Tuesday, July 21, 2009

Jangan Kita Korbankan Nilai Kepercayaan Kita.

Nik Aziz patut keluar fatwa: Zambry

IPOH - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis nyalaan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan Nizar menyertai majlis sedemikian.

“Saya bukan ulama nak komen tentang tindakan Nizar. Biar orang agama komen tentang ini. Biar tok guru komen. Dia ada tok Guru (Nik Abdul Aziz). Dia (Mohammad Nizar) pun tok guru juga.

"Dia pandai baca Quran, bagi ceramah, bagi khutbah di masjid. Dia lagi tahu apa yang dia buat,” katanya katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan The Red Solar (M) Sdn Bhd dan TCT Inc (TCTI) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Semalam akhbar ini melaporkan pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata tindakan Nizar itu adalah di luar budaya Islam.

Pada masa yang sama, Dr Zambry berkata, beliau bersimpati dengan keluarga Beng Hock tetapi biar pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana kes itu bukan untuk menutup mana-mana kelemahan, tetapi perlu diselongkar agar jawapan sebenar kepada punca kejadian dapat dicari.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Nizar tidak seharusnya berbuat demikian kerana boleh melanggar akidah seorang Muslim.Sinar Harian 21.7.2009 edisi Perak.

1 comment:

  1. betul2
    oleh itu jgn ler jugak kite cepat percaya pada org

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails