Tuesday, December 22, 2009

Kedaulatan Undang-undang..

Bekas polis: Pemimpin PAS selamatkan saya di Memali
Dis 21, 09 6:59pm
Bekas Ketua Polis Baling, Tunku Muzafar Tunku Ibrahim, hari ini bertemu seorang anggota PAS yang menyelamatkannya
daripada diserang dalam peristiwa Memali pada tahun 1985.

Ketika mengimbas kembali kejadian itu, Tunku Muzafar berkata ketika beliau sedang menuju ke Kampung Memali menaiki sebuah kereta peronda, kenderaannya dikepung 200 penyokong PAS tetapi tiba-tiba beliau terdengar satu suara memekik:

"Ini Pak Tunku OCPD Baling, jangan apa-apakan dia, saya biasa berbincang dengan dia, saya tahu dia boleh dipercayai."

Tunku Muzafar, 67, hari ini buat pertama kalinya selepas 24 tahun berlakunya peristiwa itu, bertemu semula dengan orang yang menyelamatkannya, Muhamad Yusof Husin (sekarang senator) di lobi Parlimen.

"Muhamad Yusof-lah orang yang memainkan peranan sehingga dapat meredakan kemarahan penyokong PAS sehingga saya terselamat," kata Tunku Muzafar kepada pemberita selepas pertemuan yang diaturkan oleh abangnya Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Tunku Muzafar datang dari Kedah semata-mata untuk menemui Muhamad Yusof kerana berasa terhutang budi kepadanya kerana dapat mententeramkan keadaan yang amat getir ketika itu.

Muhamad Yusof, 55, yang ketika itu seorang anggota jawatankuasa PAS Baling, berkata beliau menahan penyokong PAS daripada menyerang Tunku Muzafar kerana menghargai sikapnya yang adil terhadap semua tanpa mengira fahaman politik mereka.

"Ketika kejadian, saya masih muda iaitu 31 tahun, tetapi ia tidak menghalang saya daripada berfikir secara rasional untuk menghargai nyawa orang lain," kata Muhamad Yusof, kini setiausaha perhubungan PAS Kedah.

Dalam kejadian pada 19 Nov 1985 itu, seramai 18 orang terbunuh dan ramai lagi tercedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails