Monday, May 2, 2011

Si Penakut yang Rakus


Obama umumkan kematian Osama

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mengumumkan kematian Osama bin Laden di White House kelmarin.

WASHINGTON - Sebaik sahaja Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dimaklumkan mengenai kematian Osama bin Laden, beliau membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam satu ucapan di White House. Berikut adalah ringkasan ucapannya:

"Selamat malam. Malam ini, saya melaporkan kepada rakyat AS dan dunia bahawa AS telah menjalankan operasi yang berjaya membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda dan pengganas yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Kira-kira 10 tahun lalu, satu hari yang cerah pada bulan September telah digelapkan dengan serangan paling buruk dalam sejarah ke atas rakyat Amerika. Imej-imej serangan 9/11 kekal dalam memori kita. Hampir 3,000 nyawa warga AS diragut, sekali gus meninggalkan satu lubang besar di hati kita.

"Pada 11 September 2011, dalam kesedihan, rakyat Amerika bersatu. Kita menghulurkan bantuan kepada jiran dan menawarkan darah kita kepada mereka yang tercedera. Kita menguatkan kembali hubungan antara satu sama lain dan mengukuhkan perasaan cinta terhadap komuniti serta negara.

"Kita juga bersatu dalam usaha melindungi negara dan membawa individu yang bertanggungjawab ke atas serangan ganas ini ke muka pengadilan. Kita segera tahu bahawa serangan 9/11 dilakukan oleh Al-Qaeda, satu organisasi yang diketuai oleh Osama bin Laden yang secara terbuka melancarkan perang ke atas AS. Jadi, kita turut melancarkan perang menentang Al-Qaeda demi melindungi rakyat, rakan dan sekutu kita.

"Namun, Osama bin Laden berjaya mengelak daripada ditangkap dan melarikan diri dari sempadan Afghanistan ke Pakistan. Pada masa yang sama, Al-Qaeda terus beroperasi di sepanjang sempadan tersebut dan menerusi rangkaiannya di seluruh dunia.

"Tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran, saya mengarahkan Pengarah CIA, Leon Panetta untuk menjadikan penangkapan atau pembunuhan Osama sebagai keutamaan dalam perang menentang Al-Qaeda. Di samping meneruskan usaha melemahkan rangkaian pengganasnya.

"Hari ini, atas arahan saya, satu pasukan tentera AS telah melancarkan operasi di Abbottabad, Pakistan. Tiada tentera yang tercedera dan AS berjaya membunuh Osama bin Laden dan mengambil mayatnya.

"Kematian Osama adalah pencapaian paling signifikan dalam usaha menumpaskan Al-Qaeda. Namun, itu bukan bermakna usaha kita sudah berakhir. Pastinya Al-Qaeda akan meneruskan serangan. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa AS tidak dan tidak pernah berperang dengan Islam. Osama bukan pemimpin Islam, tetapi pembunuh ramai orang Islam.

"Jadi, pada malam ini, kita boleh katakan kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang akibat keganasan Al-Qaeda: Keadilan telah berjaya ditegakkan.

"Terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu dan Amerika." - Agensi

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails