Monday, December 28, 2009
Buruh Paksa Di Indon....askar Indon Main Kasar.
SYUKUR...(dari kiri) Ahmad Faizul, Mohd Arif, Musa
dan Akhmadi mengaminkan bacaan doa sebaik tiba
di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kelmarin.
‘Kami lega dapat pulang’
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: “Hanya Allah yang tahu betapa lega dan gembira hati kami apabila diberitahu dapat pulang ke tanah air selepas lebih sebulan berada di pusat tahanan di Pontianak, Indonesia.“Namun, di sebalik kegembiraan ini, kami terkilan kerana Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, masih ditahan dan dia menangis apabila melihat kami keluar dari sana,” kata Ahmad Faizul Sulong, 23, antara empat nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia terhadap dakwaan menceroboh perairan negara berkenaan.
Menceritakan pengalaman ditahan pihak berkuasa negara jiran itu, dia yang ditemui sebaik selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, malam kelmarin, berkata pelbagai pahit getir ditempuhi mereka hingga ada yang tidak masuk akal.Menurutnya, ketika ditahan pada 12 November lalu, Ahmad Faizul dan Che Wan Budiman serta tiga lagi rakan, Musa Mohammad, 33, Akhmadi Daud, 28, Mohd Arif Rosli, 20 sedang menarik bubu dari bot kelas B, kira-kira 148 batu nautika dari pantai Terengganu.
Dia berkata, pada waktu itu, mereka masih berada kira-kira tiga batu nautika dari perairan antarabangsa sebelum ternampak sebuah bot pihak berkuasa Indonesia melepaskan tembakan ke udara dan menembak bot mereka menyebabkannya terkena lengan kiri Che Wan Budiman.
Katanya, apa yang berlaku ketika itu begitu mencemaskan hinggakan ada yang bersembunyi di bawah enjin dan tiada harapan hidup kerana operasi penahanan itu dibuat secara besar-besaran disertai ramai anggota pihak berkuasa dalam tiga bot selain dipantau dua helikopter dan sebuah jet yang berlegar di udara.
“Sebaik ditahan, kami hanya mampu berkata ‘ampun pak...ampun pak’ dan meminta supaya tidak dicederakan sebelum kami semua dibawa ke sebuah pusat tahanan di Pontianak.“Ketika di sana, kami ditempatkan di sebuah bangunan bersama sekumpulan nelayan Vietnam dan terpaksa meminta ihsan mereka yang memberikan pakaian dan berkongsi makanan,” kata anak ketujuh daripada 14 beradik itu.
Menurutnya, mereka bersyukur kerana 23 nelayan Vietnam yang turut ditahan membawa bekalan bahan mentah seperti beras dan mereka dikehendaki memasak sendiri selain dibenarkan membeli lauk seperti ikan bilis dan telur menggunakan wang diberikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang datang melawat pada minggu pertama mereka ditahan.Mohd Arif memberitahu, pengalaman berada di pusat tahanan negara jiran itu sukar dilupakan kerana aktiviti harian dijalaninya di luar jangkaan kerana terpaksa menjadi buruh kasar mengangkat batu untuk membina jalan.“Kami semua terpaksa mengangkat batu berat dan simen untuk membaiki jalan kira-kira 500 meter dari pusat tahanan.
“Kerja dilakukan itu begitu teruk kerana terpaksa berhempas-pulas di tengah panas dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari hampir setiap hari selain membawa motosikal,” katanya.Musa pula berkata, dia tidak menyangka dapat kembali semula ke tanah air meskipun mengambil masa lama dan berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus mengeluarkan mereka dari pusat tahanan itu terutama konsulat Malaysia di Pontianak dan kerajaan negeri.
“Selepas beberapa siri rundingan selesai, kami bertolak keluar dari pusat tahanan jam 6 pagi, 24 Disember lalu menaiki van ke Kuching, Sarawak dan tiba pada jam 3 petang.“Sejurus tiba di Kuching, kami menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur sebelum ke Kuala Terengganu,” katanya sambil memberitahu kejadian itu menyebabkan dia serik dan akan beringat setiap kali turun ke laut bagi mengelak ditahan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment