Saturday, July 30, 2011

Sotong Hidup Jadi Hidangan


Kecoh hidangan sotong menari

HIDANGAN sotong menari di Jepun.

TOKYO - Klip video menunjukkan sotong menari di dalam pinggan semasa dihidangkan kepada pelanggan di restoran-restoran Jepun mencetuskan kemarahan di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Ramai pengguna yang menonton klip video berkenaan di laman perkongsian video YouTube berang kerana percaya haiwan tersebut dimakan hidup-hidup.

Bagaimanapun, seorang pengusaha restoran memberitahu, aksi luar biasa itu berpunca daripada perbuatan menitikkan sos kacang soya ke atas sesungut sotong yang baru mati.

Bahan kimia sodium dalam sos berkenaan mencetuskan kejutan elektrik pada sel-sel sotong yang belum mati yang menyebabkan sotong itu menggelupur atau kelihatan seperti sedang menari.

Setakat ini, klip video berkenaan yang dirakam oleh seorang pelancong di Hokkaido, Jepun telah ditonton sebanyak sejuta kali. - Agensi

Tuesday, July 26, 2011

Akibat Bersih...

Sakit jantung punca Baharudin mati - Polis
10/07/2011 6:44pm - harian kosmo

KUALA LUMPUR 10 Julai — Polis mengesahkan kematian seorang pemandu teksi berusia 59 tahun yang menyertai perhimpuan haram di kawasan KLCC semalam adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, polis menafikan bahawa kematian Baharudin Ahmad berpunca daripada sebarang tindakan mereka.

"Kematian ada tetapi kematian itu tidak ada kaitan dengan tindakan yang diambil polis dan sebagainya, doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada komplikasi jantung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Amar Singh juga memberitahu, usaha untuk menyelamatkan nyawa Baharudin telah dilakukan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur namun pada pukul 5.30 petang, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

"Semasa bedah siasat malam tadi pada pukul 11.30 malam oleh pakar perubatan yang berkhidmat bernama Khairul, semasa siasatan mereka mendapati tidak ada kecederaan luar, tidak ada kecederaan atau apa sahaja kcederaan dalaman,” kata beliau. — Bernama

Jari Tumbuh...melebihi syarat


Budak lelaki ada 34 jari pecah rekod

GAMBAR menunjukkan Akshat Saxena yang mempunyai tujuh jari pada setiap tangan dan 10 jari di setiap kakinya.

NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.

Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.

Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut.

"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.

"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.

Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.

Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki.

Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.

Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu.

Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi

Tuesday, July 12, 2011

Berjalan kaki beribu kilometer utk..cinta.


Berjalan 1,609km untuk melamar kekasih

LIU PEIWEN sanggup berjalan kaki sejauh 1,609 kilometer bermula dari wilayah Henan, baru-baru ini ke rumah kekasihnya di Guangdong semata-mata untuk melamarnya.

BEIJING - Seorang pemuda, Liu Peiwen sanggup berjalan sejauh 1,609 kilometer (km) untuk melamar kekasihnya, Ling Hsueh, lapor sebuah akhbar semalam.

Peiwen, 29, mula berjalan kaki dari wilayah Henan ke rumah kekasihnnya yang berusia 23 tahun di wilayah Guangdong di tenggara China baru-baru ini.

Kekasih Peiwen itu berkata, dia cuma bergurau semasa menetapkan syarat untuk melamarnya iaitu berjalan kaki.

Wanita itu membuat permintaan berjalan kaki itu berdasarkan lagu band dari Scotland, Proclaimers yang berjudul 500 Miles.

Dalam lirik lagu itu dinyatakan seorang lelaki sanggup berjalan sehingga 1,609km untuk berada di pintu depan rumah kekasihnya.

"Dia seorang yang gila. Saya akan tetap berkahwin dengannya dan hanya bergurau semasa saya menyatakan dia perlu berjalan kaki sejauh 1,609km.

"Dia sudah pun berjalan kaki semasa saya sedar mengenai tindakannya itu," katanya.

Namun Peiwen berkata: "Apabila saya tiba, saya berharap dia akan menunggu saya dan saya akan melamarnya sekali lagi dan saya berharap dia akan menyatakan ya," kata Peiwen.

Berjalan kaki sejauh 1,609km itu mungkin mengambil masa selama enam minggu.

"Saya suka berjalan dan mahu melihat negara ini tetapi cinta saya merupakan desakan terakhir yang menyebabkan saya perlu lakukan," kata pemuda itu. - Agensi

Wednesday, June 29, 2011

Gigit Isteri....

