Friday, September 25, 2009

PADAH AKIBAT CINTA...TERLARANG

Larikan gadis, bapa berang bakar rumah

Oleh ali mahmood
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 25 Sept. – Kerana cinta, seorang pemuda bertindak nekad melarikan teman wanitanya. Namun perbuatan itu mengundang padah apabila bapa wanita berkenaan berang lalu membakar rumah keluarga pemuda tersebut. Malah suspek sanggup memandu dari Cheras, Kuala Lumpur, bersama seorang rakannya ke Kampung Kemuning di sini, untuk membakar rumah itu dalam kejadian pada 18 September lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Supritendan Zundin Mahmood berkata, suspek berusia 44 tahun telah datang ke rumah bapa pemuda itu semata-mata untuk berbuat demikian. “Suspek dan rakannya turut memukul bapa pemuda itu dengan menggunakan paip getah hingga pengsan sebelum menghumban motosikal mangsa ke dalam rumah dan membakar kenderaan itu.

“Akibatnya, keseluruhan perabot dan barangan dalam rumah mangsa rosak dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM80,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam. Beliau berkata, mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan kini telah pulih serta dibenarkan pulang. Menurutnya, polis menerima laporan pada 12.10 tengah malam pada hari kejadian dan terus menjejaki kedua-dua suspek. Kata beliau, berdasarkan maklumat awam, polis berjaya memberkas suspek bersama rakannya di Kuala Lumpur tidak sampai 24 jam selepas itu. Menurutnya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan yang boleh membawa hukuman tujuh tahun penjara jika sabit kesalahan. Tambah Zundin, kedua-dua suspek berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Zundin menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang membelakangi undang-undang jika berlaku perselisihan faham.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails