Friday, July 31, 2009

Lagak Pemimpim Kita Kini.




Sah Nik Aziz seorang 'tok guru politik'

KOTA BHARU 28 Julai - Kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat tetapi menolak kerjasama dengan UMNO mengesahkan bahawa beliau adalah seorang 'tok guru politik'.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, ia juga jelas menunjukkan Nik Abdul Aziz hanya mementingkan politik berbanding perpaduan ummah.

Beliau berkata, jika alasan Perlembagaan yang menjadi ukuran, Kerajaan Pusat telah lama menunaikannya malah turut memberikan 'bonus' kepada Kelantan.

''Kenyataan terbaru ini menunjukkan Nik Abdul Aziz tak boleh pakai lagi sebab terlalu retorik dan lebih mementingkan politik daripada perpaduan ummah, politik lebih daripada segala-galanya.

''Hubungan Kerajaan Pusat dengan negeri sudah lama baik, yang wajib (peruntukan) sudah dapat, yang sunat pun dah diberi seperti soft loan. Jika tidak, Kelantan tidak akan berada seperti hari ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menjelaskan 'salam' yang dihulurkan adalah hanya untuk hubungan di antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat tanpa melibatkan Pas dan UMNO.

Mursyidul Am Pas itu juga mengeluarkan kenyataan keras untuk menegakkan pendiriannya menolak sebarang kerjasama dengan UMNO apabila menyatakan: ''Pergi jahanamlah UMNO''.

Alwi yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri berkata, Nik Abdul Aziz tidak memahami peraturan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri.

''Beliau tidak faham peraturan kerajaan sebab itu dia ingat duit semua kena bagi dekat kerajaan negeri, cuma ada kaedah ada saluran.

''Kerajaan negeri ada saluran, tak boleh tukar kaedah. Sama saja di seluruh negara contohnya di Sabah dan Terengganu ada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) selepas kita menang.

''Negeri lain kita perintah ada juga, cumanya tidak dipanggil JPP, ia diketuai oleh Pegawai Kemajuan Negeri yang datang dari Jabatan Perdana Menteri juga,'' katanya.

Menurutnya, Nik Abdul Aziz hanya berselindung di sebalik watak dan pakaiannya manakala wajah sebenarnya tidak nampak.

Mengulas perkataan jahanam yang digunakan, Alwi berkata, ia sepatutnya dilemparkan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

''Jahanam adalah sebenarnya neraka untuk orang kafir, Karpal Singh yang patut jahanam sebab dia kata langkah mayatnya dulu sebelum tubuh negara Islam, UMNO tidak pernah menentang Islam.

''Pokoknya Nik Abdul Aziz tidak boleh pakai selepas ini, saya tak nak komen lagi, buang masa, saya hanya berdoa dan memohon agar dia mendapat taufik dan hidayah,'' katanya.

Thursday, July 30, 2009

Beware Of The H1N1



Selesema babi semakin bahaya

SEKUMPULAN pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) Indera Mahkota, Kuantan mendengar penerangan jururawat mengenai H1N1 selepas kampus mereka ditutup semalam.

PUTRAJAYA - Wabak selesema babi atau H1N1 semakin menunjukkan impak yang mencemaskan dengan satu lagi korban dilaporkan menjadikan empat kematian H1N1 dicatatkan setakat ini. Sementara itu, tindakan pencegahan pula menyaksikan 19 lagi institusi diarah ditutup mulai semalam.

Arahan penutupan itu turut membabitkan institusi besar dan ternama seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim selepas empat pelajarnya disahkan dijangkiti H1N1.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob ketika dihubungi semalam melahirkan kebimbangan selepas 30 lagi pelajar sudah mempunyai simptom wabak dan kini cemas menunggu hasil ujian.

"Kita terpaksa menutup kampus selama seminggu dan mengarahkan kesemua 15,000 pelajar mengosongkan asrama sampai 5 Ogos ini," katanya.

Di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican menjelaskan, korban terbaru wabak itu ialah seorang wanita berusia 20 tahun di Melaka kelmarin.

Beliau mengakui perkembangan wabak itu sudah mencapai tahap membimbangkan.

Tuesday, July 28, 2009

Negara Demokrasi Boleh Buat Apa Saja.


Pewaris hulur tangan rundingan...

Jimadie Shah Othman
Jul 28, 09
12:21pm

Kumpulan pendokong Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) hari ini menyatakan kesediaan mereka untuk berunding dengan pihak yang menentang akta itu bagi mengelakkan pertembungan dalam demonstrasi besar kedua pihak Sabtu ini.

"Terpulanglah kepada mereka (anti-ISA). Kita sentiasa membuka pintu untuk berunding," kata Timbalan Presiden II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun kepada Malaysiakini pagi ini.

Beliau diminta mengulas kesediaan Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut tentang aspek yang sedia dibincangkannya, Rahimuddin berkata, Pewaris bersedia membatalkan demonstrasi mereka sekiranya GMI juga bersedia berbuat demikian.

"Kerajaan sedang kaji, kita belum tahu hasilnya. (Jadi,) piket buat apa? Kalau kerajaan boleh mansuhkan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (P PSMI), kenapa kali ini tidak sabar (tunggu keputusan)," katanya.

Bagaimanapun, Rahimuddin menolak sebarang perbincangan sekiranya itu bertujuan meminta Pewaris mengubah laluan demonstrasinya.

"Kata kebebasan untuk semua, orang yang sokong (dasar) kerajaan juga patut dibenarkan (berhimpun)," katanya.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI merancang bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara - dengan berpakaian hitam dan merah - sebelum bergerak ke Istana Negara.

Sementara penyokong ISA berhimpun di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum kesemuanya bergerak ke Dataran Merdeka dan seterusnya ke Istana Negara.

Sunday, July 26, 2009

Lebih Tenaga...

Syaitan tiduri isteri



KUALA LUMPUR: Mengadakan hubungan seks dua atau tiga kali sehari di kalangan pasangan suami isteri adalah normal, tetapi jika belasan kali dalam satu malam pastinya bukan dilakukan oleh lelaki biasa.

Tokoh agama, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, berkata jika seseorang bersahabat dengan syaitan, tidak mustahil mereka mampu melakukan hubungan batin hingga belasan kali dalam semalaman saja.

“Amalan bersahabat dengan syaitan masih berlaku dan tidak mustahil jika makhluk dilaknat Allah SWT itu turut melakukan hubungan tubuh dengan isteri kepada lelaki yang menjadi sahabatnya.

“Ini boleh berlaku kerana syaitan mampu menjelma menyerupai lelaki terbabit dan mengambil kesempatan untuk melakukan hubungan tubuh dengan si isteri,” katanya.

Menurut beliau, kerana itu, bersahabat dengan syaitan adalah dosa besar dan ditegah sama sekali daripada melakukannya.

Ini kerana hanya keburukan yang bakal diterima manusia, sedangkan makhluk laknat itu hanya mengambil kesempatan atas kelemahan iman individu berkaitan.

“Jika setakat dua atau tiga kali sehari, ia adalah biasa bagi seseorang suami yang mempunyai keinginan batin tinggi.

“Bagaimanapun, jika sudah terlampau, memang bukan suami yang mahukannya, sebaliknya syaitan yang dijadikan sahabat,” katanya.

Beliau berkata, si isteri dibolehkan menuntut fasakh jika tidak tahan diperlakukan sedemikian.

“Ia bagi memastikan keadilan untuk si isteri, selain menghilangkan kemudaratan daripada ditimpa musibah,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga kes suami mempunyai keinginan batin yang kuat tetapi tidak terlampau hingga belasan kali sehari.

Jika ini berlaku, katanya, si isteri perlu melayan kehendak suami tetapi jika tidak sanggup lagi, diharuskan untuk berpoligami.

Ini satu daripada sebab kenapa perlu berpoligami. Isteri tahu mana satu keinginan batin yang kuat atau kekuatan batin luar biasa.

Beliau turut menasihatkan umat Islam yang masih bersahabat dengan syaitan supaya segera meninggalkannya kerana ia bukan saja ditegah agama, malah mendatangkan dosa besar.

“Yakinlah kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang berkuasa dan bukan syaitan,” katanya.

Pengarah Filem Sepet Meninggal.


Yasmin meninggal dunia.
Kembali ke rahmatullah 3 hari selepas diserang angin ahmar


KUALA LUMPUR - Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad (gambar) yang mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak sejak Khamis lepas meninggal dunia malam tadi.

Yasmin, 51, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya selepas tiga hari berada dalam koma setelah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.

Yasmin yang terkenal sebagai pengarah filem Sepet, Gubra dan Talentime rebah secara tiba-tiba semasa bermesyuarat bersama penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa serta beberapa kakitangan Media Prima di Sri Pentas, TV3, sekitar pukul 3 petang Khamis lalu.

Beberapa jam sebelum itu, adik iparnya, Datuk Dr. Zakaria Zahari memberitahu media, Yasmin masih menerima bantuan alat sokongan hayat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pakar Damansara.

Friday, July 24, 2009

Peperangan semakin Dekat..siapa untung?

GMI: 1,000 petugas PAS kawal demo anti-ISA

Jimadie Shah Othman
Jul 24, 09
7:14pm

Seribu petugas Unit Amal PAS akan dikerahkan 1 Ogos ini bagi mengawal keselamatan peserta demonstrasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar tidak bertembung dengan kumpulan penyokong akta tersebut.

"Bagi saya, kita sama-sama bertanggungjawab. Kita sudah bincang cara mengawal disiplin (peserta kita).

"Kawalan Unit Amal seramai seribu orang telah dikerah untuk mengawal (aspek) keselamatan sahaja," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau diminta mengulas pendekatan keselamatan GMI, sebagai penganjur, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan ribuan pendukung ISA yang dikepalai oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

GMI juga akan mengeluarkan panduan kepada peserta Himpunan MANSUH beberapa hari lagi supaya bersedia menghadapi sebarang provokosi yang mungkin timbul pada hari tersebut, tambahnya.

"Kita juga minta kerjasama polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam bagi memantau perhimpunan ini.

"Kita mesti bertanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing. Kalau di pihak mereka (Pewaris) juga, merekalah yang kena bertanggungjawab," kata Syed Ibrahim kepada Malaysiakini.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, yang tentang kemungkinan timbul huru-hara, beliau berkata:

"Kita tidak boleh kata huru-hara. Persoalan sebenarnya, apa motif mereka (kumpulan pro-ISA) mahu berhimpun pada masa itu juga?"

Demonstrasi serentak dua kumpulan berlawanan pendirian itu dibimbang boleh "menimbulkan huru-hara".

"Bila GMI dan Pewaris – dua kumpulan yang berbeza pendirian mengenai ISA – mengadakan perarakan pada masa dan hari yang sama, mungkin akan berlaku huru-hara," kata Ibrahim kepada Malaysiakini.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.

Thursday, July 23, 2009

Samseng Tak Kena Tempat.

Libas pedang samurai
Oleh Hadzlan Hassan dan Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Berang kerana ditegur, seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi awam sanggup bertindak biadab apabila melibas pedang samurai kepada seorang warga emas di Lorong Kubur Jalan Panji Alam, di sini, kelmarin.

Tindakan lelaki itu menyebabkan mangsa, Ngah Ismail, 63, seorang guru silat, terpaksa menerima empat jahitan di tangan kanan apabila cuba menepis mata pedang berkenaan daripada terkena badannya.

Ngah ketika ditemui berkata, dia bernasib baik kerana ilmu silat yang dipelajari ketika remaja membolehkannya bertindak tangkas bagi menangkis serangan lelaki terbabit.

“Sebenarnya, saya menghampirinya untuk memberi teguran secara baik kerana tindakannya meletakkan kereta di jalan yang sempit mengundang kesulitan kepada orang lain. Maklumlah saya ingat dia orang luar.
“Saya memanggil dan memberitahunya yang saya tidak marah, cuma mahu memberitahu jalan sempit dan tindakannya boleh menyebabkan kesesakan dan kesusahan kepada orang lain,” katanya.
Menurutnya, ketika lelaki berkenaan menyerangnya, dia terpaksa mengundur ke belakang sebelum bertindak pantas menangkis serta mencekik leher suspek sebelum senjata berkenaan terlepas daripada genggaman.
“Selepas mematikan langkahnya, saya cuba membuang senjata itu jauh dari kedudukan kami kerana bimbang seorang daripada kami akan cedera tetapi bersyukur apabila sebuah kereta peronda polis tiba tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa, seorang nelayan dari Kampung Kubur Besar, Panji Alam, memandu berseorangan untuk ke laut.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kenderaan suspek menghalang laluannya, mangsa membunyikan hon sebagai isyarat kepada pemilik kereta itu supaya mengalihkan kenderaan yang diletakkan di tengah lorong serta menghalang laluan.
“Tiba-tiba seorang lelaki muncul dan mengalihkan kereta berkenaan lalu meletakkannya berhampiran sebuah kedai sebelum mangsa dan sebuah lagi kenderaan lain melaluinya untuk ke jalan besar.

“Selepas itu, mangsa ke tempat suspek meletakkan kereta lalu menasihatinya tidak meletakkan kereta menghalang laluan kerana jalan kampung itu terlalu sempit,” katanya.

Berang dengan nasihat mangsa itu, suspek tiba-tiba ‘naik angin’ menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum lelaki berkenaan hilang sabar lalu mengeluarkan pedang daripada kereta dan dihayun ke leher mangsa.

“Mangsa cuba menghalang tetapi terkena tangannya menyebabkannya cedera sebelum sebuah kereta peronda tiba di tempat kejadian dan membawa kedua-dua lelaki berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia 24 tahun, kakitangan kerajaan berasal dari Kampung Gong Kepas, Jalan Batangan, Marang dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan kira-kira jam 9 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Related Posts with Thumbnails