Monday, September 14, 2009

Sejadah Sembahyang...


Lihat sejadah berdiri 8 jam


Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim
@kosmo.com.my

PASIR MAS - Percaya atau tidak, sehelai sejadah bergerak dan berdiri secara tiba-tiba hingga menggemparkan seisi rumah warga emas, Sharifah Nor Syed Agil, 61, di Kampung Tok Sangkut, Repek di sini pagi kelmarin.Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu ketika berdiri kelihatan seolah-olah seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.
Kejadian misteri itu berlaku kira-kira hampir lapan jam sehingga mengundang ramai penduduk kampung ke rumah tersebut untuk menyaksikan keajaiban sejadah itu yang dikatakan berdiri tanpa bantuan sesiapa.

Namun, kejadian pelik itu berakhir apabila sejadah itu kembali menyembah lantai setelah seorang tetamu yang hadir menyentuhnya meskipun telah dilarang.
Menurut Sharifah Nor, kejadian pelik itu disedari oleh anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, yang kebetulan baru saja terjaga daripada tidur di ruang tamu rumah pukul 8.30 pagi ketika dia sedang sibuk membuka kedai runcitnya.
Menyedari sejadah milik ibunya sedang berdiri, perasaan takut mula menyelubungi Mohd. Faizal dan terus memanggil ibunya yang berada di kedai untuk memaklumkan keadaan tersebut.

Sunday, September 13, 2009

Teruja sambut jenazah ibu daripada raya
Oleh IBRAHIM ISA

JOHOR BAHRU: Tiga beradik anak Mariam Johari yang meninggal dunia di Korea Selatan minggu lalu, lebih teruja menunggu ketibaan jenazah ibu mereka untuk disemadikan di kampung halaman berbanding menanti tarikh 1 Syawal.
Ini kerana harapan mereka untuk membawa pulang jenazah ibu yang terpisah sejak lebih 60 tahun itu kembali cerah apabila Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dilaporkan berjaya menghalang jenazah Mariam daripada dibakar kelmarin untuk membolehkannya diterbangkan pulang ke Malaysia.
Jelani Sonni, 72, anak lelaki kandung tunggal Mariam, ketika dihubungi berkata, dia dan Ramlah, 74, dan Jamnah, 67, kini lebih menumpukan kepada persiapan menyambut kepulangan jenazah ibu mereka daripada membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Katanya, sejak mendapat tahu usaha membawa pulang jenazah ibunya menghadapi masalah dan tertangguh akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, dia sekeluarga melalui keadaan suram.

“Namun semalam (kelmarin) akhbar melaporkan jenazah ibu berjaya dihalang daripada dibakar dan disahkan akan dibawa pulang ke Malaysia. Berita itu menggembirakan kami.
“Kami kini lebih menumpukan persiapan untuk menyempurnakan jenazah ibu di Tanah Perkuburan Islam Kota Makam, di sini, berbanding membuat persiapan untuk menyambut hari raya,” katanya ketika dihubungi.
Jenazah Mariam, wanita Melayu yang terkandas di Korea Selatan selama 63 tahun dan meninggal dunia Ahad lalu, nyaris dibakar buat kali kedua kelmarin apabila pelbagai urusan membawa pulang disahkan Kedutaan Malaysia di Korea Selatan, kira-kira sejam sebelum upacara pembakaran mayat dilakukan.
Berikutan itu, rombongan membawa jenazah wanita itu yang dalam perjalanan ke rumah pembakaran mayat membuat pusingan U dan kembali ke Hospital New Best, Seoul sebelum urusan mengawet mayat dilakukan untuk penerbangan ke Malaysia dijangka Rabu ini.
Kali pertama jenazah wanita itu nyaris dibakar Selasa lalu, apabila seorang selebriti tampil menanggung kos penghantaran pulang jenazahnya ke negara ini selepas wanita itu meninggal dunia di sebuah rumah penjagaan orang tua di Seoul.
Jelani berkata, dia dimaklumkan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan individu melahirkan kesudian mengeluarkan kos penghantaran jenazah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Tinggi.

“Saya diberitahu oleh ahli keluarga, ada pihak sudi membantu kami membawa pulang jenazah ibu dari KLIA ke Kota Tinggi, tetapi sehingga kini saya belum dapat mengesahkan perkara ini kerana mereka belum menghubungi saya,” katanya.

Tuesday, September 8, 2009

Tindakan Yang Berani dan dicontohi.

Nekad rempuh motor peragut

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


AMPANG JAYA - Tindakan berani seorang lelaki merempuh sebuah motosikal yang dinaiki dua peragut berjaya menahan seorang daripadanya di Bandar Baru Ampang di sini semalam.

Irwan Shah Abd. Lajis (gambar), 29, berkata, kejadian pukul 8 pagi itu berlaku ketika dia dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja di Sentul.

"Ketika membelok ke simpang kiri, saya terdengar bunyi orang menjerit dan nampak seorang lelaki telah memecah cermin kereta sebuah kereta Perodua Kelisa.

"Selepas memecah cermin kereta itu, kedua-dua lelaki tersebut beredar dan keadaan jalan raya ketika itu sesak,'' katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Irwan Shah, dia segera memasuki simpang kiri di hadapan dan sebaik sahaja melihat mereka, dia terus melanggar motosikal peragut terbabit.

Akibatnya, motosikal yang dinaiki bersama isterinya terbalik dan kedua-dua peragut itu terjatuh.

Sunday, September 6, 2009

Anak Melayu Yang Dikenang....

Mati ketika tidur
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: Hasrat Mariam Johari, 88, untuk pulang buat kali terakhir ke Johor bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarganya, tidak kesampaian apabila wanita yang terkandas di Korea Selatan sejak 63 tahun lalu itu, meninggal dunia jam 12.20 tengah malam kelmarin (waktu Malaysia).
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, yang keadaan kesihatannya dilaporkan merosot sejak dua bulan lalu, meninggal dunia ketika tidur di sebuah rumah perlindungan orang tua di bandar raya Seoul.
Wanita warga emas yang pernah menarik perhatian masyarakat Malaysia itu meninggal dunia ketika ditemani anak angkatnya, Ji Yong Un, 53, dan isteri, Shin Sook Hyun, 51, serta penerbit rancangan Love In Asia KBS, Park Keon Young.
Penyelidik Korea Broadcasting System (KBS), Seo Kyu Won, berkata Mariam pernah meluahkan hasrat kembali ke tanah kelahirannya terutama bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarganya yang lama terpisah.

“Tidak beberapa lama sebelum kesihatannya semakin merosot, Mariam meluahkan keinginannya untuk pulang menemui keluarga di Malaysia buat kali terakhir.
“Saya tak tahu dia sedar atau tidak Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelma, namun dia berharap pulang kali terakhir untuk bersama keluarganya di Malaysia walaupun keadaan kesihatannya bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Won bagaimanapun berkata, Mariam disahkan meninggal dunia ketika tidur pada jam 1.20 pagi waktu Korea akibat sakit tua.
Menurutnya, jenazah Mariam kini disimpan di hospital berkenaan selama tiga hari (hingga esok) sementara menunggu keputusan sama ada keluarganya di Malaysia mahu membawa pulang atau sebaliknya.
Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar terbitan kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) menyiarkan kisahnya yang mencari tiga anak kandungnya di Plentong, Johor, pada 23 Jun 2007 menerusi rancangan Love In Asia KBS.
Dia yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, dibesarkan keluarga di Kampung Sungai Tengkorak, Plentong dan bekerja sebagai penoreh getah.

Wanita itu dinikahkan dengan seorang jiran ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala wanita itu dikerahkan menjadi buruh membina sebuah landasan kapal terbang di Senai pada 1943.Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya pulang ke Korea Selatan dengan alasan berkenalan dengan ibu bapanya sebelum pulang ke Tanah Melayu (ketika itu) semula.

Bagaimanapun, Mariam terkandas di Korea Selatan termasuk terpaksa melalui Perang Saudara Korea dari 1950 hingga 1953 dan selepas perang tamat, harapannya untuk pulang ke Tanah Melayu musnah apabila Tanah Melayu bergelar Malaysia.
Namun, hasratnya bertemu semula tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila KBS menerusi rancangan itu membawa Ramlah dan Jelani, serta cucu, Ahmad Onn, 43, dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, bertemu buat kali pertama di studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.
Pertemuan kali pertama selama enam hari itu tidak berakhir di situ apabila Mariam dibawa pulang ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Saturday, September 5, 2009

Ahlam Wassalam Ya Ramadan...masyaallah.

Sekeluarga peluk Islam
Oleh MARZUKI TOGI
am@hmetro.com.my

PONTIAN: Ramadan ini sungguh bermakna bagi Shahmizan Khoo Abdullah, 50, apabila beliau bersama isteri dan tiga anaknya selamat menjalani upacara memeluk Islam di kediamannya di Kampung Pontian Besar, di sini, malam kelmarin.

Majlis itu dianjurkan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Daerah Pontian, Majlis Agama Islam Johor bersama dan Agama Islam Daerah Pontian disempurnakan Imam Satu Masjid Besar Daerah Pontian, Abd Rahman Othman dan turut disaksikan kira-kira 200 orang.

Selain Shahmizan, isterinya, Umi Nurbaiyah Goh, 43, dan ketiga-tiga anak mereka, Muhammad Fahmizan Khoo, 21, Muhammad Helmizan Khoo, 20, dan Nuralisya Fariesha Khoo, 15, masing-masing selamat menjalani majlis itu.
Fahmizan berkata, minatnya terhadap Islam bermula sejak dia berusia 10 tahun berikutan pergaulannya dengan rakan di sekolah rendah yang sebahagian besar beragama Islam, menyebabkan dia sering terikut-ikut.“Bagaimanapun minat itu hanya dalam cita-cita dan saya serta keluarga memendamkan saja. Namun pada Ramadan ini segala-galanya tercapai dan saya bersyukur kerana hasrat saya bukan saja direstui ibu bapa, malah mereka dan adik beradik lain turut serta memeluk Islam.
“Inilah rahmat tidak terhingga dan tidak disangka-sangka. Kami memeluk Islam dengan ikhlas dari hati sendiri dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak... hanya Allah yang mengetahui isi hati kami,” katanya.
Majlis pengislaman itu dimulakan dengan melafazkan Rukun Islam pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadat dan bacaan ikrar.

Friday, September 4, 2009

HITAM PUTIH/black and white



ROSEMERE FERNANDES DE ANDRADE bergambar bersama anak-anaknya di Pernambuco, Brazil baru-baru ini.

OLINDA - Seorang wanita kulit hitam di Brazil, Rosemere Fernandes de Andrade mengejutkan ramai saintis selepas melahirkan tiga orang anak berkulit putih, lapor sebuah akhbar semalam. Seorang profesor genetik dari Universiti Persekutuan Pernambuco, Valdir Balbino berkata, perkara itu jarang berlaku kerana ibu-bapa dan dua adik beradik mereka berkulit hitam. Menurutnya, peluang mendapat seorang anak albino adalah satu dalam empat hanya jika kedua-dua ibu dan bapa merupakan pembawa gen albino.
Keluarga tersebut tinggal di sebuah setinggan di sini, timur laut Brazil. Tiga kanak-kanak itu kerap menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah mereka. Pesakit albino tidak cukup pigmen melanin yang memberi warna gelap pada kulit, rambut dan mata serta melindungi badan daripada sinaran matahari "Saya bimbang mereka dijangkiti barah kulit kerana tiada wang membeli perlindungan yang mereka perlukan," kata ibu berusia 27 tahun itu. Selain itu, dia pernah ditahan seorang pengawal keselamatan sekolah yang menuduh dia cuba menculik tiga anaknya itu kerana perbezaan warna kulit. - Agensi

Wednesday, September 2, 2009

Sedih sungguh....

Tragedi baju raya
Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

GUA MUSANG: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mencuba pakaian baru dibeli bapanya sempena Aidilfitri yang bakal tiba, bertukar tragedi menyayat hati apabila dia mati ditikam bapa saudara sendiri di Kampung Melayu di sini, semalam.

Mohd Adam Azrai Rosman, sedang asyik menunjukkan baju raya sambil menonton televisyen bersama nenek saudaranya di ruang tamu rumah keluarganya sebelum ditikam secara tiba-tiba oleh bapa saudaranya berusia 22 tahun dengan sebilah pisau di rusuk kanan menyebabkan mangsa terus rebah dan menjerit kesakitan.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika mangsa yang terlalu gembira mencuba pakaian rayanya didatangi suspek yang muncul dari dapur lalu terus menikam kanak-kanak itu menyebabkan badannya berlumuran darah.

Lebih menyedihkan, kejadian itu disaksikan sendiri nenek saudara mangsa, Norasma Che Daud, 29, yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan sebelum memeluknya yang meraung kesakitan akibat ditikam.

Dalam keadaan cemas itu, Norasma terus memangku cucu saudaranya itu ke depan rumah sebelum meminta bantuan orang ramai yang kebetulan melalui berhampiran rumah untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, ajal menjemput kanak-kanak tidak berdosa itu apabila disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Menurut Norasma, dia sama sekali tidak menyangka anak saudaranya yang dipercayai penagih dadah, tergamak melakukan perbuatan kejam berkenaan kerana hubungan mereka berdua baik.

Katanya, ketika kejadian, suspek yang demam berada di dapur manakala bapa mangsa, Rosman Mohd Noor, 41, sedang tidur tidak jauh dari tempat kejadian kerana sakit mata.

“Memang saya tak menduga perkara ini berlaku. Ketika itu saya bergurau dengan Mohd Adam sambil menonton televisyen dan mengacah mahu mengambil baju rayanya.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila suspek tiba-tiba datang dan mengeluarkan sebilah pisau sebelum menikam rusuk kanan Mohd Adam menyebabkannya luka parah,” katanya ketika ditemui di HGM di sini, semalam.

Sebelum kejadian, Norasma berkata mangsa begitu gembira sambil menunjuk dan mencuba beberapa pakaian baru dibeli bapanya Jumaat lalu, seolah-olah tidak sabar menyambut 1 Syawal.

“Beberapa hari selepas baju raya itu dibeli ayahnya, Mohd Adam sentiasa dilihat menarik perhatian keluarga dan pakaian itu diletakkan tidak jauh darinya selain menangis sekiranya diusik.

“Malah, beberapa minit sebelum kejadian, bapa saudaranya masih terus bergurau dengannya untuk mengambil pakaian berkenaan menyebabkan mangsa menangis,” katanya sambil menambah suspek tidak lari selepas kejadian berkenaan.

Sementara itu, Rosman ketika ditemui berkata, kejadian itu disedarinya sebaik terdengar riuh rendah dari luar rumah.

“Sebelum kejadian saya menonton televisyen bersama Mohd Adam dan melihat dia bergurau bersama beberapa bapa saudaranya yang mengusiknya.

“Kebetulan mata saya terlalu mengantuk sebelum terlelap tidak jauh dari tempat itu selepas mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Menurutnya, dia yang meluru ke depan rumah terkejut sebaik melihat anak lelakinya itu berlumuran darah sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan.

Katanya, ketika kejadian, isterinya, Yusnisuhaila Yusoff, 36, ada bersama dan tidak menyedari kejadian itu sehingga menyebabkan wanita terbabit pengsan di rumah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana mahu menunggu hasil siasatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menahan suspek berusia 22 tahun dipercayai penagih dadah di rumahnya, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi membantu siasatan.
Related Posts with Thumbnails