Dituduh gigit kemaluan isteri
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
KUANTAN - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggigit kemaluan wanita itu yang enggan mengadakan hubungan seks pada April lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Shakri Ismail, 28, dari Felda Bukit Goh di sini membuat pengakuan tidak bersalah atas dakwaan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Shakri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Roshapida Mat Sidik, 23, dengan menggigit kemaluan mangsa untuk mengadakan persetubuhan antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 3.30 pagi pada 21 April lalu di sebuah rumah di Felda Bukit Goh di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Terdahulu, selepas kertas pertuduhan dibacakan tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melakukan perbuatan itu dan mempersoalkan tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Saya tidak mencederakan dia," kata Mohd. Shakri.

Mendengar kata-kata tertuduh itu, Noradidah menyoal semula Mohd. Shakri dengan berkata:

"Jika kamu tidak melakukan perbuatan itu mengapa ada kesan gigitan pada mangsa."

Kata-kata hakim itu menyebabkan tertuduh terus mendiamkan diri sebelum mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Saturday, May 14, 2011

AKIBAT dari Persengketaan sesama sendiri....

11 imam dibunuh kejam

BREGA - Kekejaman kuasa Barat terbukti apabila sekurang-kurangnya 11 orang imam dibunuh semasa sedang tidur dalam satu serangan udara oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Brega, Libya, kelmarin.

Jurucakap kerajaan Libya, Moussa Ibrahim berkata, kesemua imam yang terbunuh adalah sebahagian daripada kumpulan imam-imam Libya yang berkumpul di bandar itu untuk menunaikan solat meminta keamanan di negara yang sedang bergolak itu.

Namun hasrat mereka tidak kesampaian apabila dibunuh dalam serangan ganas Nato yang menyasarkan tempat awam dan bukannya kemudahan tentera seperti yang didakwa sebelum ini.

Kesemua mereka selamat dikebumikan di Brega, semalam.

Selain itu, 50 orang awam yang lain turut cedera dalam serangan Nato itu yang jelas disasarkan ke rumah tumpangan yang menjadi tempat penginapan kumpulan imam tersebut.
Menurut pegawai perubatan, jumlah kematian dijangka meningkat kerana mangsa yang cedera parah dalam serangan itu berada dalam keadaan kritikal.

Nato mengakui melancarkan serangan di Brega, bandar yang terletak kira-kira 800 kilometer di timur Tripoli tetapi tanpa rasa bersalah menegaskan kononnya rumah tumpangan itu adalah pusat kawalan dan arahan.

“Kami sedar terdapat dakwaan ada orang awam terbunuh dalam serangan ini. Kami kesal sebarang kehilangan nyawa jika benar apa yang didakwa,” menurut Nato.

Nato sejak akhir-akhir ini mempertingkatkan serangan udara di beberapa kawasan di Libya yang didakwa sebagai pusat ketenteraan Gaddafi, termasuk serangan di kediamannya di Tripoli.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu mencabuli mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang hanya membenarkan zon larangan terbang diwujudkan kononnya untuk melindungi rakyat Libya daripada serangan tentera Gaddafi.

Sunday, May 8, 2011

Internet Membawa kanak2 Lalai...


Bapa seret anak yang berbogel

LU TAN menyeret anak lelakinya dalam keadaan bogel di bandar Hechi, China baru-baru ini.

HECHI, China - Seorang bapa, Lu Tan menyeret seorang anak lelakinya keluar dari sebuah kafe Internet di sini selepas membogelkannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia menyerbu kafe Internet itu baru-baru ini dan menyeret anaknya di hadapan rakan-rakannya.

Seorang saksi berkata: "Dia (Tan) memukul budak itu yang menangis meminta belas kasihan. Namun, bapa budak itu mahu memberitahu semua orang bahawa anaknya tidak berguna dan menyeretnya ke rumah setelah membogelkan dia dengan kedua-dua tangannya diikat."

Dia menyatakan beberapa anggota polis tidak bertindak campur tangan walaupun selepas mereka dihubungi untuk membantu budak tersebut.

Saksi itu menjelaskan bahawa budak berkenaan didakwa mencuri wang untuk digunakan bagi melayari Internet.

Tan berkata, dia bertindak memukulnya kerana tidak mahu kehidupan dia dirosakkan oleh Internet.

Menurutnya, ibu budak itu meninggal dunia semasa dia berumur sembilan bulan.

"Saya sudah membesarkannya. Saya bekerja keras untuk membiayai keluarga," kata Tan. - Agensi
Related Posts with Thumbnails