Thursday, January 20, 2011

Jangan Cuai...


Budak hilang semalaman ditemui
Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

ABDUL WAHID (tengah) memeluk Nor Aishah yang ditemui dalam kawasan paya di Kampung Lintah, Slim River semalam.

SLIM RIVER – Seorang kanak-kanak berusia setahun 10 bulan menghadapi saat-saat cemas apabila tersesat di dalam hutan kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Lintah, Slim Village di sini, tengah hari kelmarin sebelum ditemui 20 jam kemudian.

Nor Aishah Umairah Zamzuri dijumpai semula dalam keadaan berdiri di dalam kawasan berlumpur dengan sebahagian kakinya ditenggelami selut hingga paras betis sambil menangis.

Dia ditemui dua penduduk Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan hutan tersebut untuk menoreh getah di ladang getah berhampiran pada kira-kira pukul 7.30 pagi semalam sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung yang menyertai dalam operasi mencari.

Semasa ditemui, tubuh Nor Aishah dipenuhi lumpur hingga ke paras leher selain banyak kesan gigitan serangga dan calar-balar. Kedua-dua tapak kakinya pula pecah dipercayai akibat berjalan berkaki ayam di dalam hutan terbabit.

Nenek mangsa, Norliah Zakaria, 50, berkata, dia menyedari kehilangan cucu sulungnya itu selepas pulang mengambil dua anaknya dari sekolah berhampiran pada pukul 1.30 petang kelmarin.

Tuesday, January 18, 2011

Jangan Keruhkan Suasana...


Peguam pertikai azan minta maaf

NG KIAN NAM (tengah) bersalam dengan Ikram sambil diperhatikan oleh Raja Nong Chik (dua dari kanan) di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang peguam Cina, Ng Kian Nam memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan di sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

"Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam kerana salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sebelum sidang akhbar itu, Raja Nong Chik mengadakan perbincangan tertutup dengan Kian Nam, Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah, Ikram Mohd. Yusof dan wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) serta Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Monday, January 10, 2011

Deraan Ibu tiri...kanak-kanak maut.

Penangan kekejaman ibu tiri
Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

NUR DANIA QISTINA mengalami 73 kesan lebam di seluruh badan.

JOHOR BAHRU – Kesengsaraan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terpaksa menanggung pedih didera dipercayai oleh ibu tirinya sejak tiga bulan lalu berakhir dengan tragedi apabila dia disahkan mati di Kampung Sungai Tiram di sini kelmarin.Lebih memilukan, kematian Nur Dania Qistina Nurafizan didakwa cuba disembunyikan oleh bapanya yang menghubungi bekas isterinya, Nur Aquilla Razali, 27, mengatakan mangsa mati kerana lemas selepas tertonggeng di dalam baldi di bilik air.
Lelaki itu yang cemas sebaik melihat anaknya tidak bernafas kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada pukul 8.25 pagi sebelum Nur Dania Qistina disahkan mati 35 minit kemudian.
Namun, bedah siasat mendapati terdapat 73 kesan lebam di seluruh badan Nur Dania termasuk muka, kaki dan badan dipercayai dipukul dengan benda keras atau tangan.
Difahamkan, Nur Dania Qistina bersama kakak, Nur Dania Batrisyah, 5, dan adiknya, Danish Irsyad, 1, dibawa tinggal bersama bapa dan ibu tirinya sejak tiga bulan lalu. Sebelum ini ketiga-tiga beradik itu menetap di rumah datuknya, Razali Ismail, 56, di Mersing, Johor.

Friday, January 7, 2011

Nasib manusia Siapa Tahu.....


Pengemis bersuara emas ditawar jadi pelakon
DUA hos Meredith Vieira (kiri) dan Matt Lauer (tengah) mewawancara Ted Williams dalam program televisyen Today di New York kelmarin.

NEW YORK - Pengemis memiliki suara emas, Ted Williams kini ditawarkan untuk berlakon dalam filem terbitan pelakon dan pengarah terkenal, Jack Nicholson, lapor Entertainment Tonight kelmarin.Tawaran itu adalah yang terbaru selepas dia tiba-tiba menjadi popular di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat banyak tawaran untuk menggunakan suara emasnya dengan bayaran lumayan selepas satu klip video menunjukkan dia mengemis disiarkan di Internet.

Nasib Williams yang berusia 53 tahun itu berubah serta-merta selepas seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch merakamkan gelagat pengemis itu bercakap meminta bantuan dengan menggunakan suara emasnya di tepi jalan di Houston Street, Columbus, Ohio. Jurugambar itu kemudian menyebarkan rakamannya itu di Internet.Semasa rakaman itu, pengemis itu meminta bantuan kewangan dengan tangannya memegang cebisan kotak mengandungi ayat yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas juruhebah radio.
Dia kemudian bercakap seperti aksi deejay radio.

Williams kini menimbangkan tawaran untuk menjadi penyumbang suara bagi memberitahu perkembangan pasukan bola keranjang Cleveland Cavaliers dalam liga Bola Keranjang Nasional (NBA).Dia juga ditawarkan untuk merakamkan iklan Kraft Macaroni & Cheese yang akan disiarkan di saluran Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN) semasa perlawanan Fight Hunger Bowl pada perlawanan akan datang.Ekoran penemuan pengemis bersuara emas itu, seorang ejen pencari bakat, Shane Cormier berkata, dia boleh menjadikan Williams jutawan kerana keunikan suaranya.Menyentuh mengenai tawaran terbaru dalam bidang lakonan, Williams berkata: "Jack Nicholson telah menghubungi seorang ahli keluarga saya yang kebetulan berada di Columbus, Ohio. Mereka akan menerbitkan sebuah filem dengan Jack memainkan watak sebagai seorang deejay. Dia mahu saya berlakon bersamanya," kata Williams.Berita tersebut didedahkan selepas Williams bertemu semula dengan ibunya, Julia Williams di New York untuk pertama kali selepas 20 tahun.

Dalam pertemuan yang penuh emosi itu, Julia yang berusia 90 tahun berkata: "Anak saya yang suka membazir akhirnya pulang ke rumah."Pengemis itu turut berkata: "Saya sudah sampai di rumah. Saya pernah beritahu akan pulang pada tahun ini. Saya tidak kelihatan hebat. Tetapi saya sudah ada di rumah," kata Williams.Kelmarin, dia merakamkan suaranya untuk program promosi penjenamaan terbitan stesen televisyen MSNBC.Dia tinggal di jalanan pada 1993 selepas kehidupannya musnah akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol.Beberapa hari lalu, dia hidup di dalam sebuah khemah di tepi lebuh raya di Columbus.Sebelum menjadi terkenal disebabkan klip video selama 90 saat di Twitter dan YouTube, Williams pernah ditahan di beberapa buah lokap di Ohio atas dakwaan jenayah seperti mencuri dan memiliki dadah.Semasa diwawancara dalam rancangan televisyen Today, kelmarin, dia mengaku terlibat dalam jenayah untuk memenuhi keperluan ketagihan dadahnya.Williams pernah menjadi juruhebah radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.Namun, dia kini tidak lagi mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun.

Williams turut menyuarakan perasaan terkejutnya apabila banyak pihak memberi perhatian terhadapnya semasa dia muncul dalam program Today terbitan stesen televisyen NBC itu di New York."Amat memeranjatkan. Ia merupakan fenomena dan tidak mungkin saya pernah bayangkan semua perkara ini akan berlaku. Saya rasa seperti Susan Boyle atau Justin Bieber," katanya yang dipetik daripada akhbar Columbus Dispatch.
Susan Boyle, 49, menjadi terkenal di dunia kerana suaranya yang merdu semasa menyertai pertandingan bakat nyanyian Britain's Got Talent pada 2009.Justin Bieber pula menjadi penyanyi amat popular masa kini walaupun dia kini berusia 16 tahun.

Mengulas mengenai pengajaran yang didapati semasa melayan golongan yang tidak berumah Williams berkata: "Jangan menilai manusia secara luarannya. Semua orang mempunyai kisah tersendiri." - Agensi

Lagi Burung Mati...


8,000 burung merpati jatuh dari langit
SEBAHAGIAN burung merpati yang jatuh dari langit di bandar Faenza, Itali pada Rabu lalu.

FAENZA - Kematian haiwan secara besar-besaran berlaku lagi tetapi kali ini melibatkan 8,000 ekor burung merpati di bandar ini yang terletak di Itali, lapor sebuah akhbar semalam.Burung itu dipercayai mati disebabkan keracunan atau kekurangan oksigen selain cuaca sejuk.

Haiwan itu jatuh ke tanah dan di atas bumbung rumah serta kereta pada Rabu lalu.
Penduduk di sini menyatakan, bangkai burung merpati itu mempunyai tompok biru pada paruhnya yang dipercayai pakar-pakar sebagai tanda hipoksia atau kekurangan oksigen.
"Burung-burung merpati itu jatuh dari langit satu demi satu dan kemudian dalam kumpulan 10 atau 20 ekor serentak," kata seorang penduduk tempatan.Keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti punca kematian burung-burung merpati itu hanya akan diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.Insiden terbaru itu berlaku selepas dua juta ikan ditemui mati di Teluk Chesapeake, Maryland, Amerika Syarikat (AS) beberapa hari lalu.

Pakar-pakar percaya ikan-ikan itu mati akibat tertekan cuaca sejuk dan pembiakan berlebihan.Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan insiden kematian besar-besaran haiwan berlaku di seluruh dunia yang antara lain melibatkan 40,000 ekor ketam setan merah mati di Kent, Britain pada Rabu lalu.Di AS, beribu-ribu ekor bangkai ikan ditemui terapung di sungai Spruce, bandar Port Orange, Florida pada Selasa lepas.

Pada Selasa lalu juga beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di perairan New Zealand dengan 50 ekor burung ditemui mati di sebatang jalan raya di bandar Falkoping, Sweden manakala 200 ekor burung ditemui mati di sebuah lebuh raya di Texas, AS .Di Brazil pula, sebanyak 100 tan metrik ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama telah ditemui di pesisir pantai Parana. - Agensi

Thursday, January 6, 2011

Pencuri Kabel yg Parah.


Dua pencuri kabel dibelasah
Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

DUA pemuda yang cedera dibelasah penduduk kerana mencuri kabel telefon di Kampung Mentera, Binjai semalam.

KOTA BHARU – Angkara mencari wang cara mudah, dua daripada tiga sahabat cedera teruk dibelasah penduduk kampung ketika mereka leka mencuri kabel pada tiang Telekom Malaysia (TM) di Kampung Mentera, Binjai dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 18 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan selepas mereka mengalami luka-luka di kepala dan badan ekoran dibelasah lebih lima penduduk kampung.

Namun, seorang rakan suspek sempat melarikan diri.

Kejadian mencuri kabel pada tiang telefon itu pada mulanya disedari oleh seorang penduduk kampung selepas dia ternampak dua lelaki sedang memanjat tiang manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta.

Tuesday, January 4, 2011

Aneh...burung mati jatuh dari langit..


Misteri ikan, burung mati di Arkansas
SEPASANG suami isteri melihat seekor burung hitam yang jatuh dari langit dan mati di bandar Beebe, Arkansas pada Sabtu lalu.
BEEBE - Misteri menghantui negeri Arkansas apabila lebih 100,000 ekor ikan ditemui mati di sepanjang 32 kilometer tebing dan di permukaan Sungai Arkansas berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe, di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan-ikan tersebut ditemui oleh seorang pemandu bot tunda pada Khamis lalu, 200 kilometer dari Beebe. Pakar alam sekitar percaya bahawa ikan-ikan itu mati akibat penyakit.

"Hanya satu spesies ikan yang mati dan kami tidak tahu apa puncanya. Jika disebabkan toksik, semua ikan mesti terjejas," kata seorang pegawai dari Jabatan Kualiti Alam Sekitar, Travis Harmon.Pegawai-pegawai perikanan mengambil beberapa ekor ikan yang mati berhampiran Roseville untuk diuji.Jurucakap Suruhanjaya Perikanan dan Sukan Arkansas, Keith Stephens memberitahu, masalah kematian ikan berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang luar biasa.
Seorang pakar, Dr. Andrew Goodwin dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur, Universiti Arkansas menyatakan perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka."Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.Kematian itu berlaku selepas hampir 5,000 ekor burung hitam jatuh dari langit dan mati, 1.6 kilometer dari bandar Beebe pada malam tahun baru. Insiden pelik yang kelihatan tidak mempunyai hubungan di antara satu sama lain itu nyata membingungkan penduduk Arkansas.

Para saintis menyatakan bunga api mungkin menyebabkan kematian burung itu. Namun, beberapa pegawai yang memeriksa burung itu menyatakan mereka masih belum pasti mengenai punca kematian haiwan tersebut.

Satu lagi teori ialah ribut petir mungkin dikatakan menjadi punca kematian burung-burung itu.

Insiden misteri itu nyata menimbulkan banyak teori dalam kalangan blogger.

Dua rakyat AS, Paul Joseph Watson dan Alex Jones dari laman web PrisonPlanet.com yakin ia disebabkan oleh ujian senjata elektromagnetik rahsia.

Sementara itu, pihak lain mengemukakan teori bahawa kematian burung dan ikan tersebut merupakan petanda hari kiamat berdasarkan ramalan suku kaum Maya di Amerika Selatan dan ahli nujum terkenal, Nostradamus. - Agensi
Related Posts with Thumbnails