Friday, July 3, 2009

Kecil-kecil Kurang Ajar

;

‘Perbuatan binasa masa depan sendiri’

KUALA LUMPUR: “Jika dibiarkan, lama kelamaan mereka boleh membunuh,” kata Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar pada usia remaja mudah terpengaruh melakukan perbuatan yang boleh memuaskan hati mereka tanpa memikirkan akibatnya.

“Pada peringkat usia sebegini pelajar lebih mudah terdedah dengan kegiatan yang melanggar disiplin dan memuaskan hati mereka apatah lagi tanpa kawalan ibu bapa.

“Malah lebih membimbangkan kalau perbuatan mereka ini dibiarkan dan tidak diberi perhatian sudah pasti ia membinasakan masa depan pelajar itu sendiri kerana sampai satu tahap mereka boleh melakukan jenayah lebih berat.

“Selain itu, pada umur ini jugalah mereka mudah terdorong membuat perkara yang menyeronokkan dan mengghairahkan. Justeru, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan menghalang pelajar terbabit daripada terus ‘hanyut’,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam mengenai sekumpulan tujuh pelajar tingkatan dua melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar jajahan Pasir Puteh, Kelantan.

Harian Metro semalam, melaporkan tujuh pelajar tingkatan dua yang berselindung di sebalik pakaian sekolah berjaya ditumpaskan polis kerana disyaki mendalangi beberapa kes pecah rumah.

Penahanan kumpulan pecah rumah ‘junior’ itu dihidu orang awam sebelum melaporkan kepada polis yang melakukan serbuan di sebuah sekolah menengah dan dalam tangkapan itu, polis merampas telefon bimbit serta sejumlah wang hasil kegiatan pecah rumah dilakukan mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng ketika mengulas laporan itu berkata, penyelesaian paling berkesan bagi menangani pelajar bermasalah melalui kerjasama semua pihak.

“Ibu bapa perlu memantau serta ambil tahu aktiviti anak mereka, manakala guru pula seharusnya memaklumkan dengan segera jika terdapat pelajar tidak masuk kelas atau ponteng,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails