Saturday, July 11, 2009

Semoga Di Cucuri Rahmat



Ajal ketika baca khutba

Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my


BUKIT MERTAJAM: Jemaah Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak, dekat sini yang mulanya khusyuk mendengar khutbah Jumaat dibacakan Basiri Jamaduin, 79, tiba-tiba tersentak apabila khatib itu jatuh terduduk sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung, semalam.

Sebelum itu, imam berkenaan baru memulakan khutbah kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila beliau tiba-tiba jatuh terduduk sambil memegang tongkat tetapi sempat dipapah jemaah masjid yang menyedari kejadian itu.

Jemaah masjid, Nazri Ahmad, 39, berkata dia berada depan mimbar ketika itu dan melihat Basiri menarik nafas panjang sebelum jatuh, manakala wajahnya bertukar pucat.

Jemaah masjid segera menghubungi ambulans untuk menghantar Basiri ke hospital, namun beliau disahkan sudah meninggal dunia.

“Hari ini adalah sejarah bagi jemaah masjid kerana menyaksikan sendiri proses pertukaran imam ketika khutbah dan ia sesuatu yang jarang berlaku. Hari ini kami belajar sesuatu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kebetulan ketika kejadian, imam kedua, Salleh Othman, 61, berada berhampiran lalu mengambil alih tugas membaca khutbah mengenai aurat wanita, diikuti khutbah kedua hingga selesai dan seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Menurut Salleh, kali terakhir dia bersama Basiri pada minggu lalu tetapi arwah yang menjadi imam sejak 20 tahun lalu tidak meninggalkan sebarang pesan berhubung tugas membaca khutbah di masjid berkenaan.

“Cuma arwah berkata dia mungkin sudah tidak lama di dunia ini dan itu mungkin petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Salleh berkata, jarak masa dia mengambil alih tugas membaca khutbah Jumaat selepas arwah jatuh sekitar lima minit dan tempoh itu tidak menjejaskan kefarduan solat Jumaat.

Sementara itu, anak Basiri, Azman, 44, berkata bapanya memang menghidap penyakit jantung serta darah tinggi tetapi tidak duduk diam dan sering membuat kerja keagamaan selain kerja kampung.

“Sebelum ini dia sudah beberapa kali jatuh di rumah akibat diserang penyakit jantung. Hari ini (semalam) dia dalam keadaan sihat sebelum ke masjid tapi mungkin sudah tiba ajalnya,” katanya yang reda dengan pemergian bapanya.

Jenazah Basiri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Minyak jam 9 malam tadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails