Korban khalwat
Oleh Mohd Amin Jalil dan Nor Aziah Othmanam@hmetro.com.my
PORT DICKSON: Akibat terlalu panik, seorang gadis yang terkejut dan terlalu takut ditangkap basah oleh pegawai penguat kuasa agama, maut selepas bertarung nyawa selama 10 jam akibat terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel bajet di Teluk Kemang, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang memakai baju-T dan kain, dipercayai terjatuh dari tembok tingkap di bilik berkenaan sebelum kepalanya dipercayai terhempas pada bucu longkang menyebabkannya cedera parah.
Sebelum itu, mangsa berusia 20-an yang dipercayai bekerja di sebuah institusi kewangan di Lembah Klang, dipercayai datang ke bandar pelancongan ini bersama pasangan lelakinya berusia 30-an sebelum menginap di hotel terbabit.
Berikutan kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) Seremban, tetapi disahkan meninggal dunia jam 3 petang hari sama.
Menurutnya, sebelum itu, pegawai penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan selama 10 minit sebelum seorang gadis membuka pintu dan mangsa mempamerkan riak wajah terkejut apabila pegawai terbabit menunjukkan kad kuasa untuk melakukan pemeriksaan.
“Secara tiba-tiba gadis itu terus berlari ke dalam bilik lalu memanjat tingkap, tetapi dia (mangsa) hilang imbangan ketika berdiri di tembok birai tingkap berikutan hotel terbabit tidak mempunyai balkoni lalu jatuh.
“Gadis berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bawah hotel apabila kepalanya dipercayai terhantuk pada longkang, manakala pasangan lelakinya ditemui berada di atas katil dalam bilik yang diperiksa itu.
“Pegawai penguat kuasa yang menyedari kejadian itu menghubungi pihak polis dan HPD bagi mendapatkan bantuan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital berkenaan dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, mangsa terpaksa dirujuk ke HTJS jam 5 pagi kerana mengalami kecederaan serius di kepala dan anggota badan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, gadis itu, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang selepas 10 jam bertarung nyawa dan jenazahnya dituntut ahli keluarganya pada hari sama bagi urusan pengebumian.
Katanya, pasangan lelakinya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana kesalahan berkhalwat, yang mana sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Sementara itu, Pemangku Pengarah JHEAINS, Selamat Paigo, ketika dihubungi semalam, mengesahkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa, tetapi enggan mengulas lanjut kerana insiden itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman, pula gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung kejadian itu.
MySpace Layouts
No comments:
Post a Comment