Mati ketika tidur
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
BATU PAHAT: Hasrat Mariam Johari, 88, untuk pulang buat kali terakhir ke Johor bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarganya, tidak kesampaian apabila wanita yang terkandas di Korea Selatan sejak 63 tahun lalu itu, meninggal dunia jam 12.20 tengah malam kelmarin (waktu Malaysia).
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, yang keadaan kesihatannya dilaporkan merosot sejak dua bulan lalu, meninggal dunia ketika tidur di sebuah rumah perlindungan orang tua di bandar raya Seoul.
Wanita warga emas yang pernah menarik perhatian masyarakat Malaysia itu meninggal dunia ketika ditemani anak angkatnya, Ji Yong Un, 53, dan isteri, Shin Sook Hyun, 51, serta penerbit rancangan Love In Asia KBS, Park Keon Young.
Penyelidik Korea Broadcasting System (KBS), Seo Kyu Won, berkata Mariam pernah meluahkan hasrat kembali ke tanah kelahirannya terutama bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarganya yang lama terpisah.
“Tidak beberapa lama sebelum kesihatannya semakin merosot, Mariam meluahkan keinginannya untuk pulang menemui keluarga di Malaysia buat kali terakhir.
“Saya tak tahu dia sedar atau tidak Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelma, namun dia berharap pulang kali terakhir untuk bersama keluarganya di Malaysia walaupun keadaan kesihatannya bertambah buruk,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Won bagaimanapun berkata, Mariam disahkan meninggal dunia ketika tidur pada jam 1.20 pagi waktu Korea akibat sakit tua.
Menurutnya, jenazah Mariam kini disimpan di hospital berkenaan selama tiga hari (hingga esok) sementara menunggu keputusan sama ada keluarganya di Malaysia mahu membawa pulang atau sebaliknya.
Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar terbitan kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) menyiarkan kisahnya yang mencari tiga anak kandungnya di Plentong, Johor, pada 23 Jun 2007 menerusi rancangan Love In Asia KBS.
Dia yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, dibesarkan keluarga di Kampung Sungai Tengkorak, Plentong dan bekerja sebagai penoreh getah.
Wanita itu dinikahkan dengan seorang jiran ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala wanita itu dikerahkan menjadi buruh membina sebuah landasan kapal terbang di Senai pada 1943.Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya pulang ke Korea Selatan dengan alasan berkenalan dengan ibu bapanya sebelum pulang ke Tanah Melayu (ketika itu) semula.
Bagaimanapun, Mariam terkandas di Korea Selatan termasuk terpaksa melalui Perang Saudara Korea dari 1950 hingga 1953 dan selepas perang tamat, harapannya untuk pulang ke Tanah Melayu musnah apabila Tanah Melayu bergelar Malaysia.
Namun, hasratnya bertemu semula tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila KBS menerusi rancangan itu membawa Ramlah dan Jelani, serta cucu, Ahmad Onn, 43, dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, bertemu buat kali pertama di studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.
Pertemuan kali pertama selama enam hari itu tidak berakhir di situ apabila Mariam dibawa pulang ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.
Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia
2 days ago
No comments:
Post a Comment