;
Ikan gergasi RM10,000
Oleh Noor Azam Abd Aziz
azam@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Berikutan pendedahan Metro Ahad minggu lalu mengenai misteri ikan naga atau Arapaima Gigas di Tasik Kenyir, kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM10,000 kepada kaki pancing yang berjaya menangkap ikan berkenaan.
Tempoh kebenaran menangkap ikan itu bermula semalam hingga 15 Ogos ini di seluruh tasik kecuali kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara dan Santuari Kelah.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mengumumkan ganjaran itu, berkata kaki pancing berminat perlu mendaftar dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan penguat kuasa Kenyir Rangers akan memantau usaha menangkap ikan itu.
“Walaupun Arapaima Gigas spesies ikan besar, ia tidak menyerang manusia tetapi menjadikan ikan lain dalam tasik sebagai makanan.
“Kita khuatir dengan adanya spesies ikan berasal dari Sungai Amazon itu, ikan lain akan pupus. Kita juga bimbang ikan itu akan membiak di Tasik Kenyir yang sedang kita bangunkan sebagai satu daripada destinasi pelancongan penting di Terengganu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Menurutnya, ikan Arapaima Gigas yang berjaya ditangkap hidup-hidup akan di tempatkan di Mini Zoo dan Taman Rekreasi Bukit Takal, Kemaman, sebagai tarikan orang ramai.
“Kita tidak tahu berapa jumlah sebenar ikan itu di Tasik Kenyir tetapi kita perlu pastikan tiada ikan pemangsa. Ikan toman juga adalah pemangsa tetapi tidak akan membesar seperti Arapaima Gigas,” katanya.
Katanya, kaedah menangkap ikan naga itu terhad kepada penggunaan joran dan setiap peserta perlu mempunyai permit serta mematuhi semua undang-undang kecil berkaitan dengan aktiviti memancing di Tasik Kenyir.
Metro Ahad minggu lalu mendedahkan misteri ikan naga iaitu Arapaima Gigas yang didakwa wujud di tasik berkenaan dan dikatakan boleh membesar sehingga 4.5 meter panjang selain mencapai berat hingga melebihi 200 kilogram.
Ikan itu antara spesies hidupan air yang diharamkan ditangkap dan dipelihara di negara ini.
Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin Terengganu, Abdul Wahab Abdullah dipetik sebagai berkata, ikan itu dikategorikan sebagai karnivor iaitu memakan ikan lain sebagai makanan.
Ikan berasal dari Sungai Amazon itu diburu menggunakan lembing penduduk tempatan dan dijadikan hidangan eksotik selain berdepan ancaman kepupusan di habitat asalnya itu berikutan penangkapan tidak terkawal.
Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia
2 days ago
btul kerrr?
ReplyDeletetk cayer ler ikan tue ada kt c2