Wednesday, September 2, 2009

Sedih sungguh....

Tragedi baju raya
Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

GUA MUSANG: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mencuba pakaian baru dibeli bapanya sempena Aidilfitri yang bakal tiba, bertukar tragedi menyayat hati apabila dia mati ditikam bapa saudara sendiri di Kampung Melayu di sini, semalam.

Mohd Adam Azrai Rosman, sedang asyik menunjukkan baju raya sambil menonton televisyen bersama nenek saudaranya di ruang tamu rumah keluarganya sebelum ditikam secara tiba-tiba oleh bapa saudaranya berusia 22 tahun dengan sebilah pisau di rusuk kanan menyebabkan mangsa terus rebah dan menjerit kesakitan.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika mangsa yang terlalu gembira mencuba pakaian rayanya didatangi suspek yang muncul dari dapur lalu terus menikam kanak-kanak itu menyebabkan badannya berlumuran darah.

Lebih menyedihkan, kejadian itu disaksikan sendiri nenek saudara mangsa, Norasma Che Daud, 29, yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan sebelum memeluknya yang meraung kesakitan akibat ditikam.

Dalam keadaan cemas itu, Norasma terus memangku cucu saudaranya itu ke depan rumah sebelum meminta bantuan orang ramai yang kebetulan melalui berhampiran rumah untuk membawa kanak-kanak berkenaan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, ajal menjemput kanak-kanak tidak berdosa itu apabila disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Menurut Norasma, dia sama sekali tidak menyangka anak saudaranya yang dipercayai penagih dadah, tergamak melakukan perbuatan kejam berkenaan kerana hubungan mereka berdua baik.

Katanya, ketika kejadian, suspek yang demam berada di dapur manakala bapa mangsa, Rosman Mohd Noor, 41, sedang tidur tidak jauh dari tempat kejadian kerana sakit mata.

“Memang saya tak menduga perkara ini berlaku. Ketika itu saya bergurau dengan Mohd Adam sambil menonton televisyen dan mengacah mahu mengambil baju rayanya.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila suspek tiba-tiba datang dan mengeluarkan sebilah pisau sebelum menikam rusuk kanan Mohd Adam menyebabkannya luka parah,” katanya ketika ditemui di HGM di sini, semalam.

Sebelum kejadian, Norasma berkata mangsa begitu gembira sambil menunjuk dan mencuba beberapa pakaian baru dibeli bapanya Jumaat lalu, seolah-olah tidak sabar menyambut 1 Syawal.

“Beberapa hari selepas baju raya itu dibeli ayahnya, Mohd Adam sentiasa dilihat menarik perhatian keluarga dan pakaian itu diletakkan tidak jauh darinya selain menangis sekiranya diusik.

“Malah, beberapa minit sebelum kejadian, bapa saudaranya masih terus bergurau dengannya untuk mengambil pakaian berkenaan menyebabkan mangsa menangis,” katanya sambil menambah suspek tidak lari selepas kejadian berkenaan.

Sementara itu, Rosman ketika ditemui berkata, kejadian itu disedarinya sebaik terdengar riuh rendah dari luar rumah.

“Sebelum kejadian saya menonton televisyen bersama Mohd Adam dan melihat dia bergurau bersama beberapa bapa saudaranya yang mengusiknya.

“Kebetulan mata saya terlalu mengantuk sebelum terlelap tidak jauh dari tempat itu selepas mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Menurutnya, dia yang meluru ke depan rumah terkejut sebaik melihat anak lelakinya itu berlumuran darah sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan.

Katanya, ketika kejadian, isterinya, Yusnisuhaila Yusoff, 36, ada bersama dan tidak menyedari kejadian itu sehingga menyebabkan wanita terbabit pengsan di rumah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana mahu menunggu hasil siasatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menahan suspek berusia 22 tahun dipercayai penagih dadah di rumahnya, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails