KUANTAN: Gara-gara terpijak tunggul kayu, seorang jurujual kereta menderita selepas tangan kirinya parah tercelup dalam kuali panas penjaja pisang goreng di Pasar Besar Kuantan, di sini, dua minggu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang itu, mangsa, Kam Tian Yee, 31, melecur teruk pada lengan kiri apabila dia gagal mengimbangi badan kerana terpijak tunggul kayu licin lalu tercampak dalam kuali panas peniaga yang sedang menggoreng pisang.
Menceritakan semula kejadian itu, Kam berkata, dia sepatutnya bertemu seorang pelanggan pada hari itu dan menggunakan laluan berdekatan gerai penjaja terbabit.
“Kerana hujan, saya berlari sebelum terpijak tunggul di depan gerai itu tetapi tidak menyangka kayu itu licin akibat hujan dan minyak, menyebabkan saya hilang imbangan dan terjatuh.
“Kejadian itu mungkin boleh dielak jika saya tidak memijak tunggul itu tetapi pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sepatutnya tidak membiarkan tunggul itu terbiar kerana membahayakan orang ramai,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.Katanya, dia bimbang lebih ramai akan menjadi mangsa jika tunggul itu terus dibiarkan kerana keadaannya yang licin dan berminyak.Menurutnya, akibat kejadian itu, dia tidak dapat bekerja hampir dua minggu hingga menjejaskan pendapatannya yang bergantung kepada komisyen jualan kereta.
“Sehingga kini, lengan saya masih belum pulih sepenuhnya dan sudah membelanjakan hampir RM300 untuk kos rawatan,” katanya.Kam berkata, dia difahamkan peniaga terbabit, kes itu bukan yang pertama, malah beberapa mangsa lain pernah mengalami nasib sama sebelum ini.“Bagaimanapun, saya orang pertama yang malang apabila tangan tercelup dalam kuali mengandungi minyak panas,” katanya.Katanya, selepas kejadian itu, dia membuat aduan kepada MPK tetapi hingga kini tiada tindakan diambil.
“Saya tidak menyalahkan peniaga gerai itu tetapi berharap MPK mengambil tindakan dan membuang tunggul kayu itu kerana boleh membahayakan orang awam yang mengunjungi atau melalui gerai itu,” katanya.
Wednesday, December 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment