) Erich Hoyt berkata, Iceberg yang memburu bersama 12 ikan paus itu dipercayai berusia sekurang-kurangnya 16 tahun berdasarkan saiz sirip mamalia berkenaan.

"Ini kali pertama kami melihat ikan paus pembunuh jantan dewasa yang keseluruhan berwarna putih," kata Hoyt.

Para saintis itu akan mengkaji sama ada Iceberg menghidap penyakit genetik albino.

Haiwan albino tidak boleh mengeluarkan melanin yang menyebabkan kulit menjadi gelap.

Kebanyakan haiwan albino tidak dapat hidup sehingga dewasa kerana warna terang tersebut menyebabkan ia mudah dibunuh haiwan lain.

Terdapat dua ikan paus pembunuh berwarna putih yang diketahui tinggal di Semenanjung Kamtchatka, timur Rusia yang merupakan tempat Iceberg ditemui.

Pada tahun 1970, seekor ikan paus pembunuh berwarna putih berusia dua tahun, Chimo ditangkap di Kanada sebelum ia mati dua tahun kemudian.

Selepas satu pemeriksaan dilakukan ke atas bangkai haiwan itu, ia didapati menghidap albino. - AFP

Sunday, March 11, 2012

Penjual Karpet Naik Minyak

Baling - “Saya hanya mampu menangis dan merayu agar dia melepaskan saya. Saya cuba melawan, tapi kudratnya terlalu kuat,” kata Yana (bukan nama sebenar), 19, dari daerah ini yang dicabul oleh penjual karpet di rumahnya kira-kira jam 3 petang Khamis lalu.

Kejadian berlaku ketika Yana berada bersendirian di rumahnya sebelum dikunjungi oleh seorang lelaki yang menjual karpet datang untuk mengutip hutang kain.

Menurut gadis malang itu, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah dan hanya seorang diri di rumahnya, manakala ibunya keluar berniaga sementara adiknya ke kedai berdekatan.

“Bila penjual itu datang saya cakap mak tiada di rumah, tapi dia tetap masuk dengan alasan nak minum air. Namun, saya rasa risau bila penjual itu asyik pandang saya.

“Saya suruh dia keluar tapi dia tidak mahu. Bila saya hendak masuk bilik, saya rasa seseorang tiup telinga saya dan bila pusing ke belakang, lelaki itu terus memeluk saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, kelmarin.

Menurutnya, dia cuba melawan tetapi kudrat lelaki itu terlalu kuat dan dia tidak mampu melakukan apa-apa selain menangis.

Yana berkata, apabila dia menjerit, penjual itu menutup mulutnya sebelum mengangkatnya dan meletakkannya di atas sofa.

“Lelaki itu kata, dia hendak cium sedikit saja, tapi saya terus mengelak. Dia tidak berpuas hati dan menyelak baju saya, namun saya terus mengelak sehinggalah terdengar bunyi enjin motosikal adik di luar rumah.

“Bila saya dilepaskan, saya terus berlari ke luar rumah dan mendapatkan adik. Namun, penjual itu sempat melarikan diri,” katanya.

Anak keempat dari tujuh adik beradik itu berkata, dia dan keluarganya sememangnya mengenali lelaki itu kerana pernah berurusan dengannya sebelum ini.

Menurutnya, setiap bulan lelaki itu datang ke rumahnya untuk mengutip hutang.

“Saya dan mak memang kenal sangat penjual itu,” katanya.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Baling dan tindakan pantas polis berjaya mengumpulkan beberapa lelaki yang bekerja sebagai penjual karpet di daerah ini untuk sesi kawad cam.

“Namun begitu, dia itu tidak berada dalam sesi kawad cam tersebut,” kata Yana.

Difahamkan, kejadian hitam hampir 20 minit itu mengakibatkan Yana mengalami ketakutan dan trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan tradisional untuk memulihkan semangatnya. -SH

Saturday, March 10, 2012

Gaji Naik....belanja banyak.

Tambahan RM6 bilion selaras gaji
JOHOR BAHRU – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelarasan gaji berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diumumkannya kelmarin berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) melibatkan peruntukan tambahan RM6 bilion.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu disediakan kerana kerajaan mahukan lebih ramai penjawat awam menikmati pelarasan gaji maksimum terutama golongan dalam kategori kumpulan pelaksana ataupun sokongan.

“Kali ini kita nak ramai yang menikmati pelarasan gaji maksimum sehingga 13 peratus, jadi kita naikkan sampai kepada Gred 54. Dengan ini kita terpaksa cari peruntukan tambahan yang kesemuanya lebih RM6 bilion tetapi jumlah sebenar kita sedang tentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Taman Molek di sini semalam. Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan SBPA yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dibatalkan dan mengekalkan SSM yang ditambah baik.

Seiring dengan itu, beliau mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana daripada Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C, B dan A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus) selain kenaikan elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).

Saturday, January 14, 2012

Belum Beli Kena Baiki..


Kereta Ferrari RM2 juta remuk ketika pandu uji

BEGINILAH keadaan kereta Ferrari F430 yang mengalami kerosakan akibat kemalangan di Lebuh Raya KLIA kelmarin.

SEPANG - Sebuah kereta Ferrari F430 yang sedang dipandu uji terbabas mengakibatkan kenderaan bernilai hampir RM2 juta itu remuk di Lebuh Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kereta mewah yang boleh memecut sehingga kelajuan 315 kilometer sejam tersebut dinaiki oleh dua lelaki berusia lingkungan 30-an dari terminal KLIA menghala ke arah plaza tol KLIA.

Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan itu menjalani proses pandu uji sebelum diserahkan kepada pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, setibanya di Kilometer 6.3 berhampiran tol tersebut, kereta yang dipercayai dipandu laju itu gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan.

"Kereta itu terlanggar penghadang jalan serta sebatang tiang lampu sebelum terhumban kira-kira 20 meter dari bahu jalan.

"Pemandu dan penumpang kereta tersebut bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi di sini semalam

Tuesday, January 3, 2012

Hati-hati berkawan dgn Isteri orang

Padah keluar dengan isteri rakan baik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Padah keluar dengan isteri kenalan baik, seorang lelaki maut dibelasah dan ditikam suami kepada wanita terbabit menggunakan objek tajam di sebuah pasar raya di Plentong di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa, Sarmin Arsad, 40, dikatakan baru selesai membeli-belah bersama wanita berusia lingkungan 30-an terbabit.


Difahamkan, suspek yang terserempak dengan isterinya bersama Sarmin di perkarangan tempat letak kenderaan pasar raya berkenaan terkejut melihat gelagat dan aksi mereka ketika berjalan bersama.

Suspek yang berang menyaksikan perkara itu terus menyerang mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat sebelum nekad menyerang serta menikam Sarmin.


Akibat panik dengan tindakannya sendiri, suspek melarikan diri manakala Sarmin dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan.


Sarmin bagaimanapun disahkan mati sejurus tiba di HSI.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mangsa mati ketika dalam perjalanan ke HSI akibat pendarahan teruk selepas dibelasah dan ditikam di dada sebelah kiri menggunakan objek tajam.


“Suspek yang berusia 41 tahun melarikan diri sejurus kejadian namun kami berjaya menahannya beberapa jam selepas itu. Dia kini direman untuk siasatan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSI untuk bedah siasat dan kejadian terbabit mencetuskan suasana panik di kalangan pelanggan pasar raya berkenaan,” katanya.


Menurut Roslan, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tuesday, November 1, 2011

No Freedom In German..


Model dipecat kerana puji keluarga Gaddafi

vanessa hessler

BERLIN - Sebuah syarikat Jerman telah membatalkan kontrak pengiklanan dengan model yang diketahui bukan sahaja pernah menjalin hubungan dengan Motassem, anak lelaki Muammar Gaddafi malah turut memuji keluarganya.

Firma telekomunikasi Jerman, Telefonica dan anak syarikatnya, Alice akan membatalkan kontrak dengan model berusia 23 tahun itu, Vanessa Hessler yang berketurunan Itali-Amerika serta menarik balik penggunaan wajahnya daripada laman web syarikat itu.

"Vanessa Hessler telah gagal untuk menjauhkan diri daripada komennya mengenai konflik di Libya," kata jurucakap syarikat itu, Albert Fetsch kelmarin.

Hessler telah menjadi model bagi syarikat tersebut selama beberapa tahun dan poster yang memaparkan model tersebut terdapat di kebanyakan bandar Jerman.

Hessler mengaku kepada sebuah majalah Itali, Diva e Donna bahawa dia pernah menjalinkan hubungan selama empat tahun dengan Motassem.

Motassem mati ditembak selepas ditangkap bersama bapanya pada 20 Oktober lalu di Sirte, Libya.

"Saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya (Motassem) sejak kebangkitan (penduduk Libya) berlaku, tetapi hubungan kami merupakan cinta yang mendalam," kata model yang juga aktres tersebut kepada majalah berkenaan. - AP

Friday, October 21, 2011

Kematian Muamar Gadaffi



Gaddafi akhirnya mati ditembak

FOTO Muammar Gaddafi dilumuri darah di Sirte, Libya semalam.- Reuters

SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.

Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.

“Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala,” kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.

NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.

“Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati,” tambahnya.

Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.

Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.

NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.

Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.

NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.

Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.

Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.

Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: “Jangan tembak, jangan tembak.”

Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.

Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.

Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.

“Dia sudah pun mati,” katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.

Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.

“Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan,” kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.

Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.

Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.

Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.

Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.

Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.

Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.

Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.

Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.

Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.

Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera.

Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.

Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.

Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.

Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: “Ya, itu adalah betul.”

Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.

Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.

Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.

Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.

Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.

Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.

Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.

Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.

Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.

Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.

Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan.

– Agensi

Monday, September 19, 2011

EMO?

Gejala Emo mula menular
Oleh JUNHAIRI ALYASA dan MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Sanggup kelar tangan, menjilat darah sendiri serta melakukan seks bebas merupakan antara perlakuan dan amalan sumbang pengikut-pengikut kumpulan yang dipanggil Emo yang mula dikesan menular di negara ini.

Kosmo! difahamkan, kumpulan itu di negara ini biasanya dianggotai oleh remaja perempuan bermasalah terutama mereka yang sering tertekan kerana kesedihan, kekecewaan serta dihimpit kenangan buruk semasa kecil.

Kegiatan kumpulan itu ialah mengadakan pertemuan beramai-ramai di satu tempat dan mendengar muzik beberapa kumpulan yang membawa imej kumpulan Emo dari Barat antaranya, My Chemical Romance, Jimmy Eat World dan The Promise Ring dari Amerika Syarikat.

Sambil itu, mereka mula menghayati mesej membunuh diri berdasarkan lirik-lirik lagu berkenaan dan ada antara mereka mula mencederakan diri masing-masing dengan senjata tajam ketika mendengar lagu itu.

Antara lagu yang mempunyai unsur kepada perbuatan membunuh diri ialah yang bertajuk Welcome to the Black Parade nyayian kumpulan My Chemical Romance dari Amerika Syarikat dengan liriknya ‘And though you’re dead and gone, believe me your memory will carry on’ (Walaupun anda telah mati, percayalah saya, kenangan anda akan terus kekal).

Bagi lebih menjiwai suasana, ada antara mereka mengambil pelbagai jenis dadah terutama heroin, syabu dan ekstasi.

Ritual paling popular di kalangan mereka ialah mengelar tangan sendiri dan mati dalam keadaan perlahan-lahan dan ia berbeza dengan kumpulan songsang lain seperti gothic, black metal, Nazi, punk dan sebagainya.

Penampilan kumpulan Emo mudah dikenali kerana mereka biasanya memakai celak di mata, gaya rambut panjang dan berwarna menutupi sebahagian daripada wajah mereka selain berseluar ketat.

Pengarah Urusan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal (gambar) yang mendedahkan trend terbaharu remaja perempuan itu berkata, pengikut fanatik kumpulan Emo mendakwa mendapat kepuasan apabila mereka melakukan semua ritual tersebut.

“Mereka rasa puas terutama ketika mereka mengelar tangan dan menjilat darah sendiri termasuk melakukan semua perbuatan tidak berakhlak membuatkan diri mereka rasa begitu hebat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Paku Dalam Kepala


Paku tertusuk ke dalam kepala

GAMBAR X-ray menunjukkan sebatang paku tertusuk ke dalam kepala Dina.

URUMQI, China - Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun, Dina dibedah di sebuah hospital di sini untuk mengeluarkan paku sepanjang lima sentimeter di kepalanya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kejadian itu berlaku selepas seorang pekerja pembinaan di rumah ibu Dina di wilayah Xinjiang tertembak sebatang paku dengan menggunakan pistol paku ke arah kepala budak perempuan tersebut semasa sedang bekerja.

Sebelum itu, dia secara berjenaka mengacukan pistol tersebut ke arah sekumpulan kanak-kanak termasuk Dina sambil berkata: "Pergi jauh-jauh".

"Dia menjerit dan kami dapat melihat lubang kecil pada kepalanya dengan darah mengalir keluar. Bapanya segera membawanya ke hospital," kata ibu Dina, Ha Mina. - Agensi

Saturday, August 20, 2011

Ribut Pasir Di Amerika.


Awan debu 'telan' bandar

GUMPALAN awan debu gergasi 'menelan' bandar raya Phoenix pada Khamis lalu.

PHOENIX, Amerika Syarikat (AS) - Awan debu gergasi menyelubungi bandar raya ini, buat kali ketiga dalam tempoh kurang dua bulan, lapor sebuah akhbar semalam.

Tembok debu menyelimuti kota metropolitan berkenaan Khamis lalu dengan langit bertukar warna coklat manakala jarak penglihatan pula berkurangan sekali gus menjadikan keadaan merbahaya untuk memandu.

Awan debu dikenali sebagai 'Habook' itu turut menyebabkan beberapa penerbangan tergendala selama hampir sejam tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat fenomena tersebut. - Agensi

Monday, August 15, 2011

Kes Pelajar Malaysia di London

Klip video Asyraf ditonton 3 juta orang

SEORANG pengunjung laman web YouTube melihat klip video yang menayangkan serangan ke atas Asyraf Haziq di London baru-baru ini.

LONDON - Klip video YouTube mengenai serangan kejam dan kejadian samun ke atas seorang pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rossli (gambar kecil) di Barking, East London, telah ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber-sumber pemantauan British.

Ini adalah klip video single mengenai rusuhan dan rampasan di London dan di bandar raya lain di Britain.

"Cakap-cakap mengenai serangan kejam terhadap pelajar Malaysia itu telah tersebar luas yang hampir semua yang saya tahu, mahu melihat klip itu di YouTube. Orang ramai bersimpati dengan nasib pelajar itu dan ketabahannya," kata Percy Higgins, ahli kimia di London dalam temu bual melalui telefon dengan Bernama.

Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, yang telah keluar dari Royal London Hospital selepas pembedahan berkata kepada wartawan bahawa beliau tidak ada perasaan dendam atau sakit hati dengan rakyat Britain.

Katanya, beliau akan meneruskan pengajiannya di London kerana itulah tujuannya datang ke Britain, walaupun ibu bapa Asyraf menggesa anaknya itu untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan pelajarannya di sana.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang telah menonton filem itu, mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia perlakuan yang memalukan.

Saturday, July 30, 2011

Sotong Hidup Jadi Hidangan


Kecoh hidangan sotong menari

HIDANGAN sotong menari di Jepun.

TOKYO - Klip video menunjukkan sotong menari di dalam pinggan semasa dihidangkan kepada pelanggan di restoran-restoran Jepun mencetuskan kemarahan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Ramai pengguna yang menonton klip video berkenaan di laman perkongsian video YouTube berang kerana percaya haiwan tersebut dimakan hidup-hidup.

Bagaimanapun, seorang pengusaha restoran memberitahu, aksi luar biasa itu berpunca daripada perbuatan menitikkan sos kacang soya ke atas sesungut sotong yang baru mati.

Bahan kimia sodium dalam sos berkenaan mencetuskan kejutan elektrik pada sel-sel sotong yang belum mati yang menyebabkan sotong itu menggelupur atau kelihatan seperti sedang menari.

Setakat ini, klip video berkenaan yang dirakam oleh seorang pelancong di Hokkaido, Jepun telah ditonton sebanyak sejuta kali. - Agensi

Tuesday, July 26, 2011

Akibat Bersih...

Sakit jantung punca Baharudin mati - Polis
10/07/2011 6:44pm - harian kosmo

KUALA LUMPUR 10 Julai — Polis mengesahkan kematian seorang pemandu teksi berusia 59 tahun yang menyertai perhimpuan haram di kawasan KLCC semalam adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, polis menafikan bahawa kematian Baharudin Ahmad berpunca daripada sebarang tindakan mereka.

"Kematian ada tetapi kematian itu tidak ada kaitan dengan tindakan yang diambil polis dan sebagainya, doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada komplikasi jantung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Amar Singh juga memberitahu, usaha untuk menyelamatkan nyawa Baharudin telah dilakukan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur namun pada pukul 5.30 petang, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

"Semasa bedah siasat malam tadi pada pukul 11.30 malam oleh pakar perubatan yang berkhidmat bernama Khairul, semasa siasatan mereka mendapati tidak ada kecederaan luar, tidak ada kecederaan atau apa sahaja kcederaan dalaman,” kata beliau. — Bernama

Jari Tumbuh...melebihi syarat


Budak lelaki ada 34 jari pecah rekod

GAMBAR menunjukkan Akshat Saxena yang mempunyai tujuh jari pada setiap tangan dan 10 jari di setiap kakinya.

NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.

Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.

Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut.

"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.

"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.

Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.

Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki.

Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.

Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu.

Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi

Tuesday, July 12, 2011

Berjalan kaki beribu kilometer utk..cinta.


Berjalan 1,609km untuk melamar kekasih

LIU PEIWEN sanggup berjalan kaki sejauh 1,609 kilometer bermula dari wilayah Henan, baru-baru ini ke rumah kekasihnya di Guangdong semata-mata untuk melamarnya.

BEIJING - Seorang pemuda, Liu Peiwen sanggup berjalan sejauh 1,609 kilometer (km) untuk melamar kekasihnya, Ling Hsueh, lapor sebuah akhbar semalam.

Peiwen, 29, mula berjalan kaki dari wilayah Henan ke rumah kekasihnnya yang berusia 23 tahun di wilayah Guangdong di tenggara China baru-baru ini.

Kekasih Peiwen itu berkata, dia cuma bergurau semasa menetapkan syarat untuk melamarnya iaitu berjalan kaki.

Wanita itu membuat permintaan berjalan kaki itu berdasarkan lagu band dari Scotland, Proclaimers yang berjudul 500 Miles.

Dalam lirik lagu itu dinyatakan seorang lelaki sanggup berjalan sehingga 1,609km untuk berada di pintu depan rumah kekasihnya.

"Dia seorang yang gila. Saya akan tetap berkahwin dengannya dan hanya bergurau semasa saya menyatakan dia perlu berjalan kaki sejauh 1,609km.

"Dia sudah pun berjalan kaki semasa saya sedar mengenai tindakannya itu," katanya.

Namun Peiwen berkata: "Apabila saya tiba, saya berharap dia akan menunggu saya dan saya akan melamarnya sekali lagi dan saya berharap dia akan menyatakan ya," kata Peiwen.

Berjalan kaki sejauh 1,609km itu mungkin mengambil masa selama enam minggu.

"Saya suka berjalan dan mahu melihat negara ini tetapi cinta saya merupakan desakan terakhir yang menyebabkan saya perlu lakukan," kata pemuda itu. - Agensi

Wednesday, June 29, 2011

Gigit Isteri....

Dituduh gigit kemaluan isteri
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
KUANTAN - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggigit kemaluan wanita itu yang enggan mengadakan hubungan seks pada April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Shakri Ismail, 28, dari Felda Bukit Goh di sini membuat pengakuan tidak bersalah atas dakwaan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Shakri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Roshapida Mat Sidik, 23, dengan menggigit kemaluan mangsa untuk mengadakan persetubuhan antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 3.30 pagi pada 21 April lalu di sebuah rumah di Felda Bukit Goh di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Terdahulu, selepas kertas pertuduhan dibacakan tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melakukan perbuatan itu dan mempersoalkan tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Saya tidak mencederakan dia," kata Mohd. Shakri.

Mendengar kata-kata tertuduh itu, Noradidah menyoal semula Mohd. Shakri dengan berkata:

"Jika kamu tidak melakukan perbuatan itu mengapa ada kesan gigitan pada mangsa."

Kata-kata hakim itu menyebabkan tertuduh terus mendiamkan diri sebelum mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Saturday, May 14, 2011

AKIBAT dari Persengketaan sesama sendiri....

11 imam dibunuh kejam

BREGA - Kekejaman kuasa Barat terbukti apabila sekurang-kurangnya 11 orang imam dibunuh semasa sedang tidur dalam satu serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Brega, Libya, kelmarin.

Jurucakap kerajaan Libya, Moussa Ibrahim berkata, kesemua imam yang terbunuh adalah sebahagian daripada kumpulan imam-imam Libya yang berkumpul di bandar itu untuk menunaikan solat meminta keamanan di negara yang sedang bergolak itu.

Namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila dibunuh dalam serangan ganas Nato yang menyasarkan tempat awam dan bukannya kemudahan tentera seperti yang didakwa sebelum ini.

Kesemua mereka selamat dikebumikan di Brega, semalam.

Selain itu, 50 orang awam yang lain turut cedera dalam serangan Nato itu yang jelas disasarkan ke rumah tumpangan yang menjadi tempat penginapan kumpulan imam tersebut.
Menurut pegawai perubatan, jumlah kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang cedera parah dalam serangan itu berada dalam keadaan kritikal.

Nato mengakui melancarkan serangan di Brega, bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli tetapi tanpa rasa bersalah menegaskan kononnya rumah tumpangan itu adalah pusat kawalan dan arahan.

“Kami sedar terdapat dakwaan ada orang awam terbunuh dalam serangan ini. Kami kesal sebarang kehilangan nyawa jika benar apa yang didakwa,” menurut Nato.

Nato sejak akhir-akhir ini mempertingkatkan serangan udara di beberapa kawasan di Libya yang didakwa sebagai pusat ketenteraan Gaddafi, termasuk serangan di kediamannya di Tripoli.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu mencabuli mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya membenarkan zon larangan terbang diwujudkan kononnya untuk melindungi rakyat Libya daripada serangan tentera Gaddafi.

Monday, May 2, 2011

Si Penakut yang Rakus


Obama umumkan kematian Osama

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mengumumkan kematian Osama bin Laden di White House kelmarin.

WASHINGTON - Sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dimaklumkan mengenai kematian Osama bin Laden, beliau membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam satu ucapan di White House. Berikut adalah ringkasan ucapannya:

"Selamat malam. Malam ini, saya melaporkan kepada rakyat AS dan dunia bahawa AS telah menjalankan operasi yang berjaya membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda dan pengganas yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Kira-kira 10 tahun lalu, satu hari yang cerah pada bulan September telah digelapkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah ke atas rakyat Amerika. Imej-imej serangan 9/11 kekal dalam memori kita. Hampir 3,000 nyawa warga AS diragut, sekali gus meninggalkan satu lubang besar di hati kita.

"Pada 11 September 2011, dalam kesedihan, rakyat Amerika bersatu. Kita menghulurkan bantuan kepada jiran dan menawarkan darah kita kepada mereka yang tercedera. Kita menguatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan mengukuhkan perasaan cinta terhadap komuniti serta negara.

"Kita juga bersatu dalam usaha melindungi negara dan membawa individu yang bertanggungjawab ke atas serangan ganas ini ke muka pengadilan. Kita segera tahu bahawa serangan 9/11 dilakukan oleh Al-Qaeda, satu organisasi yang diketuai oleh Osama bin Laden yang secara terbuka melancarkan perang ke atas AS. Jadi, kita turut melancarkan perang menentang Al-Qaeda demi melindungi rakyat, rakan dan sekutu kita.

"Namun, Osama bin Laden berjaya mengelak daripada ditangkap dan melarikan diri dari sempadan Afghanistan ke Pakistan. Pada masa yang sama, Al-Qaeda terus beroperasi di sepanjang sempadan tersebut dan menerusi rangkaiannya di seluruh dunia.

"Tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran, saya mengarahkan Pengarah CIA, Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan dalam perang menentang Al-Qaeda. Di samping meneruskan usaha melemahkan rangkaian pengganasnya.

"Hari ini, atas arahan saya, satu pasukan tentera AS telah melancarkan operasi di Abbottabad, Pakistan. Tiada tentera yang tercedera dan AS berjaya membunuh Osama bin Laden dan mengambil mayatnya.

"Kematian Osama adalah pencapaian paling signifikan dalam usaha menumpaskan Al-Qaeda. Namun, itu bukan bermakna usaha kita sudah berakhir. Pastinya Al-Qaeda akan meneruskan serangan. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa AS tidak dan tidak pernah berperang dengan Islam. Osama bukan pemimpin Islam, tetapi pembunuh ramai orang Islam.

"Jadi, pada malam ini, kita boleh katakan kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang akibat keganasan Al-Qaeda: Keadilan telah berjaya ditegakkan.

"Terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu dan Amerika." - Agensi

Sunday, April 24, 2011

Peperangan Menghampiri Kita....Waspada Selalu..

Pertempuran masuk hari ketiga di sempadan Thailand
BANGKOK - Tidak ada sebarang tanda gencatan senjata dilaksanakan dalam pertelingkahan antara tentera Thailand dan Kemboja di sempadan negara itu, lapor agensi berita Bernama semalam.

Pertempuran yang memasuki hari ketiga bertumpu di Kuil Tamuen di daerah Phanom Dongrak wilayah Surin seawal pukul 9.45 pagi semalam yang menyaksikan seorang anggota tentera Thailand tercedera.

Ketua Tentera Wilayah II Thailand, Leftenan Jeneral Tawatchai Samutsakorn berkata, empat tentera Thailand terkorban manakala 22 lagi cedera sejak pertempuran antara dua pihak tercetua Jumaat lepas.

"Mereka yang menembak dahulu, kami cuma membalas, dan kami hanya menyasarkan anggota tentera sahaja," katanya.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva semalam berkata tentera Thailand tidak memulakan pertempuran, tapi mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kedaulatan negara dan bertindak balas apabila diserang.

Menteri Luar, Kasit Piromya berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya di Kemboja, Hor Namhong menerusi telefon kelmarin dan mereka merancang untuk mengadakan perjumpaan dalam masa empat atau lima hari lagi.

Pertempuran itu berlaku akibat perbalahan tuntutan berhubung satu kawasan tanah kecil di sempadan ekdua-dua buah negara. - Agensi

Wednesday, April 20, 2011

Jangan Rakam Sembaragan...Aksi Jiran...

Lelaki rakam aksi seks jiran maut kena tikam
Oleh Poliana Ronnie Sidom
bhnews@bharian.com.my
2011/04/21

Suspek berang selepas mangsa tunjuk rakaman kepada anak

KOTA KINABALU: Ia bermula dengan mencuri rakam aksi seks pasangan suami isteri yang juga jiran berhampiran rumahnya menggunakan telefon bimbit kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit menunjukkan rakaman curi berkenaan kepada anak lelaki pasangan terbabit yang berusia 17 tahun dan beberapa jiran sambil melemparkan beberapa komen sinis.
Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral itu berakhir dengan tragedi apabila La Kampo, 47, maut akibat ditikam dengan pisau oleh lelaki dalam rakaman itu, kira-kira tujuh jam kemudian.

Kejadian berlaku di perkampungan setinggan Kampung Bukit, Batu 2 1/2, Sandakan, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marung, berkata suspek mendapat tahu aksinya di kamar tidur dirakam apabila terdengar suara mangsa berbual dengan anaknya di ruang tamu.

Katanya, mangsa dikatakan menunjukkan rakaman di telefon bimbit itu kepada anak remaja suspek di rumahnya (suspek) sambil melemparkan kata-kata sinis dan didengar oleh suspek.
“Melihat suspek keluar dari bilik, La bergegas meninggalkan rumah suspek dan menunjukkan pula rakaman sama kepada beberapa jiran.

“Tidak lama selepas itu, suspek dikatakan pergi ke rumah La dan memberi salam sambil meminta izin untuk masuk.

“Suspek kemudian mengarahkan La duduk di kerusi manakala isterinya berada berhampiran. Secara tiba-tiba, suspek mengeluarkan pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter (sm) lalu menikam perut serta lengan La sebanyak lima kali, mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.

“Suspek kemudian keluar dari rumah itu dan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan membawa pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Mengesahkan kedua-duanya bukan warga tempatan, Rowell berkata, La mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.

Katanya, suspek kini ditahan reman, manakala kes disiasat menerusi Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Related Posts with Thumbnails