Berdepan ular, harung lumpur demi pucuk nipah
SERI MEDANG(Besut) – Hanya dengan bekerja sebagai pencari pucuk nipah, seorang wanita bertungkus-lumus menyara beberapa anaknya yang masih bersekolah termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).Rokiah Abd Rahman, 54, mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga sepenuhnya selepas suaminya, Razali Hamid, 59, tidak berdaya lagi melakukan tugas berat selepas menghidap darah tinggi sejak setahun lalu.Menurutnya, dia tidak kekok melakukan kerja mencari pucuk nipah kerana pekerjaan itu sudah sebati dengannya yang sudah 15 tahun dilakukannya.
“Dulu saya buat untuk menambahkan pendapatan keluarga, tetapi sekarang ia menjadi pekerjaan utama setelah suami yang dahulunya bekerja di sebuah kilang papan, tidak berdaya bekerja lagi,” kata ibu kepada 12 anak ini.Rutin hariannya, keluar rumah jam 8 pagi menaiki basikal atau motosikal ke Sungai Seri Medang kira-kira 1.5 kilometer dari rumah.Kemudian dia akan mendayung sampan sejauh dua kilometer untuk mencari pucuk nipah.Saat paling mencabar, apabila melabuhkan perahu, dia perlu mengharungi lumpur sedalam paras lutut untuk mencari pucuk nipah.
“Bahaya memang banyak, maklum saja saya perlu masuk agak jauh dari tebing sungai mengharungi tanah berlumpur. Macam-mana haiwan berbahaya ada terutama ular, tetapi demi rezeki saya buang perasaan takut itu,” katanya.
Menurutnya, setiap kali keluar, dia memperoleh kira-kira 1,000 helai pucuk nipah dan setelah melalui proses mengupas, pucuk kering dijual kepada peraih dengan harga kira-kira RM14 untuk 1,000 helai.“Selepas pucuk nipah dikupas atau ‘disepat’, ia perlu dijemur sehingga benar-benar kering. Kemudian diikat dalam satu ikatan (satu berkas) mengandungi 100 helai pucuk nipah kering.
“Musim hujan, saya terpaksa jual daun yang tidak dikeringkan dengan harga kira-kira RM10 untuk 1,000 helai,” katanya.Purata pendapatanya kira-kira RM300 hingga RM400 sebulan.
Sumber dari Sinar Harian.
Thursday, December 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment