Sunday, September 13, 2009

Teruja sambut jenazah ibu daripada raya
Oleh IBRAHIM ISA

JOHOR BAHRU: Tiga beradik anak Mariam Johari yang meninggal dunia di Korea Selatan minggu lalu, lebih teruja menunggu ketibaan jenazah ibu mereka untuk disemadikan di kampung halaman berbanding menanti tarikh 1 Syawal.
Ini kerana harapan mereka untuk membawa pulang jenazah ibu yang terpisah sejak lebih 60 tahun itu kembali cerah apabila Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dilaporkan berjaya menghalang jenazah Mariam daripada dibakar kelmarin untuk membolehkannya diterbangkan pulang ke Malaysia.
Jelani Sonni, 72, anak lelaki kandung tunggal Mariam, ketika dihubungi berkata, dia dan Ramlah, 74, dan Jamnah, 67, kini lebih menumpukan kepada persiapan menyambut kepulangan jenazah ibu mereka daripada membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Katanya, sejak mendapat tahu usaha membawa pulang jenazah ibunya menghadapi masalah dan tertangguh akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, dia sekeluarga melalui keadaan suram.

“Namun semalam (kelmarin) akhbar melaporkan jenazah ibu berjaya dihalang daripada dibakar dan disahkan akan dibawa pulang ke Malaysia. Berita itu menggembirakan kami.
“Kami kini lebih menumpukan persiapan untuk menyempurnakan jenazah ibu di Tanah Perkuburan Islam Kota Makam, di sini, berbanding membuat persiapan untuk menyambut hari raya,” katanya ketika dihubungi.
Jenazah Mariam, wanita Melayu yang terkandas di Korea Selatan selama 63 tahun dan meninggal dunia Ahad lalu, nyaris dibakar buat kali kedua kelmarin apabila pelbagai urusan membawa pulang disahkan Kedutaan Malaysia di Korea Selatan, kira-kira sejam sebelum upacara pembakaran mayat dilakukan.
Berikutan itu, rombongan membawa jenazah wanita itu yang dalam perjalanan ke rumah pembakaran mayat membuat pusingan U dan kembali ke Hospital New Best, Seoul sebelum urusan mengawet mayat dilakukan untuk penerbangan ke Malaysia dijangka Rabu ini.
Kali pertama jenazah wanita itu nyaris dibakar Selasa lalu, apabila seorang selebriti tampil menanggung kos penghantaran pulang jenazahnya ke negara ini selepas wanita itu meninggal dunia di sebuah rumah penjagaan orang tua di Seoul.
Jelani berkata, dia dimaklumkan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan individu melahirkan kesudian mengeluarkan kos penghantaran jenazah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Tinggi.

“Saya diberitahu oleh ahli keluarga, ada pihak sudi membantu kami membawa pulang jenazah ibu dari KLIA ke Kota Tinggi, tetapi sehingga kini saya belum dapat mengesahkan perkara ini kerana mereka belum menghubungi saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails