Friday, July 24, 2009

Peperangan semakin Dekat..siapa untung?

GMI: 1,000 petugas PAS kawal demo anti-ISA

Jimadie Shah Othman
Jul 24, 09
7:14pm

Seribu petugas Unit Amal PAS akan dikerahkan 1 Ogos ini bagi mengawal keselamatan peserta demonstrasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar tidak bertembung dengan kumpulan penyokong akta tersebut.

"Bagi saya, kita sama-sama bertanggungjawab. Kita sudah bincang cara mengawal disiplin (peserta kita).

"Kawalan Unit Amal seramai seribu orang telah dikerah untuk mengawal (aspek) keselamatan sahaja," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau diminta mengulas pendekatan keselamatan GMI, sebagai penganjur, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan ribuan pendukung ISA yang dikepalai oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

GMI juga akan mengeluarkan panduan kepada peserta Himpunan MANSUH beberapa hari lagi supaya bersedia menghadapi sebarang provokosi yang mungkin timbul pada hari tersebut, tambahnya.

"Kita juga minta kerjasama polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam bagi memantau perhimpunan ini.

"Kita mesti bertanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing. Kalau di pihak mereka (Pewaris) juga, merekalah yang kena bertanggungjawab," kata Syed Ibrahim kepada Malaysiakini.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, yang tentang kemungkinan timbul huru-hara, beliau berkata:

"Kita tidak boleh kata huru-hara. Persoalan sebenarnya, apa motif mereka (kumpulan pro-ISA) mahu berhimpun pada masa itu juga?"

Demonstrasi serentak dua kumpulan berlawanan pendirian itu dibimbang boleh "menimbulkan huru-hara".

"Bila GMI dan Pewaris – dua kumpulan yang berbeza pendirian mengenai ISA – mengadakan perarakan pada masa dan hari yang sama, mungkin akan berlaku huru-hara," kata Ibrahim kepada Malaysiakini.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails