Thursday, July 23, 2009

Samseng Tak Kena Tempat.

Libas pedang samurai
Oleh Hadzlan Hassan dan Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Berang kerana ditegur, seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi awam sanggup bertindak biadab apabila melibas pedang samurai kepada seorang warga emas di Lorong Kubur Jalan Panji Alam, di sini, kelmarin.

Tindakan lelaki itu menyebabkan mangsa, Ngah Ismail, 63, seorang guru silat, terpaksa menerima empat jahitan di tangan kanan apabila cuba menepis mata pedang berkenaan daripada terkena badannya.

Ngah ketika ditemui berkata, dia bernasib baik kerana ilmu silat yang dipelajari ketika remaja membolehkannya bertindak tangkas bagi menangkis serangan lelaki terbabit.

“Sebenarnya, saya menghampirinya untuk memberi teguran secara baik kerana tindakannya meletakkan kereta di jalan yang sempit mengundang kesulitan kepada orang lain. Maklumlah saya ingat dia orang luar.
“Saya memanggil dan memberitahunya yang saya tidak marah, cuma mahu memberitahu jalan sempit dan tindakannya boleh menyebabkan kesesakan dan kesusahan kepada orang lain,” katanya.
Menurutnya, ketika lelaki berkenaan menyerangnya, dia terpaksa mengundur ke belakang sebelum bertindak pantas menangkis serta mencekik leher suspek sebelum senjata berkenaan terlepas daripada genggaman.
“Selepas mematikan langkahnya, saya cuba membuang senjata itu jauh dari kedudukan kami kerana bimbang seorang daripada kami akan cedera tetapi bersyukur apabila sebuah kereta peronda polis tiba tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa, seorang nelayan dari Kampung Kubur Besar, Panji Alam, memandu berseorangan untuk ke laut.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kenderaan suspek menghalang laluannya, mangsa membunyikan hon sebagai isyarat kepada pemilik kereta itu supaya mengalihkan kenderaan yang diletakkan di tengah lorong serta menghalang laluan.
“Tiba-tiba seorang lelaki muncul dan mengalihkan kereta berkenaan lalu meletakkannya berhampiran sebuah kedai sebelum mangsa dan sebuah lagi kenderaan lain melaluinya untuk ke jalan besar.

“Selepas itu, mangsa ke tempat suspek meletakkan kereta lalu menasihatinya tidak meletakkan kereta menghalang laluan kerana jalan kampung itu terlalu sempit,” katanya.

Berang dengan nasihat mangsa itu, suspek tiba-tiba ‘naik angin’ menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum lelaki berkenaan hilang sabar lalu mengeluarkan pedang daripada kereta dan dihayun ke leher mangsa.

“Mangsa cuba menghalang tetapi terkena tangannya menyebabkannya cedera sebelum sebuah kereta peronda tiba di tempat kejadian dan membawa kedua-dua lelaki berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia 24 tahun, kakitangan kerajaan berasal dari Kampung Gong Kepas, Jalan Batangan, Marang dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan kira-kira jam 9 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

1 comment:

  1. perghh...
    ganas giler
    kerja kt ipta tapi pemikiran kureng

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails